Sunday, July 31, 2011

RAMADHAN 1432H

Ramadhan menjenguk lagi. Dan sedari awal kedatangannya memang dinanti. Inilah masa yang paling sesuai untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda tanpa diganggu-gugat oleh syaitan dan iblis, hanya nafsu yang perlu dikawal. Setiap individu mempunyai cara yang tersendiri menyambut Ramadhan. Ada juga mukmin yang memulakan sambutan puasa dengan berpuasa sunat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud:
“Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seseorang yang telah membiasakan diri berpuasa sunat, maka ia dibolehkan berpuasa.” – HR Tujuh Ahli Hadith
Puasa Ramadhan tidak boleh dimulakan dengan berpuasa sunat atas alasan ingin menyambut ketibaan Ramadhan. Namun, jika seseorang individu itu telah biasa dan memang mengamalkan berpuasa sunat di dalam hidupnya, maka individu ini tidak
ditegah untuk berpuasa sunat walaupun puasa sunat yang dilakukannya adalah pada sehari atau dua hari sebelum kedatangan Ramadhan. Malahan, hal seperti ini dibolehkan di dalam Islam. Misalnya, jika seseorang itu telah biasa berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Ramadhan pada tahun itu jatuh pada hari Selasa, maka individu itu dibolehkan meneruskan puasa sunatnya sebagaimana lazimnya.
Namun jika individu itu sengaja melakukan puasa sunat sedangkan itu bukanlah kebiasaan amalannya, maka puasa seperti ini adalah diharamkan kerana ia dikatakan sebagai mendahului ibadat puasa Ramadhan. Walaupun ada segolongan individu yang berpendapat puasa seperti ini sebagai satu penghormatan untuk menyambut ketibaan Ramadhan tetapi Rasulullah SAW sendiri menidakkan dalil yang sebegini dan menegah sama sekali amalannya.
Terdapat segelintir golongan bukan Islam yang berpendapat ibadat puasa ini tidak lain daripada meletih dan menyeksakan lantaran pantang larang yang perlu dipatuhi, namun pendapat-pendapat sebegini mula terhakis berikutan penemuan dan kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa puasa adalah satu amalan yang baik bagi menjamin tahap kesihatan mental dan fizikal secara keseluruhannya.
Di samping menerangkan kepada mereka tentang konsep sebenar ibadat dalam Islam, kita sentiasa digalakkan untuk memperbaiki dan menambah amalan dari semada ke semasa terutamanya di dalam bulan Ramadhan ini. Ibadat utama dalam Ramadhan ialah untuk mengerjakan puasa.
“Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar (subuh), maka tidak ada puasa baginya.” – HR Ahmad Ashabus Sunan
Awal puasa ialah berniat untuk mengerjakan ibadat tersebut.
Niat puasa terbahagi kepada dua iaitu:
Berniat setiap malam sebelum datangnya waktu Subuh – seseorang yang berkeinginan untuk berpuasa, wajib menyatakan niatnya; Berniat pada awal bulan Ramadhan sebelum datangnya waktu Subuh – seseorang yang ingin berpuasa pada bulan tersebut, wajib menyatakan niatnya untuk berpuasa selama satu bulan Ramadhan.
Kedua-dua pengertian ini boleh diterima pakai, namun bagi mendidik anak-anak kecil berlatih berpuasa, lebih wajar jika kaedah yang pertama ini diterapkan kepada mereka. Manakala kaedah yang kedua pula lebih mudah dan meringankan Seseorang yang akan mengerjakan ibadat puasa selama sebulan Ramadhan, memadai jika menyatakan niat puasanya sekali pada malam pertama Ramadhan. Jika niatnya dinyatakan setiap malam, maka hal ini dikategorikan sebagai sunat dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.

Saturday, July 30, 2011

SI BONGKOK TANJUNG PUTERI: Pahlawan Johor, lanun atau pengganas ?

Tanjung Puteri
Tajuk Johor Tanjung Puteri
Selat Tebrau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu
Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri
Tanjung Sekijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana Hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diraja
Dari Tebrau orang berakit
Singgah Stulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri



ADA beberapa tokoh misteri yang nama mereka ‘hilang’ dalam lembaran sejarah perjuangan menentang penjajah di tanah air, ratusan tahun lalu. Walaupun kewujudan mereka suatu ketika dulu memberi sumbangan besar dan mencetuskan kegerunan di jiwa penjajah, kebanyakan tokoh ini tidak disebut dalam mana-mana dokumen sejarah.

Menyedari pentingnya sumbangan dan kewujudan pahlawan misteri itu didedahkan kepada khalayak untuk diiktiraf sejarah tanah air, ahli Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Jelebu, Negeri Sembilan; Abdul Latip Talib, memulakan penyelidikan bagi membongkar rahsia kehilangan mereka.
“Antara tokoh terbabit adalah Si Bongkok Tanjung Puteri yang sehingga kini, sejarah perjuangannya masih tidak diketahui ramai pihak,” katanya yang menulis novel sejarah berkenaan pahlawan itu, tahun lalu.
Beliau berkata, tidak seperti tokoh pejuang lain seperti Datuk Bahaman di Pahang atau Rentap di Sarawak, sejarah negara ini tidak pernah mengenali siapa Si Bongkok yang berjuang menentang British dan sekutunya di Johor.
“Ceritanya bermula apabila British mula menjajah Singapura seterusnya cuba melebarkan pengaruh mereka ke Johor,” kata Abdul Latip seterusnya memulakan kisah perjuangan Si Bongkok Tanjung Puteri yang kini semakin hilang dalam lipatan sejarah negara.
Pernah suatu ketika sekitar abad ke-19, Kerajaan Johor tidak diperintah oleh Sultannya tetapi pentadbiran dan segala urusan negeri diuruskan Temenggung Abdul Rahman atas sokongan British.
Polemik itu berlaku apabila Sultan Hussein mangkat pada 1835; putera baginda iaitu Tengku Ali cuba mendapatkan haknya sebagai Sultan Johor tetapi dihalang Temenggung Abdul Rahman.
Akibat daripada perebutan kuasa itu, muncul kisah perjuangan Si Bongkok di Tanjung Puteri (kini Johor Bahru). Beliau berhasrat mengusir pengaruh penjajah dari bumi Johor dan tidak bersetuju dengan hasrat pemerintah negeri yang berbaik-baik dengan British.
Si Bongkok juga inginkan takhta kesultanan Johor yang ketika itu dikuasai Temenggung Abdul Rahman, dikembalikan kepada pewaris asal iaitu Tengku Ali.
Si Bongkok memang nama asalnya manakala nama bapanya adalah Damak. Dinamakan dirinya sebagai ‘Si Bongkok’ berikutan keadaan tubuh badannya yang cacat iaitu bongkok ke kanan manakala tangan kirinya pula cengkung. Mukanya pula herot dan bengkak ke kanan.
Walaupun dilahirkan sebagai insan yang cacat, Si Bongkok membesar sebagai seorang pemuda yang gagah dan berani. Beliau cekap bermain senjata dan mahir dalam ilmu lautan. Si Bongkok juga dikatakan memiliki ilmu kebal yang menyebabkan jasadnya tidak akan luka sama ada ditembak atau ditikam senjata tajam.
Kewibawaan beliau dikagumi ramai pihak sehingga Si Bongkok diangkat menjadi pemimpin oleh pengikutnya yang ramai. Di kalangan musuhnya sendiri beliau digelar Panglima Si Bongkok.
Si Bongkok hidup di atas kapal layar di tengah laut. Dia mempunyai pengikut yang ramai dan masing-masing memang cekap bermain senjata serta mengendalikan kapal di laut.
Kebenciannya terhadap penjajah dan pemimpin tempatan yang mengadakan hubungan dengan bangsa asing itu menyebabkan Si Bongkok bersama pengikutnya bangkit menentang.
Mereka akan menyerang kapal bangsa asing yang melalui perairan Johor untuk berdagang di pelabuhan Tanjung Puteri atau Singapura. Tindakan itu menyebabkan British melabelkan mereka sebagai lanun.
Disebabkan serangan Si Bongkok dan pengikutnya, aktiviti perdagangan dan ekonomi di Tanjung Puteri dan Singapura semakin merosot kerana kebanyakan pedagang asing tidak lagi berani memasuki wilayah itu.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kepada British menyebabkan bangsa asing itu mengarahkan Temenggung Abdul Rahman supaya menghapuskan kumpulan Si Bongkok.
Bagaimanapun, walau pelbagai cara digunakan untuk membunuh Si Bongkok, usaha itu tidak pernah berhasil kerana dipercayai tiada siapa yang mengetahui cara untuk mengatasi ilmu kebal yang dikuasai pahlawan itu.
Usaha mengekang serangan Si Bongkok terus diperketat dengan rondaan berterusan diadakan di perairan Selat Tebrau. Kerajaan Johor dan British juga semakin khuatir kerana angkatan laut Si Bongkok memiliki ubat bedil dan senjata api hasil rampasan kapal dagang Barat yang diserang mereka.
Pada suatu hari, satu angkatan laut Johor diketuai Panglima Johor, Laksamana Daeng Alek meronda di Selat Tebrau mencari Si Bongkok. Kehadiran tentera diraja itu untuk menangkapnya sudah diketahui Si Bongkok melalui perisiknya di istana. Si Bongkok pun bersedia menghadapi tentangan angkatan Panglima Johor.
Rondaan kapal perang Panglima Johor akhirnya berjaya mengesan kedudukan kapal Si Bongkok. Mereka segera merapati kapal itu untuk menyerangnya.
Si Bongkok mengarahkan pengikutnya seramai lima puluh orang menyerang belas askar diraja itu. Pertempuran hebat berlaku di atas kapal, di tengah lautan.
Selepas lama bertempur, akhirnya angkatan Panglima Johor tewas. Mereka terpaksa berundur kembali ke pangkalan di Tanjung Puteri selepas ramai askar diraja yang terkorban dan lima kapal perangnya, karam.
Kekalahan itu tidak memutuskan semangat Panglima Johor untuk terus menyerang Si Bongkok. Pada hari yang lain, mereka menyerang lagi dengan lebih ramai askar. Angkatan perang Panglima Johor berjaya mengepung beberapa kapal Si Bongkok tetapi dengan kebijaksanaannya, Si Bongkok berjaya melarikan diri ke tempat persembunyiannya sekitar Tanjung Belungkur.
Kegagalan itu menyebabkan Laksamana Daeng Alek, Kerajaan Johor serta British semakin marah dan tertekan.
Selain Panglima Johor, turut menentang Si Bongkok adalah adiknya sendiri iaitu Panglima Putih. Berbeza dengan Si Bongkok yang menyokong Tengku Ali, Panglima Putih menyokong Temenggung Abdul Rahman menyebabkan mereka bermusuhan.
Mereka berdua juga dikatakan mencintai gadis yang sama iaitu Si Tanjung. Bersama Laksamana Daeng Alek, Panglima Putih beberapa kali menyerang abangnya tetapi tetap gagal menghapuskan Si Bongkok. Si Bongkok pula terus menyerang kapal dagang yang ingin berlabuh di Tanjung Puteri dan Singapura.
Episod akhir perjuangan Si Bongkok berlaku apabila sekali lagi kapalnya diserang. Akan tetapi, serangan pada kali itu lebih dahsyat kerana setiap penjuru perairan Selat Tebrau sudah dikepung angkatan laut Johor.
Si Bongkok dapat melepaskan diri ke Tanjung Belungkur, tempat persembunyiannya tetapi kapal Panglima Putih terus mengejar.

SELEPAS Si Bongkok menemui ajalnya di tepi pantai itu, mayatnya dijumpai seorang penduduk tempatan dikenali Uteh Jantan.
“Kemudian Uteh Jantan bersama beberapa penduduk kampung membawa mayat Si Bongkok sehingga ke lereng bukit Tanjung Puteri dan pahlawan itu dikebumikan di situ secara rahsia,” kata penulis novel Si Bongkok Tanjung Puteri, Abdul Latip Talib.
Beliau berkata, pengebumian itu dilakukan secara rahsia kemungkinan bagi mengelakkan Kerajaan Johor dan British mengambil jasad pahlawan yang sememangnya disokong penduduk tempatan.
Katanya, penduduk terbabit juga mungkin khuatir mereka akan ditahan pihak berkuasa kerana mengebumikan jasad Si Bongkok menyebabkan mereka tidak menghebohkan lokasi mayat itu ditanam.

Kini, pusara berkenaan terletak dalam hutan belukar di kaki bukit Tanjung Puteri dan pengunjung perlu meredah semak dan denai selama setengah jam untuk sampai di sana. Penduduk yang tidak biasa dengan keadaan hutan itu, pasti tersesat dan tidak menemui kubur pahlawan berkenaan.
Sebaik melihat pusara berkenaan pula, perasaan sayu dan pilu menjelma di jiwa tatkala melihat keadaannya yang terbiar tanpa ada usaha untuk memuliharanya. Pusara itu sekadar bernesankan sekeping papan yang sudah reput.
“Mengikut cerita penduduk tempatan, nesan itu diletakkan seorang lelaki pada 23 Januari 1981 selepas dia bermimpi didatangi Si Bongkok yang menyuruhnya menanda pusara pahlawan berkenaan,” katanya.
Abdul Talib berkata, berdasarkan penemuan kubur berkenaan selain cerita mengenai Si Bongkok yang tersebar secara lisan sehingga hampir ke seluruh Johor sehingga kini, maka beliau yakin yang Si Bongkok sememangnya pernah wujud dan bukanlah cerita dongeng. Malah, namanya turut disebut dalam lagu rakyat Johor iaitu ‘Tanjung Puteri’.
Katanya, beliau mula menulis novel sejarah mengenai Si Bongkok sejak tahun lalu bagi memperbetulkan kembali ‘fitnah’ yang dilemparkan terhadap pahlawan itu kononnya beliau adalah lanun dan bukannya pejuang menentang penjajah.
Selain itu, usaha membukukan kisah perjuangan Si Bongkok juga dibuat Abdul Latip bagi membolehkan cebisan sejarah lisan yang tersimpan dalam ingatan orang lama, tidak hilang ditelan masa seterusnya nama Si Bongkok akan dikenang melewati masa.
“Saya percaya ramai pejuang Melayu yang nama mereka hilang daripada lipatan sejarah negara kita dan Si Bongkok adalah seorang daripada pejuang itu; sejarah kita dulu ditulis British menyebabkan ramai pahlawan kita yang menentang mereka dianggap penderhaka dan nama mereka tidak dicatat dalam sejarah.
“Saya berharap supaya sejarah ini boleh diperbetulkan semula dan pihak terbabit perlu tampil mengiktiraf perjuangan Si Bongkok setaraf dengan nama pejuang lain seperti Tok Janggut, Dol Said dan sebagainya,” katanya.
Abdul Latip juga menggesa pihak berkuasa supaya memulihara pusara Si Bongkok sebagai satu daripada warisan peninggalan sejarah yang bukan saja dibanggakan rakyat Johor tetapi rakyat negara ini.
“Saya sendiri sudah pergi ke Tanjung Belungkur untuk melihat sendiri pusara Si Bongkok Tanjung Puteri, keadaannya amat menyedihkan kerana terbiar. Selepas 50 tahun kita merdeka, masihkah kita sependapat dengan penjajah yang melabelkan Si Bongkok itu lanun dan pengganas?” katanya.

Thursday, July 28, 2011

20 AMALAN MURAH REZEKI

Semua orang impikan rezeki yang banyak, mudah, berkat serta makmur, termasuklah aku. Dalam pekerjaan kita seharian mencari rezeki, mestilah sentiasa niatkan dalam hati supaya Allah mengurniakan kita dengan rezeki yang halal, berkat, mudah serta luas. 

Terdapat amalan-amalan yang boleh menjadi sebab Allah melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.

1. Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)


2. Memperbanyakan istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Rasulullah SAW : “Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Rasulullah SAW : “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah SWT

Banyak ingat Allah SWT buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “...(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Rasulullah SAW juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Rasulullah SAW : “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Rasulullah SAW : “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain


Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Rasulullah SAW : “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Hadis Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10.Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalinkan silaturrahim

Rasulullah SAW bersabda : “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

12.Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.

15. Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Surah ali-Imran, ayat 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (Surah at-Thalaq, ayat 3)

Nabi SAW bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (Surah at-Talaq, ayat 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Tuesday, July 26, 2011

SENARAIKAN SEGERA UBAT TANPA SIJIL HALAL

KOSMO: Rabu 27 Julai 2011


KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) meminta pihak berkuasa menyenaraikan ubat yang tidak mendapat perakuan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta syarikat-syarikat yang telah memohon sijil halal bagi ubat-ubatan yang dikeluarkan.
Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman (gambar) berkata, langkah ini penting dalam membantu pengguna mengelak daripada terbeli ubat haram.
"Walaupun tiada akta khusus berkaitan perkara ini pihak berkuasa dan media perlu main peranan untuk hebahkan jenis-jenis ubat yang mengandungi unsur tidak halal," katanya kepada pemberita selepas persidangan meja bulat Farmaseutikal yang Halal: Isu-isu dan Cabaran di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini semalam.
Mohd. Yusof berkata, garis panduan sedia ada tentang produk halal terutamanya yang disediakan Jakim serta kewujudan standard halal MS2424 masih tidak mencukupi untuk mengatasi masalah lambakan ubat tidak halal di negara ini.
Dalam memastikan masalah yang membelenggu masyarakat pada masa ini tidak berlarutan, beliau menyeru agar undang-undang khusus berkaitan produk halal diwujudkan segera.
"Sekarang yang ada tentang halal adalah Akta Perihal Dagangan tapi tidak ada akta untuk pastikan semua produk yang dijual kepada orang Islam ini mesti mendapat sijil halal.
"Selagi undang-undang sebegitu tiada, selagi itu kita akan berhadapan dengan dilema produk halal terutama produk farmaseutikal," jelasnya.

HAPPY MEALS McD DITAMBAH EPAL, KURANGKAN KENTANG

LOS ANGELES 27 Julai - McDonald’s Corp. hari ini berkata francais makanan segera itu akan menukar menu untuk kanak-kanak, Happy Meals, dengan mengurangkan sehingga lebih separuh jumlah kentang goreng dan akan menambah buah epal tidak lama lagi.
Keputusan mengubah menu hidangan popular itu dibuat selepas menerima tekanan yang kuat daripada kumpulan pengguna yang mempromosikan makanan yang sihat.
Perubahan itu akan dilakukan mulai September ini secara berperingkat dan akan berada di kesemua 14,000 restorannya di Amerika Syarikat (AS) suku pertama 2012. - Reuters

PADAMKAN ISRAEL DARI PC ANDA !


Disedari atau tidak, itulah hakikat sebenarnya kita menyimpan gambar bendera pemujaan ISRAEL !!! Buka komputer/laptop anda pada direktori C:\Program Files\Microsoft Office\MEDIA\CAGCAT10, cari fail J0285926 . Anda akan bertemu gambar lambang/bendera zionis Israel lengkap (persis dengan warna aslinya) dengan lilin (sarana ibadah mereka). PADAM dan HAPUSKAN ! Gambar tersebut ada dalam semua direktori PC di seluruh dunia. SEBARKAN SEMAMPUNYA !!.

Wednesday, July 20, 2011

BAHASA INGGERIS KITA MEMBANGGAKAN !

 Laporan English First (EF) – English Proficiency Test meletakkan Malaysia adalah Negara paling cekap berbahasa Inggeris di Asia. Ini adalah hasil kiraan pencapaian ujian yang dijalankan sepanjang 2007 hingga 2009. Ujian ini telah dinilai dari 2.3 juta orang dan sebanyak 42 negara seluruh dunia mengambil ujian yang diberikan oleh EF.
Malaysia memperolehi markah purata sebanyak 55.54 peratus. Ini membolehkan Negara kita berada di tangga ke 9 dunia kecekapan berbahasa Inggeris. Malah hasil keputusan ujian ini juga mengejutkan kerana ramai menganggapkan Hong Kong dan Taiwan cekap berbahasa Inggeris di kalangan negara Asia.
Menurut laporan itu lagi kecekapan Malaysia dalam berbahasa Inggeris kerana ianya menjadi bahasa pengantara kepada pelbagai komuniti selain berbahasa Melayu. Selain daripada itu negara kita juga mendapat didikan awal berbahasa Inggeris sejak di sekolah rendah lagi.

Laporan itu juga melaporkan negara-negara yang cekap berbahasa Inggeris juga menjadi negara pengeksport utama di dunia. Hasil kajian ini juga berpendapat pendapatan per kapita yang tinggi juga didorong hasil kecekapan berbahasa ini.

Bahasa Inggeris juga dilihat menjadi saluran utama pertukaran inovasi di dunia. Ini kerana banyak kajian rekacipta dan inovasi ditulis dalam bahasa ini. Berbeza dengan negara yang kurang cekap juga kurang berkongsi inovasi mereka di peringkat antarabangsa.

Tidak dinafikan penguasaan bahasa Inggeris membolehkan negara kita menjadi negara maju dan dinamik di peringkat antarabangsa. Namun Bahasa Melayu juga hendaklah diberi perhatian dan dikuasai seiring dengan bahasa Inggeris. Adalah tidak rugi jika kita dapat menguasai banyak bahasa kerana kita akan menjadi lebih dihormati di peringkat global. 

Tuesday, July 12, 2011

MINYAK..MINYAK..MINYAK

TOP 10 Negara termurah Petrol Dunia:

10. United Arab Emirates – $ 0.37/liter atau RM1.22 sen seliter
Siapa yang tidak tahu kebangkitan United Arab Emirates sebagai satu “hentian” bagi pengunjung luar kerana berjaya menyediakan tempat tinggal yang menarik dek kerana limpahan minyak yang mereka miliki. Selain merupakan salah satu negara yang menawarkan harga petrol termurah di dunia, UAE juga muncul negara keempat terkaya di dunia.
9. Bahrain – $ 0.27/liter atau RM0.89 sen seliter
Negara pulau kecil ini hanya memiliki keluasan wilayah hanya 266 batu² (665 km²). Kalau anda mempunyai kenderaan di sana, jarak yang boleh dilalui di Bahrain hanya sejauh 100 batu atau bersamaan 161 kilometer sahaja. 
8. Qatar - $ 0.22/liter atau RM0.72 sen seliter
Negara Qatar merupakan negera kedua terkaya di dunia dan pada masa yang sama  memberikan harga petrol yang murah kepada rakyatnya.
7. Kuwait - $ 0.21 /liter atau RM0.69 sen seliter
Ini hampir sama seperti di Qatar! Kuwait adalah negara kelima terkaya di dunia, jadi sangat sesuai limpahan minyak yang dimiliki oleh Kuwait “dikongsi” bersama rakyatnya dengan menawarkan harga petrol yang berpatutan.
6. Libya - $ 0.14 liter atau RM0.46 sen seliter
Libya mempunyai rezab simpanan minyak terbesar di Afrika dan nombor 9 di dunia.
5. Arab Saudi – $ 0.12 liter atau RM0.39 sen seliter
Sememangnya diakui dek kerana limpahan minyak yang dimiliki oleh Arab Saudi telah meletakkan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah sebagai kalangan raja yang terkaya di dunia. Kebiasaannya ketika Raja Arab Saudi, Raja Abdullah melakukan kunjungan ke luar negera biasanya dia akan pergi bersama-sama dengan 6 pesawat yang mana 1 untuk dirinya dan anak-anaknya dan 5 untuk teman-teman terdekatnya. 
4. Iran – $ 0.11/liter atau RM0.36 sen seliter
Dengan rezab simpanan minyak yang dimilki negara Iran sekarang, dijangka mereka akan kehabisan minyak dalam tempoh 74 tahun daripada sekarang.
3. Nigeria - $ 0.10/liter atau RM0.33 sen seliter
Nigeria dikatakan antara 10 negara yang mempunyai simpanan minyak terbesar di dunia. Yang pentingnya pemerintah di sana tidak ingin membuat rakyat mereka marah dengan mengenakan harga petrol yang tinggi
2. Turkmenistan – $ 0.08/liter atau RM 0.26 sen seliter
Ramai tidak menyangka yang Turkmenistan adalah negara yang memberikan harga petrol kedua termurah di dunia. Negara ini boleh dikatakan dingin daripada sebarang isu dan berita dari kacamata negara luar. Tetapi itulah hakikatnya.
1. Venezuela - $ 0.05 /liter atau RM0.16 sen seliter
Venezuela dipimpin oleh Presiden Hugo Chávez – Cukup terkenal di kalangan pemimpin politik dunia kerana beliau seorang sosialis yang diakui ramai sering memikir cara bagaimana membantu rakyatnya memiliki taraf kehidupan yang lebih baik. Tentunya dengan harga petrol yang murah, menjanjikan rakyat memilih beliau untuk kembali pada pilihanraya akan datang.
TOP 50 Negara Simpanan Minyak Dunia
# 1 Saudi Arabia: 262,700,000,000 barrels (tong)
# 2 Canada: 178,900,000,000 barrels
# 3 Iran: 133,300,000,000 barrels
# 4 Iraq: 112,500,000,000 barrels
# 5 United Arab Emirates: 97,800,000,000 barrels
# 6 Kuwait: 96,500,000,000 barrels
# 7 Venezuela: 75,590,000,000 barrels
# 8 Russia: 69,000,000,000 barrels
# 9 Libya: 40,000,000,000 barrels
# 10 Nigeria: 36,000,000,000 barrels
# 11 Mexico: 33,310,000,000 barrels
# 12 Kazakhstan: 26,000,000,000 barrels
# 13 Angola: 25,000,000,000 barrels
# 14 United States: 22,450,000,000 barrels
# 15 China: 18,260,000,000 barrels
# 16 Qatar: 16,000,000,000 barrels
# 17 Brazil: 15,120,000,000 barrels
# 18 Algeria: 12,460,000,000 barrels
# 19 Norway: 9,859,000,000 barrels
# 20 Oman: 6,100,000,000 barrels
# 21 India: 5,700,000,000 barrels
# 22 Indonesia: 4,600,000,000 barrels
# 23 Ecuador: 4,512,000,000 barrels
# 24 United Kingdom: 4,500,000,000 barrels
# 25 Yemen: 4,370,000,000 barrels
# 26 Australia: 3,664,000,000 barrels
# 27 Malaysia: 3,100,000,000 barrels
# 28 Argentina: 2,950,000,000 barrels
# 29 Egypt: 2,700,000,000 barrels
# 30 Syria: 2,500,000,000 barrels
# 31 Gabon: 1,921,000,000 barrels
# 32 Tunisia: 1,700,000,000 barrels
# 33 Sudan: 1,600,000,000 barrels
# 34 Congo: 1,538,000,000 barrels
# 35 Colombia: 1,492,000,000 barrels
# 36 Brunei: 1,255,000,000 barrels
# 37 Denmark: 1,230,000,000 barrels
# 38 Romania: 1,055,000,000 barrels
= 39 Mauritania: 1,000,000,000 barrels
= 39 Burma: 1,000,000,000 barrels
# 41 Trinidad and Tobago: 990,000,000 barrels
= 42 Vietnam: 600,000,000 barrels
= 42 Uzbekistan: 600,000,000 barrels
# 44 Azerbaijan: 589,000,000 barrels
# 45 Italy: 586,600,000 barrels
# 46 Thailand: 583,000,000 barrels
# 47 Equatorial Guinea: 563,500,000 barrels
# 48 Cuba: 532,000,000 barrels
# 49 Bolivia: 458,800,000 barrels
# 50 Germany: 395,800,000 barrels

TENTANG YAHUDI YANG DISEBUT DALAM AL-QURAN

Siapa tidak kenal dengan kezaliman Zionis yang kejam merampas tanah dan membunuh rakyat Palestin dengan sesuka hati mereka. Jika melihat watak Israel demikian, sebenarnya tidak perlu hairan. Ini kerana, Allah SWT melalui wahyunya dalam Al-Quran sudah menggambarkan sifat buruk orang-orang Yahudi yang zalim, membuat kerosakan di muka bumi, dan suka mengobarkan api peperangan dengan bangsa lain, terutama kaum Muslimin.
Dalam Al-Quran sekurang-kurangnya disebut 22 sifat bangsa Yahudi, iaitu:
1. Keras hati dan zalim (Al-Baqarah: 75,91,93,120,145,170; An-Nisa: 160; Al-Maidah: 41)
2. Kebanyakan fasik dan sedikit beriman kepada Allah SWT (Ali Imran: 110; An-Nisa: 55)
3. Musuh yang paling bahaya bagi orang-orang Islam (Al-Maidah: 82)
4. Amat mengetahui kekuatan dan kelemahan orang-orang Islam seperti mereka mengenal anak mereka sendiri (Al-An’am: 20)

5. Mengubah dan memutarbalikkan kebenaran (Al-Baqarah: 75,91,101,140,145,211; Ali Imran: 71,78; An-Nisa: 46; Al-Maidah: 41)
6. Menyembunyikan bukti kebenaran (Al-Baqarah: 76,101,120,146; Ali Imran: 71)
7. Hanya menerima perkara-perkara atau kebenaran yang dapat memenuhi cita rasa atau nafsu mereka (Al-Baqarah: 87,101,120,146; Al-Maidah: 41)
8. Engkar dan tidak boleh menerima keterangan dan kebenaran AlQuran (Al-Baqarah: 91,99; Ali Imran: 70)
9. Memekakkan telinga kepada seruan kebenaran, membisukan diri untuk mengucapkan perkara yang benar, membutakan mata terhadap bukti kebenaran dan tidak menggunakan akal untuk menimbangkan kebenaran (Al-Baqarah: 171)
10. Mencampuradukkan yang benar dan yang salah, yang hak dan yang batil (Ali Imran: 71)
11. Berpura-pura menyokong orang Islam tetapi apabila ada di belakang orang-orang Islam, mereka mengutuk dengan sekeras-kerasnya (Al-Baqarah: 76; Ali Imran: 72,119)
12. Hati meraka sudah tertutup akan Islam kerana dilaknat oleh Allah SWT yang disebabkan oleh kekufuran mereka sendiri (Al-Baqarah: 88,120,145,146)
13. Kuat berpegang pada rasa kebangsaan mereka dan mengatakan bahawa mereka adalah bangsa yang istimewa yang dipilih oleh Tuhan dan menyakini agama yang selain daripada Yahudi adalah salah (Al-Baqarah: 94,111,113,120,135,145; Al-Maidah: 18)
14. Tidak akan ada kebaikan untuk seluruh manusia jika mereka memimpin (An-Nisa: 53)
15. Tidak suka, dengki, iri hati terhadap orang-orang Islam (Al-Baqarah: 90,105,109,120)
16. Mencintai kemewahan dan kehidupan dunia, bersifat tamak dan rakus, menginginkan umur yang panjang dan mengejar kesenangan serta takut akan kematian (Al-Baqarah: 90,95,96,212)
17. Berkata bohong, mengingkari janji dan melampaui batas (Al-Baqarah: 100,246,249 Ali Imran: 183,184; An-Nisa: 46)
18. Berlindung di balik mulut yang manis dan perkataan yang baik (Al-Baqarah: 204,246; Ali Imran: 72; An-Nisa: 46)
19. Mengada-ada perkara-perkara dusta dan suka kepada perkara-perkara dusta (Ali Imran: 24,94,183,184; Al-Maidah: 41)
20. Berlaku sombong dan memandang rendah terhadap orang-orang Islam (Al-Baqarah: 206,212,247)
21. Tidak amanah dan memakan hak orang lain dengan cara yang salah (Ali Imran: 75,76; At-Taubah: 34)
22. Selalu melakukan kerosakan dan menganjurkan peperangan (Ali Imran: 64)

Monday, July 11, 2011

PROTEIN RAMBUT DALAM ROTI DAN PAU

Pengguna Islam di negara ini perlu berhati-hati dalam memilih bahan makanan berikutan kajian dilakukan terhadap roti, kek dan pau yang dijual di pasaran ketika ini dikesan mengandungi protein rambut atau ‘L-cyscine’ yang disahkan haram penggunaannya.
Segelintir penyedia bahan makanan berkenaan juga merahsiakan penggunaan ramuan meragukan itu dengan tujuan melembutkan produk dihasilkan, selain rasanya lebih sedap hingga meningkatkan hasil jualan dan menguntungkan mereka.

Difahamkan bekalan protein rambut itu mudah didapati di China sebelum dipasarkan ke negara ini, manakala bahan berkenaan akan diadun bersama tepung untuk menghasilkan kek atau roti.
Perkara berkenaan didedahkan pengasas Piawaian Amalan Pengilangan Islam (IMP), Ahmad Tajuddin Arshad, yang mendakwa kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menemui bahan meragukan di dalam produk bahan makanan itu.

Beliau berkata, bahan itu boleh didapati dengan mudah di negara ini kerana yang dijual di pasaran sudah diadun bersama tepung untuk membuat kek, roti atau pau.

“Fatwa mengesahkan pengharaman memakan organ badan manusia dan rambut pula dikategorikan sebagai organ badan manusia. Jadi ia sudah disahkan haram penggunaannya dalam masakan kepada umat Islam.
“Universiti Al-Azhar di Mesir juga mengesahkan fatwa mengenai pengharaman makan organ badan manusia (merujuk protein rambut), manakala kajian CAP, roti, kek dan pau mengandungi protein rambut untuk menjadikan makanan terbabit lebih menarik,” katanya pada Seminar Usahawan IMP di sebuah hotel di sini, semalam.

Program disertai kira-kira 30 usahawan Muslim di negeri itu bertujuan memberi kesedaran kepada golongan terbabit mengenai kepentingan penggunaan bahan halal dalam produk makanan dan minuman dihasilkan mereka.
Katanya, pengharaman bahan berkenaan begitu jelas kerana dalam Islam, makanan yang dimakan akan mempengaruhi sikap individu.

“Jika bahan makanan mengandungi organ manusia iaitu rambut, ia mempengaruhi sikap pemilik asal rambut itu kepada individu berkenaan.

“Jadi saya harap pengguna lebih berhati-hati dengan penggunaan bahan tidak jelas dari mana datangnya terutama dijadikan sebagai bahan makanan mereka setiap hari,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, terdapat segelintir peniaga pisang goreng menggunakan plastik untuk menjadikan tepung lebih rangup sedangkan perbuatan mereka itu menyebabkan pengguna terdedah kepada kanser.

Katanya, hasil maklumat diperoleh, peniaga akan memasukkan plastik ke dalam minyak panas sebelum menggoreng pisang.

“Bukan sekadar menggunakan plastik ke dalam minyak panas, peniaga ini juga bertindak memasukkan perisa tambahan ke dalam tepung untuk menggoreng pisang,” katanya.

“Sedangkan kita tahu penggunaan bahan perisa boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada orang ramai dalam jangka panjang.

“Kesedaran perlu ada dalam diri peniaga supaya tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata“ katanya.

ADA PIHAK TAK SENSITIF MAKANAN UMAT ISLAM

ISU mengenai halal haram makanan di negara kita sering dibangkitkan. Dalam soal ini, Akta Perihal Dagangan 2011 yang diluluskan baru-baru ini di Parlimen memberi kuasa kepada Majlis Agama Islam Negeri bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan sijil halal.
Persidangan Majlis Raja- Raja baru-baru ini juga menyokong akta ini dan secara tidak langsung memberi kekuatan kepada jabatan tersebut menjalankan tanggungjawab mereka dan bukannya masih bergantung kepada syarikat luar yang tidak menentu dalam memberi kuasa mengeluarkan sijil halal. Di negara kita, isu mengenai halal haram sesuatu jenis makanan dikaitkan dengan premis menjual makanan dan juga makanan yang disediakan oleh restoran, hotel, gerai malah makanan dibungkus. Logo halal yang tertera pada setiap bungkusan makanan masih dipertikaikan kesahihan dari segi halalnya bagi sesetengah barang makanan.

Malah, ada premis perniagaan yang meletakkan tanda halal tetapi masih diragui halalnya kerana pelbagai taktik digunakan oleh peniaga untuk menarik minat orang Islam untuk makan di premis mereka.

Sesetengah restoran menggantung ayat-ayat al-Quran dan gambar Kaabah tetapi majikan dan pekerjanya bukan Islam. Sumber makanannya juga tidak dapat dipastikan status halalnya. Contohnya, ayam yang dibekalkan masih diragui.

Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta Majlis Agama Islam setiap negeri menubuhkan pusat sembelihan ayam bagi memastikan penyembelihan dan pemprosesan ayam sahih status halalnya mengikut syarak.

Isu makanan haram bagi orang Islam tidak timbul jika wujudnya rasa hormat antara kaum dan agama. Jika orang bukan Islam memahami apa yang haram bagi orang Islam, sudah tentu mereka tidak akan mempersenda halal haram sesuatu jenis makanan yang disediakan di premis perniagaan mereka. Di bungkusan makanan juga tidak akan dilabelkan halal jika makanan yang dijual itu tidak halal atau diragui status halalnya.

Tegasnya mereka akan peka terhadap status sesuatu jenis makanan, tahap kebersihan, termasuk proses awal sampai akhir sesuatu jenis makanan itu. Sikap berhati-hati orang Islam terhadap makanan yang belum tentu halalnya perlu ada dalam diri setiap orang. Mereka perlu menyemak panduan mengenai status halal haram sesuatu jenis makanan yang ada di pasaran.

Jakim dan jabatan agama setiap negeri mestilah memperkemas jentera dengan membuat pemeriksaan terhadap premis perniagaan untuk mengetahui kesahihan status halal haram makanan yang dijual di premis tersebut. Barang-barang yang dijual mesti dirampas jika tanda halal yang dilekatkan itu palsu, denda mesti dikenakan dan jika perlu lesen perniagaan mereka ditarik balik.

Bagi restoran dan hotel, selain daripada sijil halal yang dipohon menerusi Jakim dan Jabatan Agama Negeri, pihak berkenaan mesti memantau dengan cara mengadakan operasi dengan lebih kerap supaya peniaga tidak melanggar syarat yang dikenakan semasa mereka memperoleh sijil tersebut. Jika restoran yang diragui status halalnya, umat Islam mestilah mengelak daripada memasuki restoran tersebut. Jika rasa was-was kerana pemiliknya bukan Islam kita juga mesti mengelak kerana banyak lagi restoran yang dikendalikan sepenuhnya oleh orang Islam sendiri yang menyediakan pelbagai hidangan.

Bagi umat Islam, makanan yang halal adalah satu tuntutan kerana ia menjadi darah daging. Makanan berfungsi dalam aktiviti pernafasan dan aliran darah bagi semua kerja otot dalam badan dan terlibat juga bagi proses penggantian zat dalam badan.

Pemakanan yang baik membolehkan seseorang itu memperoleh manfaat daripada pengambilan sesuatu jenis makanan dan begitulah sebaliknya. Dalam surah al-Maidah, Allah berfirman ‘Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu telah beriman’ Kesimpulannya, dalam isu halal haram, umat Islam sendiri mestilah menunjuk teladan yang baik. Jika mereka sendiri makan di restoran tidak halal peniaga bukan Islam akan memperlekehkan mereka dan memandang remeh isu berkenaan.

Jika kita bising-bising tentang sesuatu yang diragui tetapi apa yang sudah nyata pun kita pandang rendah, bermakna kita sudah membuka peluang kepada benda-benda yang tidak betul masuk ke perut kita kemudian menjadi darah daging.

MANAFAAT BESAR SUSU

 SUSU adalah sejenis makanan yang kaya dengan nutrien dan dipenuhi sumber vitamin serta mineral baik seperti vitamin A, kumpulan vitamin B (riboflavin, niasin, vitamin B6 dan vitamin B12 ), magnesium, fosforus, zink dan kalsium.
Tahukah anda daripada hidangan makanan yang diambil setiap hari, tiada satu pun menyamai kepentingan dan kebaikan yang boleh diperoleh daripada segelas susu selain turut digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Dianggarkan bermula tahun 9000 sebelum Masihi lagi, manusia mula meminum susu bagi menjaga kesihatan tubuh badan. Malah, susu juga adalah sumber nutrisi utama yang perlu diberikan kepada anak pada peringkat awal perkembangan tumbesaran mereka dan ia harus diamalkan sepanjang usia.

Manfaat ini boleh diperoleh secara terus dengan meminum susu ataupun mengambil produk tenusu seperti keju, mentega susu, dadih, minyak sapi, aiskrim dan pelbagai lagi.

Walaupun sedar kebaikan susu tetapi masih ramai wanita yang cuba mengelaknya atas pelbagai alasan termasuk tidak boleh menerima rasa semula jadi susu dan masalah tidak toleran dengan gula susu yang menyebabkan mereka cirit-birit setiap kali mengambil minuman berkhasiat ini.

Sumber kalsium yang ada di dalamnya juga membantu mencegah tubuh daripada mengalami penyakit kronik berbahaya.

Ada beberapa sebab lain mengapa kita perlu minum susu atau mengambil produk tenusu iaitu: - Mencegah masalah osteoporosis atau tulang rapuh. Individu dewasa memerlukan 1,000 hingga 1,200 miligram kalsium sehari dan minum susu yang diperkaya dengan mineral ini cara paling mudah untuk mendapat bekalan kalsium harian.

Oleh kerana tulang sentiasa mengalami proses kemerosotan dan pembinaan semula, isu terlewat menjaga kesihatan tulang tidak timbul. Susu boleh diambil pada semua peringkat umur sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa atau orang tua.

Kita akan mengalami osteoporosis (tulang rapuh) jika terus membiarkan tulang merosot, sedangkan perkara ini boleh dicegah dengan mengambil makanan kaya kalsium seperti susu dan produk tenusu, mengamalkan pemakanan seimbang dan kerap bersenam.

- Selain kalsium, susu dan produk tenusu juga kaya dengan protein. Satu pek dadih rendah lemak contohnya mampu membekalkan satu pertiga daripada keperluan kalsium harian anda dan hampir 17 peratus protein.

- Vitamin D - Kebanyakan susu diperkaya dengan vitamin D. Vitamin D penting untuk membolehkan tulang menyerap kalsium, malangnya ia sering dipinggirkan. Badan kita boleh menghasilkan vitamin D jika mendapat cukup cahaya matahari (terutama pada waktu pagi).

Cara paling mudah ialah minum susu rendah lemak yang diperkaya dengan vitamin D. Ada kajian mendapati vitamin D juga boleh mengurangkan risiko beberapa penyakit seperti kanser dan tekanan darah tinggi.

- Tingkatkan ketumpatan tulang - Kajian di Finland ke atas gadis remaja berusia antara 10 hingga 12 tahun mendapati mereka yang mengambil makanan kaya kalsium (seperti keju) mempunyai ketumpatan tulang lebih tinggi berbanding kumpulan yang tidak mengambil keju.

- Tekanan darah - Kajian ke atas 5,000 orang dewasa di Sepanyol mendapati mereka yang mengambil produk tenusu rendah lemak (susu skim dan susu rendah lemak) dalam masa dua tahun kurang berisiko (54 peratus) mengalami tekanan darah tinggi.

Penyelidik berpendapat perkara ini ada kaitan dengan protein dalam susu rendah lemak (kasein dan whey) yang dikatakan mempunyai tindakan lebih kurang sama dengan ubat merendahkan tekanan darah.

- Sindrom metabolik - Berdasarkan data diperoleh daripada 827 responden (lelaki dan wanita), penyelidik Iran merumuskan individu yang mengambil produk tenusu rendah lemak mempunyai ukuran pinggang lebih kecil dan kurang risiko alami sindrom metabolik - iaitu sindrom yang mendekatkan kita dengan penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Saturday, July 9, 2011

TONIK ISTIMEWA ORANG MASAI

LELAKI puak Masai yang tinggal di sempadan Kenya dan Tanzania terkenal memiliki stamina dan daya tahan tubuh terhadap persekitaran yang ekstrem. Mereka boleh berlari berhari-hari untuk mencari bekalan air sambil memakai kasut yang diperbuat daripada tayar kereta.Makanan pula bukanlah satu masalah asalkan mereka dapat menghirup darah yang mengalir daripada leher lembu yang ditebuk hidup-hidup.“Kadang-kadang kami berlari selama lima atau enam hari, siang dan malam,” kata Isaya, pelari maraton daripada kaum Masai yang tinggal di Kampung Elaui, utara Tanzania.Isaya bersama lima rakannya menyertai Maraton London beberapa tahun lalu sebagai sebahagian kempen untuk mencari dana bagi mendapatkan sumber air bersih di tempat kelahirannya.“Kami selalu keluar selama beberapa hari, makan dua kali sehari dan tanpa bekalan air.
Tebuk
“Jika kami tiada susu atau daging, kami menebuk leher lembu dan meneguk darah yang keluar dari situ. Jika minum cukup darah, mungkin dua atau tiga liter, ia akan memberi saya banyak tenaga dan saya boleh berjalan selama beberapa hari tanpa makanan dan air,” katanya.Darah segar iaitu makanan tradisional puak Masai diperoleh daripada haiwan yang mereka ternak.Semasa darah itu diambil, seramai lima atau enam lelaki akan memegang lembu berkenaan. Darah akan diambil daripada vena jugular di leher haiwan berkenaan.Seorang lelaki kemudian menggunakan anak panah yang tajam untuk menebuk leher lembu terbabit. Ia sama seperti doktor menusuk jarum ke lengan pesakit bagi mendapatkan darah. Apabila anak panah itu ditarik keluar, darah akan memancut keluar dan dikumpul ke dalam sebuah bekas.Mereka boleh memperoleh sehingga tiga liter darah daripada seekor lembu. Selepas selesai, mereka akan menutup lubang di leher itu dengan tahi lembu bagi menghentikan aliran darah.Sama seperti aktiviti derma darah, leher lembu yang sama akan ditebuk sekali lagi untuk mendapatkan darahnya dalam tempoh empat hingga enam minggu kemudian.Darah seekor lembu boleh diambil sebulan sekali tanpa membahayakan haiwan itu. Selalunya, darah segar itu dicampur susu dan diminum begitu sahaja tanpa perlu dimasak terlebih dahulu.Kadangkala darah dicampur dengan susu masam dan dimasak sehingga kental seperti telur dadar.Sebenarnya, darah lembu bukan hanya diambil oleh puak Masai. Orang Eropah sendiri menggunakan darah lembu untuk membuat puding hitam dan sosej darah.

Friday, July 8, 2011

JANGAN BELI, GUNA KRIM KULIT "SENSUAL WHITENING CREAM"

Utusan Malaysia: Jumaat 8 Julai 2011


KUALA LUMPUR 8 Julai – Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan “Sensual Whitening Cream” berikutan pengesanan racun berjadual dalam produk penjagaan kulit itu.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi kementerian berkenaan, Datuk Eisah A. Rahman berkata, produk tersebut dikesan mengandungi bahan logam berat merkuri yang dilarang dalam produk kosmetik yang boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna.
"Syarikat Sensere Marketing Sdn Bhd, yang mengeluarkan produk itu diarah menghentikan penjualan dan pembekalan produk itu dengan serta merta dan menarik balik semua stok dalam pasaran dalam tempoh 72 jam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Eisah berkata, pengguna produk itu boleh menyebabkan ruam dan rasa gatal pada bahagian kulit dan pada masa sama boleh merosakkan otak, sistem saraf dan buah pinggang.
Beliau juga berkata, wanita mengandung yang menggunakan produk itu mungkin tidak mengalami simptom keracunan raksa (merkuri), tetapi boleh menyebabkan keracunan teruk kepada fetus mengakibatkan kerosakan otak dan kecacatan kepada kepada bayi.

Tuesday, July 5, 2011

SK TENGKU MAHMOOD ISKANDAR 1, PONTIAN

Jamuan Majlis Persaraan Encik Hamidon: Isnin 4 Julai 2011 @ 2.30 petang