Monday, July 11, 2011

ADA PIHAK TAK SENSITIF MAKANAN UMAT ISLAM

ISU mengenai halal haram makanan di negara kita sering dibangkitkan. Dalam soal ini, Akta Perihal Dagangan 2011 yang diluluskan baru-baru ini di Parlimen memberi kuasa kepada Majlis Agama Islam Negeri bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan sijil halal.
Persidangan Majlis Raja- Raja baru-baru ini juga menyokong akta ini dan secara tidak langsung memberi kekuatan kepada jabatan tersebut menjalankan tanggungjawab mereka dan bukannya masih bergantung kepada syarikat luar yang tidak menentu dalam memberi kuasa mengeluarkan sijil halal. Di negara kita, isu mengenai halal haram sesuatu jenis makanan dikaitkan dengan premis menjual makanan dan juga makanan yang disediakan oleh restoran, hotel, gerai malah makanan dibungkus. Logo halal yang tertera pada setiap bungkusan makanan masih dipertikaikan kesahihan dari segi halalnya bagi sesetengah barang makanan.

Malah, ada premis perniagaan yang meletakkan tanda halal tetapi masih diragui halalnya kerana pelbagai taktik digunakan oleh peniaga untuk menarik minat orang Islam untuk makan di premis mereka.

Sesetengah restoran menggantung ayat-ayat al-Quran dan gambar Kaabah tetapi majikan dan pekerjanya bukan Islam. Sumber makanannya juga tidak dapat dipastikan status halalnya. Contohnya, ayam yang dibekalkan masih diragui.

Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta Majlis Agama Islam setiap negeri menubuhkan pusat sembelihan ayam bagi memastikan penyembelihan dan pemprosesan ayam sahih status halalnya mengikut syarak.

Isu makanan haram bagi orang Islam tidak timbul jika wujudnya rasa hormat antara kaum dan agama. Jika orang bukan Islam memahami apa yang haram bagi orang Islam, sudah tentu mereka tidak akan mempersenda halal haram sesuatu jenis makanan yang disediakan di premis perniagaan mereka. Di bungkusan makanan juga tidak akan dilabelkan halal jika makanan yang dijual itu tidak halal atau diragui status halalnya.

Tegasnya mereka akan peka terhadap status sesuatu jenis makanan, tahap kebersihan, termasuk proses awal sampai akhir sesuatu jenis makanan itu. Sikap berhati-hati orang Islam terhadap makanan yang belum tentu halalnya perlu ada dalam diri setiap orang. Mereka perlu menyemak panduan mengenai status halal haram sesuatu jenis makanan yang ada di pasaran.

Jakim dan jabatan agama setiap negeri mestilah memperkemas jentera dengan membuat pemeriksaan terhadap premis perniagaan untuk mengetahui kesahihan status halal haram makanan yang dijual di premis tersebut. Barang-barang yang dijual mesti dirampas jika tanda halal yang dilekatkan itu palsu, denda mesti dikenakan dan jika perlu lesen perniagaan mereka ditarik balik.

Bagi restoran dan hotel, selain daripada sijil halal yang dipohon menerusi Jakim dan Jabatan Agama Negeri, pihak berkenaan mesti memantau dengan cara mengadakan operasi dengan lebih kerap supaya peniaga tidak melanggar syarat yang dikenakan semasa mereka memperoleh sijil tersebut. Jika restoran yang diragui status halalnya, umat Islam mestilah mengelak daripada memasuki restoran tersebut. Jika rasa was-was kerana pemiliknya bukan Islam kita juga mesti mengelak kerana banyak lagi restoran yang dikendalikan sepenuhnya oleh orang Islam sendiri yang menyediakan pelbagai hidangan.

Bagi umat Islam, makanan yang halal adalah satu tuntutan kerana ia menjadi darah daging. Makanan berfungsi dalam aktiviti pernafasan dan aliran darah bagi semua kerja otot dalam badan dan terlibat juga bagi proses penggantian zat dalam badan.

Pemakanan yang baik membolehkan seseorang itu memperoleh manfaat daripada pengambilan sesuatu jenis makanan dan begitulah sebaliknya. Dalam surah al-Maidah, Allah berfirman ‘Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu telah beriman’ Kesimpulannya, dalam isu halal haram, umat Islam sendiri mestilah menunjuk teladan yang baik. Jika mereka sendiri makan di restoran tidak halal peniaga bukan Islam akan memperlekehkan mereka dan memandang remeh isu berkenaan.

Jika kita bising-bising tentang sesuatu yang diragui tetapi apa yang sudah nyata pun kita pandang rendah, bermakna kita sudah membuka peluang kepada benda-benda yang tidak betul masuk ke perut kita kemudian menjadi darah daging.

No comments:

Post a Comment