CALET penginapan mewah dilengkapi dengan pantri, ruang tamu, balkoni dan dek terbuka |
KALA kenderaan pacuan empat roda yang dipandu menyusuri laluan berliku menuju puncak Gunung Jerai, mata bagaikan terpukau dengan hamparan landskap alam yang menghiasi kiri dan kanan jalan.
Pada awal pendakian, tebaran luas petak sawah padi yang terletak di sepanjang laluan pastinya menjadi sesuatu yang mengujakan terutamanya bagi mereka yang jarang berpeluang melihat bendang di hadapan mata.
Di tengah perjalanan menuju ke puncak yang mempunyai ketinggian 1,217 meter dari aras laut ini, jamuan mata yang tadinya lapang kini mula difokuskan kepada tumbuhan pain yang banyak terdapat di lereng gunung.
Semakin menghampiri puncak, suasana dingin semakin dirasai. Menikmati udara segar di persekitaran yang dikelilingi pokok pain dan kabus tebal seakan membawa pengunjung ke negara beriklim sejuk.
25 minit memandu, pucak Jerai akhirnya berjaya ditawan. Memijakkan kaki di puncak tertinggi di negeri Kedah, hati kecil penulis tidak mampu menipu keindahan yang terbentang di hadapan mata.
Mana tidaknya, di lokasi puncak ini, pengunjung boleh menyaksikan sebahagian besar daerah Kuala Muda dan Yan.
Tidak hanya hutan hijau dan sawah padi, pengunjung juga boleh melihat kilauan air laut yang mengunjur ke Tanjung Jaga.
Selain memandu kenderaan sendiri ke puncak gunung, pengunjung juga boleh menggunakan perkhidmatan limosin yang disediakan di kaki gunung.
Selain sajian pemandangan alam yang menakjubkan, di puncak ini juga terdapat sebuah pusat peranginan eksklusif yang didirikan khusus buat pelancong yang gemarkan percutian santai di puncak tropika.
Sesuai dengan gah namanya, The Regency Jerai Hill Resort menawarkan kemudahan penginapan bertaraf empat bintang dengan harga yang berpatutan.
Terdapat lima variasi yang disediakan iaitu Superior, Deluxe, Premier, Executive dan Suite dengan tangga harga dari RM180 hingga RM500 semalaman.
Sungguhpun berada di puncak gunung, resort ini tidak pernah meletakkan limitasi dalam menyediakan kemudahan terbaik untuk pengunjungnya.
Bahkan bilik-bilik yang ditawarkan semuanya dihias dengan sentuhan elegan, lengkap dengan kemudahan katil, set televisyen, telefon dan pembancuh kopi.
Bonus kepada penghuni calet Executive dan Suite, terdapat ruang tamu, ruang pantri, balkoni dan dek terbuka yang dibina bersama bagi memudahkan mereka menikmati pemandangan indah di kawasan ini.
Untuk menjelaskan lagi konsep Melayu tradisional yang diterapkan, hampir ke semua binaan di resort ini diberi sentuhan kayu berkualiti tinggi.
Bermula daripada pilihan perabot, binaan calet penginapan hinggalah ke ruang menjamu selera, bahan asas kayu dapat dilihat di mana-mana.
Bagi yang tidak boleh hidup tanpa Internet, usah gusar kerana seluruh pusat peranginan ini dilengkapi dengan kemudahan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) bagi memberi keselesaan kepada pengunjung melayari Internet di mana-mana dan pada bila-bila masa.
Bagi yang ingin kekal aktif, jangan risau dihurung rasa bosan di puncak gunung Jerai kerana pihak resort turut menawarkan pelbagai pakej aktiviti di sini, antaranya pakej menyusuri dua denai bersama pemandu arah dan menikmati keindahan bungaan hutan.
Selain itu, pengunjung juga boleh memillih sama ada untuk menguji adrenalin dengan luncuran terbang keluang ataupun mendaki bukit batu yang disediakan di sekitar kawasan resort.
Andainya anda lebih gemar bersantai bersama air, terdapat Air Terjun Batu Gelongsor, terletak kira-kira 200 meter dari kawasan resort. Di kawasan yang sama juga, anda boleh membasahkan diri dengan berendam di sungai yang sungguh jernih airnya.
Bagi yang ingin mencari sesuatu yang hangat di puncak Jerai, kolam air panas tersedia di hadapan resort buat anda.
Pendek kata, percutian di The Regency Jerai Hill Resort ini memang cukup menghiburkan. Di sini, ia bukan sekadar destinasi peranginan eksklusif tetapi cukup sarat dengan aktiviti yang mendekatkan pengunjungnya dengan alam.
No comments:
Post a Comment