Friday, October 28, 2011

TEKANAN DARAH RENDAH

Tekanan darah yang dianggap rendah untuk anda mungkin normal bagi seseorang individu lain. Kebanyakan doktor mendiagnos tekanan darah rendah sebagai TERLALU RENDAH hanya jika ia menyebabkan simptom-simptom yang dapat anda rasai. Sesetengah pakar mentakrifkan tekanan darah rendah sebagai tekanan darah sistolik (tekanan darah semasa jantung mengepam) kurang daripada 90 mmHg dan tekanan diastolik (tekanan darah semasa jantung berehat) kurang daripada 60 mmHg.
Tekanan Darah Rendah  =  Tekanan darah < 90/60 mmHg.
Sekiranya hanya salah satu daripada tekanan darah ini yang rendah (sama ada sistolik sahaja atau diastolik sahaja), tekanan darah anda tetap dikira rendah.
Cth:    115   ?  50      = tekanan darah rendah @   85   /   70  = tekanan darah rendah
(normal)    (rendah)                                                                 (rendah)     (normal)
Kejatuhan tekanan darah secara tiba-tiba boleh membahayakan. Penurunan tekanan darah walaupun hanya sebanyak 20 mmHg (cth: drp. 130mmHg à 110mmHg) boleh menyebabkan pening dan pitam apabila otak gagal mendapat bekalan darah yang cukup
PENYEBABNYA:
Mengandung: Disebabkan sistem peredaran darah wanita berkembang dengan cepat semasa mengandung, tekanan darah sangat cenderung untuk menjadi rendah. Dalam tempoh 24 minggu pertama, tekanan darah sistolik lazimnya menurun sebanyak  5 – 10 mmHg dan tekanan diastolik menurun sebanyak 10-15 mmHg. Ini normal bagi ibu mengandung. Tekanan darah lazimnya kembali normal selepas melahirkan anak.
Masalah Jantung: Masalah-masalah jantung yang boleh membawa kepada tekanan darah rendah termasuklah kadar degupan jantung yang sangat rendah (bradycardia), masalah injap jantung,  serangan jantung dan kegagalan jantung. Keadaan-keadaan ini menghalang pengaliran darah secukupnya ke seluruh badan dan boleh menyebabkan tekanan darah rendah.
Masalah Endokrin: Masalah kekurangan hormon tiroid (hypothyroidism) atau kelenjar tiroid yang terlebih aktif (hyperthyroidism) boleh menyebabkan tekanan darah rendah. Selain itu, masalah lain seperti Ketidakcukupan Kelenjar Adrenal ( Penyakit Addison), gula dalam darah yang rendah atau penyakit diabetis boleh menyebabkan tekanan darah rendah.
Dehidrasi: Dehidrasi adalah keadaaan di mana badan anda kehilangan air lebih banyak daripada jumlah air yang anda ambil (minum). Dehidrasi boleh menyebabkan kelemahan,pening, dan kelesuan. Demam, muntah-muntah, cirit-birit yang teruk, terlebih menggunakan ubat diuretik (menyebabkan pembuangan air kencing)  dan senaman yang berlebihan boleh menyebabkan dehidrasi.
Yang lebih serius ialah ”hypovolemic shock” (isipadu darah yang sangat rendah), satu komplikasi dehidrasi yang mengancam nyawa. Ia berlaku apabila isipadu darah yang rendah menyebabkan kejatuhan tekanan darah secara mendadak dan mengurangkan bekalan oksigen ke tisu-tisu badan. Jika tidak dirawat, hypovolemic shock yang teruk boleh menyebabkan kematian dalam masa beberapa jam atau beberapa minit sahaja.
Kehilangan Darah:Kehilangan darah disebabkan kecederaan yang parah atau pendarahan dalaman mengurangkan  jumlah darah dalam badan anda, membawa kepada penurunan tekanan darah yang teruk.
Jangkitan Yang Teruk (Septicemia): Septisemia berlaku apabila jangkitan di dalam badan memasuki saluran darah. Keadaan ini boleh membawa kepada kejatuhan tekanan darah yang mengancam nyawa. Keadaan ini dipanggil ”septic shock’.
Tindak Balas Alahan Yang Teruk (anaphylaxis): Anaphylaxis adalah serius dan berpotensi mengancam nyawa. Pencetus-pencetus anaphylaxis yang lazim ialah makanan,sesetengah ubat,bisa serangga dan bisa ular. Anaphylaxis boleh menyebabkan masalah pernafasan, kegatalan,pembengkakan kerongkong dan kejatuhan tekanan darah.
Kurang Zat Dalam Diet: Kekurangan vitamin B12 dan asid folik boleh menyebabkan anemia– keadaan di mana badan anda tidak menghasilkan sel-sel darah merah secukupnya lalu menyebabkan tekanan darah rendah.
Ubat-Ubatan yang Boleh Menyebabkan Tekanan Darah Rendah:
Diuretik: ubat darah tinggi yang menyebabkan kencing yang banyak.
Alfa-Blockers (ubat darah tinggi)
Beta-blockers (ubat darah tinggi)
Ubat-ubat untuk penyakit Parkinson
Sesetengah jenis ubat penenang (anti-depressant)
Sidenafil (Viagra), terutamanya jika digunakan bersama nitrogliserin (sejenis ubat jantung)
Jenis-Jenis Tekanan Darah Rendah:
Tekanan Darah Rendah Apabila Bangun Berdiri (Postural Hypotension)
Terjadi apabila anda berdiri dari posisi duduk atau bangun dari posisi berbaring. Graviti menyebabkan darah terkumpul ke kaki apabila anda berdiri. Bagi individu normal,degupan jantung akan bertambah laju dan urat darah mengecil untuk mengalirkan darah kembali ke bahagian atas badan terutamanya otak. Bagi mereka yang bermasalah postural hypotension, jantung dan urat darah tidak dapat bertindakbalas secukupnya terhadap graviti- lalu tekanan darah menjadi rendah, menyebabkan simptom-simptom pening, pandangan kabur dan kadangkala menyebabkan pitam.
Tekanan Darah Rendah Selepas Makan (Postprandial Hypotension).
Selalunya dihadapi oleh mereka yang berumur. Sejumlah besar darah berkumpul ke saluran penghadaman selepas anda makan. Bagi mereka yang normal, degupan jantung akan bertambah laju dan urat darah mengecil untuk mengalirkan darah kembali ke bahagian atas badan terutamanya otak. Bagi mereka yang bermasalah, mekanisme ini gagal berfungsi lalu menyebabkan tekakan darah menurun.
Petua Mengatasi Tekanan Darah Rendah
1. Makan lebih garam dalam diet anda- tetapi jangan terlalu berlebihan kerana natrium yang terlalu berlebihan boleh menyebabkan kegagalan jantung.
2. Minum lebih banyak air – terutamanya sewaktu cuaca panas dan ketika anda sakit seperti selsema. Ini boleh meningkatkan isipadu darah anda dan menaikkan tekanan darah anda. Air yang mengandungi kandungan natrium dan kalium yang tinggi adalah digalakkan (cth: Oral Rehydration Salt, ORS).
3. Bersenam selalu untuk menggalakkan pengaliran darah.
4. Ubah posisi badan secara perlahan-lahan – Jika bangun dari tidur, tarik nafas panjang selama beberapa minit, kemudian bangkit duduk perlahan-lahan.Setelah itu, barulah bangun berdiri. Tidur dengan kedudukan kepala sedikit tinggi dari badan juga dapat membantu mengatasi kesan graviti.
5. Pakai stoking elastik (gut/ compression stocking) – memakai stoking ini pada kaki boleh mengurangkan darah turun ke kaki, lalu mengekalkan lebih darah di bahagian atas badan.
6. Makan dalam jumlah yang sedikit tetapi kerap – kurangkan makanan yang tinggi karbohidrat seperti kentang, nasi, pasta dan roti. Ini boleh mengelakkan tekanan darah turun mendadak selepas makan.
Jika langkah-langkah di atas tidak dapat memperbaiki tekanan darah anda, anda mungkin memerlukan bantuan ubat-ubatan.
Ubat-Ubatan:
Fludrocortisone – sejenis mineralocortikosteroid yang berkesan untuk ’postural hypotension’ dan tekanan darah rendah. Ia menyekat penyingkiran natrium oleh buah pinggang, menyebabkan penahanan bendalir badan dan sedikit bengkak. Ini perlu untuk menaikkan tekanan darah. Akan tetapi, penyekatan natrium ini juga akan menyebabkan kehilangan kalium. Jadi, amat penting untuk anada mendapatkan supplemen kalium setiap hari jika anada mengambil ubat fludrocortisone.
Midodrine – ia berkesan memperbaiki tekanan darah bagi mereka yang mengalami postural hypotension. Ia bertindak dengan menyekat kebolehan urat darah untuk mengembang, justeru menaikkan takanan darah.

PENGGUNA MALAYSIA BERHEMAH

KUALA LUMPUR 28 Okt. - MasterCard Worldwide (MasterCard) dalam kajiannya baru-baru ini mendedahkan para pengguna Malaysia lebih berhemah dalam berbelanja untuk barangan mewah berbanding pengguna di negara-negara rantau Asia, Asia Pasifik dan Asia barat.
Kajian yang dinamakan Kajian Keutamaan Pembelian Pengguna - Beli-belah Barangan mewah mendapati 22 peratus responden dari Malaysia mengakui memiliki barangan mewah yang menunjukkan perbezaan ketara dengan responden dari Singapura (57 peratus), Jepun (50 peratus) dan India (47 peratus).
Manakala Indonesia, katanya, sebanyak lapan peratus responden di republik itu memiliki barangan mewah dan 23 peratus lagi responden di kalangan warga Filipina.
''Kajian tersebut telah dikendalikan dari Mac sehingga April lalu melibatkan 6,022 pengguna dari lapan pasaran dunia," kata MasterCard dalam kenyataannya di sini hari ini.
Pengumpulan data katanya, adalah menerusi kajian internet, peribadi, telefon dan temubual secara komputer dengan bantuan telefon.
Setiap soalan yang dikemukakan kepada responden turut diterjemah kepada bahasa ibunda negara masing-masing mengikut keperluan.
"Hasil kajian dan laporan itu bagaimanapun tidak mewakili prestasi kewangan MasterCard secara keseluruhannya,'' jelas kenyataan tersebut.
Tambah MasterCard, kajian yang diperoleh itu turut mendapati para pengguna di Malaysia tidak 'merindui' untuk memiliki barangan mewah.
Katanya, ia dibuktikan dengan statistik iaitu hanya 20 peratus daripada responden di Malaysia berminat untuk memiliki barangan mewah dalam tempoh 12 bulan akan datang.
"Dalam 20 peratus responden yang berminat membeli barangan mewah, 15 peratus daripadanya telah membuat perancangan untuk membeli barangan lebih murah iaitu di bawah AS$1,000 (RM3,100),'' kata MasterCard.
Tambah MasterCard, para pengguna di Malaysia turut didapati kurang berminat untuk memiliki barangan mewah berbanding negara-negara lain kerana rakyat Malaysia telah dikategorikan sebagai berhati-hati.
Kata kenyataan itu, statistik kajian menunjukkan sebanyak 59 peratus responden dari negara ini sanggup untuk membeli barangan mewah tempatan dan hanya sewaktu tempoh jualan murah.
"Secara keseluruhannya, kajian itu menunjukkan para pengguna Malaysia amat berjimat cermat dan pandai menguruskan kewangan mereka.
"Sebagai sebuah negara membangun yang menuju sebagai negara maju, semakin ramai rakyat Malaysia memastikan barangan yang dibeli mereka adalah berkualiti dan menepati kepuasan perkhidmatan yang dikehendaki,'' ujarnya.
Sementara itu, Naib Presiden dan Pengurus Kanan Malaysia dan Brunei, MasterCard Worldwide, Jim Cheah berkata, pihaknya akan berterusan menjalin kerjasama dengan beberapa pemain industri bagi memberi nilai yang lebih kepada pengguna di negara ini.

Sunday, October 23, 2011

LEGOLAND TAWAR PELUANG PEKERJAAN


Utusan Malaysia: Isnin 24 Oktober 2011

BATU PAHAT 23 Okt. – Taman Tema Legoland yang bakal beroperasi di Nusajaya tahun depan menawarkan 1,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang terutama berkaitan khidmat pelanggan, pengurusan dan hospitaliti.
Naib Presiden Kanan Pembangunan IDR Resorts (IDR Resorts) Sdn. Bhd., K. Sugumaran berkata, jumlah tenaga kerja yang diperlukan dijangka meningkat kepada 1,500 orang pada 2013.
Beliau berkata, keutamaan dalam pengambilan tenaga kerja akan diberikan kepada rakyat tempatan terutamanya anak watan negeri ini.
“Oleh itu, saya ingin menyarankan kepada anak-anak muda tempatan supaya merebut peluang ini, bukan sekadar untuk mendapat pekerjaan atau meningkatkan taraf hidup, tetapi untuk menimba pengalaman bekerja dengan syarikat-syarikat bertaraf antarabangsa.
“Diharapkan kita semua dapat berganding bahu mewujudkan negara berpendapatan tinggi dengan Iskandar Malaysia menjadi salah satu penyumbang utama bagi mencapai matlamat itu,” katanya semasa ditemui pada Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran (Kepak) 2011.
Kepak 2011 di Batu Pahat yang berlangsung mulai Khamis lepas dan berakhir hari ini di Dewan Jubli Intan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Ab. Aziz Kaprawi.
Utusan Malaysia adalah media rasmi Kepak 2011. Kepak di Batu Pahat yang bermula Khamis lalu akan berakhir esok.
Sempena Kepak, IDR Resorts menandatangani memorandum kerjasama dengan empat pusat latihan yang bertauliah dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan profesional bagi operasi taman tema itu.
Pusat-pusat yang terlibat adalah Kolej Komuniti Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang berpusat di Johor Bahru, Johor; Kolej Negeri Chedang Kampus Seremban dan East West College di Seremban, Negeri Sembilan dan Kagumas Culinary Academy di Bangi, Selangor.
Menerusi kerjasama itu, semua pusat tersebut akan melatih 500 orang dalam pelbagai bidang dan mereka yang mempunyai keterampilan bakal diserap sebagai tenaga kerja Taman Tema Legoland.
Taman Tema Legoland di Nusajaya atau Legoland Malaysia adalah yang pertama seumpamanya di Asia, dibina di kawasan seluas 31 hektar dan dibangunkan oleh IDR Resorts, anak syarikat IIB bersama Merlin Entertainments dengan kos RM720 juta.
Legoland Malaysia adalah Taman Tema Legoland yang keenam di dunia selepas Legoland Billund, Legoland Windsor, Legoland California, Legolang Deutschland dan Legoland Florida.

Saturday, October 22, 2011

KETAM TELUR MASIN



RESEPI



3 ekor ketam
5 biji telur masin ~ bhgn kuning sahaja
5 biji cili padi
2 sudu makan mentega
2 sudu makan susu cair
2 sudu makan tepung kanji
5 helai daun kari
Garam & lada sulah secukupnya

 CARA-CARA


1. Kukus ketam hingga masak & toskan airnya
2. Gaul ketam td dgn tepung kanji & goreng dlm minyak yg banyak & toskan.
3. Campur kuning telur masin bersama mentega & masak diatas api. Gunakan api perlahan.
4. Tuang susu cair & masukkan daun kari. Kacau rata.
5. Masukkan ketam tadi & goreng hingga mesra. Sedia dinikmati.

Thursday, October 20, 2011

KOPI RM 300 SECAWAN

SIAPA sangka najis musang atau luwak kini mampu menjadi komoditi bernilai tinggi yang menguntungkan pengusaha kopi di Indonesia.


LELAKI Indonesia yang menggelarkan dirinya Raja Luwak, Gunawan Supriadi kini berdepan kesukaran untuk memenuhi permintaan tinggi kopi luwak yang diproses daripada najis-najis musang peliharaannya.
Gunawan tidak bersendirian, pengusaha-pengusaha lain turut mengalami dilema yang sama.
Pengeksport-pengeksport berkata, permintaan terhadap biji kopi yang diproses daripada haiwan berbulu spesies musang atau lebih dikenali sebagai luwak meningkat secara mendadak dalam kalangan penggemar kopi di seluruh dunia.
Di ladangnya yang terletak di daerah, Lampung Barat, Sumatera terdapat sekitar 40 ekor musang yang memproses biji kopi secara semula jadi di bawah jenama kopi Raja Luwak. Daerah itu sememangnya terkenal sebagai pusat pengeluaran kopi luwak.

"Saya bercadang untuk memelihara 150 ekor musang pada masa hadapan bagi menampung permintaan yang semakin bertambah.
"Tiga tahun lalu, saya berjaya mengeluarkan kira-kira 50 kilogram (kg) kopi itu dan menjualnya kepada pengedar-pengedar tempatan.
"Bagaimanapun jumlah jualan pada tahun 2009 meningkat kepada 300kg. Pada tahun lalu, saya berjaya menjual sebanyak kira-kira 1.2 tan."
Nilai najis emas luwak, musang dari spesies Asian palm civet itu mampu mencecah sehingga AS$800 (RM2,422) sekilogram di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Korea Selatan dan Singapura.
Kisahnya berbeza sebaik sahaja ia memasuki pasaran. Secawan kopi luwak yang diiktiraf antara kopi yang termahal di dunia mampu mencecah sehingga AS$100 (RM300) di beberapa lokasi terkemuka di London.
Haiwan itu memainkan dua peranan penting dalam penghasilan kopi. Pertama, ia memilih biji kopi terbaik untuk dihadamkan. Pakar-pakar turut berpendapat musang liar paling dicari-cari kerana kecerdikannya, namun ia agak sukar ditemui.
Setelah menggigit lapisan luar kulit buah kopi, biji kopi yang masih berkulit ditelan sebelum sistem pencernaan haiwan itu mula memprosesnya secara semula jadi. Enzim-enzim mula meresap dan memberi keseimbangan kimia terhadap biji kopi, lazimnya jenis Arabica kerana ia banyak ditemui di sekitar Sumatera.
Selepas dibersihkan, biji kopi kemudiannya dijemur dan dibakar. Produk akhirnya ialah kopi yang kurang pahit berbanding kopi-kopi biasa serta mempunyai rasa yang unik dan lazat.
"Jika ia boleh diumpamakan seperti sebuah kereta, ia setaraf dengan Rolls-Royce," ujar Supriadi.
Seorang pengeksport kopi luwak, Doni Irawan memberitahu, jualannya meningkat sebanyak 50 peratus dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
"Ia telah menjadi primadona disebabkan harganya yang tinggi dan bekalan terhad. Penggemar-pengemarnya sentiasa bertambah dari semasa ke semasa," katanya.
Tradisi kopi luwak dikatakan bermula sejak beberapa ratus tahun lalu ketika era penjajahan Belanda di Indonesia.
                        BIJI kopi yang sedia tercerna, dibersihkan, dijemur dan dibakar sebelum diproses menjadi serbuk kopi.

Larangan membawa pulang kopi yang ditanam oleh tuan-tuan tanah ketika itu menyebabkan petani-petani tradisional mengumpul, membersihkan dan membakar biji-biji kopi tidak tercerna daripada najis haiwan yang mereka temui di dalam hutan.
Negara di rantau Asia Tenggara yang mempunyai populasi 240 juta penduduk itu kini merupakan pengeluar utama kopi luwak. Bagaimanapun industri itu hanya berkembang dalam tempoh beberapa tahun lalu menyebabkan data-data rasmi mengenai jumlah eksport yang dilakukan sukar diperoleh.
Penjual-penjual memberitahu, permintaan terhadap kopi luwak sentiasa tinggi dalam kalangan golongan berada dan pertengahan di negara itu.
Di negara yang mempunyai kira-kira 40 peratus rakyatnya berpendapatan kurang daripada AS$2 (RM6) sehari, kopi luwak dijual pada harga AS$8 (RM16) secawan di sekitar pusat beli-belah.
TRADISI kopi luwak dikatakan bermula beberapa ratus tahun lalu ketika era penjajahan Belanda di Indonesia
"Saya tidak pernah menyukai kopi, tetapi selepas mencuba kopi luwak, saya rasakan dunia saya berbeza. Saya semakin ketagih padanya," kata seorang penduduk di Jakarta, Galang Sulung Ramanda, 24.
"Saya minum kerana kebaikannya dari sudut kesihatan. Saya diberitahu ia mampu mencegah penyaki asma, Parkinson, kanser usus dan diabetes," jelasnya.
Kejayaan kopi luwak menyebabkan wujudnya beberapa jenama tiruan di pasaran yang menjanjikan pengalaman menikmati kopi yang sama pada harga separuh daripada harga asal.
Tidak mahu ketinggalan dalam persaingan itu, usahawan-usahawan di Vietnam memberitahu, mereka telah membangunkan kaedah mengubah biji kopi biasa secara kimia dan menghasilkan rasa yang sama seperti kopi luwak.



Wednesday, October 19, 2011

LANDSKAP MENARIK HUTAN BANDAR

Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah di Taman Mutiara Rini, Johor Bahru

JOHOR BAHRU 19 Okt. - Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) yang terletak di Taman Mutiara Rini, di sini merupakan projek pembangunan landskap bertujuan menjadikan hutan bandar sebagai tempat beriadah serta tarikan pelancong.
Terletak di kawasan seluas kira-kira 25 hektar, pelbagai aktiviti riadah sambil menikmati pemandangan alam semulajadi boleh diadakan di hutan bandar itu.
Yang Dipertua MPJBT, Md. Fuzi Ahmad Shahimi berkata, bagi mencapai tujuan tersebut, pelbagai komponen landskap dibangunkan berkonsepkan koleksi pepohon hutan tropika (arboretum).
Menurutnya, Hutan Bandar MPJBT yang dibangunkan sejak 2008 dan mula digunakan pada 2009 kini mempunyai 200 spesies tanaman berbeza dengan 3,200 pokok yang telah membesar.
Beliau berkata, pengunjung bukan sahaja boleh beriadah tetapi mengenali jenis pokok menerusi tanda nama tempatan dan nama botani yang diletakkan di pokok tersebut.
"Antara pokok yang ada adalah asam gelugur, keranji, tampoi, tongkat ali, jelutong, kempas, keruing bulu, bachang, johor, gelam, giam jantan, ipoh dan gaharu.
"Komponen lain yang ada di situ seperti bangunan serbaguna, tempat letak kereta, wakaf, menara pandang, taman bunga dan taman herba," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Katanya, hutan tersebut yang kini menjadi tumpuan orang ramai akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman Sabtu ini.
"Bagi memenuhi konsep hutan bandar seperti yang diharapkan warga kota, antara kemudahan yang disediakan termasuk taman permainan kanak-kanak berskala besar dengan keluasan 0.4 hektar dan mampu menampung 100 kanak-kanak dalam satu-satu masa.
"Kita turut menyediakan tasik untuk aktiviti memancing dan bagi memenuhi minat golongan remaja, MPJBT kini sedang menyiapkan tiga gelanggang futsal dan satu kawasan sukan lasak," katanya.
Selain itu, tempat riadah berkenaan turut mempunyai Dataran Sekapur Sirih yang dibina dengan kos RM24 juta untuk kegunaan acara rasmi dan keramaian termasuk sambutan Hari Kemerdekaan.
Md. Fuzi berkata, pembangunan landskap yang diterapkan di dataran itu mengenengahkan konsep gambir dan tepak sirih yang merupakan elemen penting dalam adat Melayu ketika meraikan sesuatu upacara keramaian seperti meminang, adat ketika bertandang dan sebagainya.
Menurutnya, kewujudan 24 rumah limas yang mewakili 24 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bakal menyerikan lagi hutan tersebut dan ia boleh digunakan untuk ruangan seminar, kursus, bengkel dan keramaian.

Sunday, October 16, 2011

BENDUNG JENAYAH JALANAN

SINAR HARIAN: Isnin 17 Oktober 2011


PUSAT PERDAGANGAN PONTIAN –: Sebanyak 68 saman melibatkan pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan dalam Operasi Cegah Jenayah, di sini, petang kelmarin.

Operasi yang diketuai Inspektor Muhammad Haniff Abd Rashid dari Cawangan Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis (IPD) Pontian ini dijalankan selama dua jam bertujuan untuk membendung jenayah jalanan yang melibatkan remaja.

Menurutnya, antara kesalahan yang sering dikesan adalah seperti memandu tanpa lesen; cukai jalan tamat tempoh; tidak memiliki cukai jalan; tidak memakai tali pinggang keselamatan; dan memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

Muhammad Haniff berkata, dalam operasi itu juga, pihaknya telah menahan seorang remaja perempuan berumur 13 tahun yang menunggang motosikal tanpa lesen.

“Ibu bapa remaja berkenaan dikenakan tindakan saman kerana membiarkan anak mereka di bawah umur menunggang motosikal,” katanya ketika ditemui :Sinar Harian: dalam operasi berkenaan.

Tegasnya, biarpun pelbagai program kesedaran dijalankan di peringkat sekolah dan juga kampung namun masih ada remaja di bawah usia yang ditahan setiap kali operasi dijalankan.

“Dalam setiap operasi yang dijalankan kebanyakan yang ditahan adalah remaja bawah umur

”Lebih mengejutkan, ada dalam kalangan mereka yang sudah ditahan berkali-kali bagi kesalahan sama namun masih tidak serik,” katanya.

Justeru itu, pihaknya akan lebih kerap mengadakan operasi jalan raya di kawasan yang menjadi tumpuan remaja seperti di Pusat Perdagangan Pontian.

Muhammad Haniff turut menasihatkan ibu bapa sentiasa mengawasi anak mereka supaya tidak sewenangnya menunggang motosikal tanpa lesen dan cukai jalan.

Jelasnya, tindakan dengan membiarkan anak menunggang motosikal tanpa lesen hanya akan menyusahkan ke dua ibu bapa dan penjaga dan saman akan dikeluarkan kepada mereka.

Seramai 14 anggota polis terlibat dalam Operasi Cegah Jenayah ini.

“Semua pesalah telah diarah menolak motosikal mereka ke IPD Pontian yang dianggarkan sejauh 2 kilometer (km) bertujuan memberikan pengajaran kepada mereka,” katanya.

SUSU SANTAN SAWIT


KOSMO: Isnin 17 Oktober 2011

LAZIMNYA air bandung yang menjadi penghilang dahaga ketika terik mentari dibancuh dengan susu cair, susu pekat mahupun susu segar. Namun, pernahkah anda mendengar atau menikmati sendiri air berwarna merah jambu itu yang dibancuh dengan menggunakan santan sawit?
Ya, santan sawit. Mendengar nama santan sawit sahaja sudah kedengaran pelik apatah lagi, membayangkan minuman tersebut dibancuh dengan santan yang lazimnya dijadikan ramuan untuk menyediakan lauk-pauk seperti gulai masak lemak cili api, rendang, kari dan sebagainya.
Itu yang bermain di benak fikiran penulis saat mahu meneguk minuman tersebut ketika berkunjung ke Karnival Usahawan Desa 2011 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Laman 1Malaysia, Presint 2 Putrajaya yang berlangsung pada 21 hingga 25 September baru-baru ini.
Dengan perasaan penuh skeptikal bercampur dengan naluri ingin tahu, penulis teragak-agak membuat sedutan pertama dan akhirnya berjaya menghabiskan minuman tersebut. Rasanya boleh tahan!
Tidak berhenti di situ, penulis kemudian mencuba cendol santan sawit. Ternyata, rasa enak kedua-dua minuman tersebut membuang jauh rasa ragu yang singgah di kotak fikiran pada mulanya. Tak kenal, maka tak cinta!
Rasa keterujaan tersebut membuatkan penulis mahu mengupas lebih lanjut mengenai inovasi santan sawit hasil penemuan sekumpulan pengkaji yang berjaya menemukan pengganti hampir kepada santan kelapa.
Teknik penyemburan kering
Umum mengetahui bahawa buah kelapa sawit yang diperah dapat menghasilkan minyak masak, namun Ketua Penyelidik Bahagian Pemakanan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Zaida Zainal berjaya tampil dengan formula yang membolehkan santan dihasilkan melalui bahan mentah yang sama.
Inovasi itu bermula apabila Zaida dan pasukannya berjaya menghasilkan santan sawit serbuk dengan teknik penyemburan kering pada tahun 1998. Kemudian kajian yang sama diteruskan sehingga terhasillah santan sawit dalam bentuk cecair.
Santan sawit itu kemudian dikomersialkan oleh Premium Food Corporation Sdn. Bhd. (PFC) pada bulan September 2010 bermula di Lembah Klang kemudian menyebarluas pasarannya ke selatan, utara dan timur Semenanjung,
Pengarah Urusan PFC, Jasri Mohd. Rashid memberitahu, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan bagi meluaskan pasaran produk santan sawit dengan label Khalis keluaran PFC.



“Secara asasnya kita melakukan sesuatu yang baik kepada golongan masyarakat dengan memberikan alternatif terhadap mereka yang tidak makan santan kelapa tetapi, mahu menikmati makanan yang sedap dan sihat.
“Kita bukan sahaja memberikan alternatif ini buat pengguna yang menitikberatkan soal kesihatan malah, kepada mereka yang berniaga kerana produk ini bukan sahaja menyihatkan malah, ia menjimatkan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Tambahnya, penggunaan santan sawit sangat menjimatkan kos berbanding santan kelapa kerana penggunaannya adalah separuh daripada biasa.
“Makanan yang dimasak menggunakan santan sawit juga tidak mudah rosak atau basi jika ia tidak dimasukkan ke dalam peti sejuk atau dipanaskan pada keesokan harinya.
“Peniaga pula tidak perlu membeli santan setiap hari bagi mengurangkan kos kerana jangka hayat santan sawit ini boleh tahan sehingga tiga bulan tanpa pengawet apabila disimpan pada suhu di bawah 5 darjah Celsius,” ujarnya.
Lelaki yang pernah menimba pengalaman dengan syarikat gergasi, Nestle Malaysia lebih 10 tahun itu mendapat formula tersebut daripada MPOB yakin dengan potensi santan sawit yang menjadi alternatif kepada santan kelapa.
Banyak usaha yang dicurahkan bagi membuka minda dan mengubah persepsi salah masyarakat mengenai kebaikan produk santan sawit Khalis sehingga pihaknya melakukan pelbagai ujian rasa kepada orang ramai.
“Bukan mudah untuk mengubah pemikiran masyarakat yang mengaitkan sawit dengan minyak masak sahaja. Pada awalnya ramai yang sukar menerima bahawa sawit juga mampu menghasilkan santan dan digunakan dalam masakan serta minuman.
“Pertama kali mereka mendengar mengenai produk ini, mereka akan skeptikal. ‘Eh, betul ke? boleh ke? sedap ke?’ Jadi, bagi meyakinkan mereka, kami membuat sampel seperti air bandung, cendol, kari, masak lemak dan sebagainya untuk mereka merasainya sendiri. Ternyata mereka boleh menerimanya malah, ada yang mengatakan rasa masakan lebih enak berbanding santan biasa,” katanya.
Jasri memberitahu, minyak sawit daripada gred yang terpilih melalui proses penapisan, pengemulsi dan penstabilan bagi menghasilkan santan sawit berkualiti.
Malah, PFC telah memperoleh sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP) serta pengiktirafan halal daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


Santan sawit tersebut dihasilkan daripada sawit terpilih mempunyai kandungan asid lemak yang amat rendah dan tanpa kolesterol.
Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai kandungan nutrien yang tinggi, kaya dengan vitamin A dan E semula jadi baik untuk penglihatan, melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko sakit jantung serta baik untuk kulit.
“Biasanya ada sesetengah orang sejurus lepas makan cendol akan rasa mual atau mengantuk selepas menikmati nasi lemak tetapi apabila santan sawit digunakan dalam kedua-dua hidangan ini, rasa mual dan mengantuk itu tiada.
“Malah ujian rasa yang dilakukan kepada orang ramai mendapati mereka tidak dapat mengesan perbezaan rasa antara santan sawit dan santan kelapa,” jelasnya sambil memberitahu PFC memasarkan 30 tan metrik santan sawit sebulan.
Sungguhpun giat menjalankan promosi, masih ramai yang tidak menyedari mengenai kewujudan santan sawit yang mempunyai potensi sebagai alternatif kepada santan kelapa.
“Penggunaan santan sawit belum cukup meluas lagi. Ramai pengguna tidak tahu mengenainya. Oleh sebab itu, kami amat memerlukan ejen untuk menggerakkan produk ini di pasaran kerana ruangnya cukup luas.
“Produk ini masih perlu dikembangkan secara agresif. Buat masa ini produk ini boleh didapati di Pasar raya Besar Giant dan Mydin. Kami juga merancang untuk memasuki pasaran operator makanan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi,” katanya.
Buat masa ini katanya, pengeluaran produk santan sawit Khalis berdasarkan permintaan walaupun mampu mengeluarkan 18 tan metrik sehari.
Kolesterol terkawal
Dalam pada itu, seorang wanita berusia 63 tahun dari Tapah, Perak, Junaidah Abdul Latif sangat menggemari masakan berasaskan santan.
Namun sejajar dengan peningkatan usianya, doktor tidak menggalakkan mengambil masakan bersantan bagi mengelakkan masalah kesihatan.
“Sebelum ini mak cik memang ada masalah kolesterol tinggi namun, sejak menggantikan penggunaan santan kelapa kepada santan sawit dalam masakan, paras kolesterol dalam darah mak cik normal.
“Sejak menggunakan santan sawit ini, tidak lagi perlu berpantang makan masakan berlemak. Santan ini bukan sahaja rendah lemak malah, tiada kolesterol dan masakan juga enak,” katanya yang kemudian mengambil inisiatif menjadi ejen pengedar setelah empat bulan menjadi pengguna santan sawit.
Junaidah menambah, masakan yang menggunakan santan sawit lebih enak dan dari segi rasa tiada perbezaan cuma ia lebih sihat dan menjimatkan.
“Kalau santan kelapa kita gunakan sekilo dalam sesuatu masakan apabila kita gantikan dengan santan sawit separuh daripada penggunaan sahaja yang diperlukan.
“Cara memasaknya juga mudah namun berbeza sedikit. Jika masa lemak dan kari, semua ramuan perlu dimasak dengan air terlebih dahulu dan kemudian dimasukkan santan hingga mendidih. Tidak perlu mengacau dan tunggu kerana ia tidak akan pecah minyak seperti masak menggunakan santan kelapa,” jelasnya.
Keghairahannya memperkenalkan santan sawit kepada warga Tapah membuatkan Junaidah mendapat jolokan Junaidah SS (santan sawit).
“Mak cik mengedarkan produk santan sawit Khalis ini di kedai-kedai runcit, pasar mini dan pasar raya di sekitar Tapah. Ia dijual pada harga RM7.50 bagi pek 1 liter dan RM4.50 untuk pek 400 mililiter.
“Santan ini juga turut digunakan oleh anak saudara mak cik yang kini mengusahakan restoran di Tapah dan ia ternyata jimat selain dapat menjamu pelanggan dengan hidangan yang sihat dan sedap,” katanya sambil memberitahu santan sawit tidak boleh dibekukan.







MENARA JAM MEKAH PUNYAI SENTUHAN ANAK MALAYSIA




MEKAH 16 Okt. – Seharusnya Malaysia boleh berbangga melihat struktur menara jam yang tersergam indah menghadap Masjidil Haram di sini, Menara Hotel Jam Diraja Mekah atau dikenali sebagai Abraj Al-Bait, kerana ia sebenarnya mempunyai ‘sentuhan anak Malaysia.’
Wan Nazri Wan Aria, 31, merupakan jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch, yang bertanggungjawab menampilkan reka bentuk dan pembinaan menara jam gergasi itu.
Katanya, menara itu memerlu kan lightweight steel structure untuk menyokong jam gergasi itu, dan di sini kejituan teknologi Jerman dengan kerjasama tenaga pakar dari syarikat Premier Composite Technology dari Dubai, diperlukan untuk menyempurnakan tanggungja wab itu.
Uniknya, 14 tenaga pakar dari Premier Composite Technology itu juga terdiri daripada kumpulan anak muda dari Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang memukau perhatian jutaan jemaah dari serata dunia yang datang ke sini untuk mengerjakan haji dan umrah.
Dengan ketinggian 601 meter, ia merupakan menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara-menara jam lain yang terkenal di seluruh dunia seperti Menara jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara jam The Big Ben di London, dan Menara jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat.
“Ia tiga kali lebih besar daripada Menara Big Ben di London,” kata pemuda kelahiran Melaka, yang menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2002 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Stuttgart, Jerman.
Nazri bersama beberapa jurutera Premier Composite Technology ditemui oleh kumpulan media Tabung Haji sedang menikmati teh tarik di Restoran Felda D”saji di Safwa Tower berhampiran Masjidil Haram di sini.
Katanya, beliau amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada tenaga pakar yang melakar sejarah di Mekah, apabila dibabitkan dalam kerja-kerja membina mercu tanda terbaru yang dapat membantu jemaah mengenal pasti kedudukan Masjidil Haram dari jauh lagi, di tengah kota di tanah suci itu.
Jam gergasi yang dihias replika bulan sabit itu dikatakan boleh di lihat dari jarak sehingga 17 kilometer pada waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang, manakala cahaya daripada dua juta lampu LED yang menghiasinya yang berkerlipan setiap kali azan berkumandang pula boleh dilihat dari jarak sehingga 28 kilometer pada waktu malam.
Selain itu 90 juta kaca mozek keemasan digunakan untuk menghiasi keempat-empat permukaan jam itu.
Nazri berkata, menara jam yang dilaporkan bernilai US$3 bilion itu dijangka siap sepenuhnya pada bulan Februari tahun depan sebelum diserahkan kepada pemaju dan kontraktornya Kumpulan Binladin pada bulan Mei, dan beliau bersama kumpulan pakar dari Premier Composite Technology berada di sini bagi memantau dan menyelia kerja-kerja akhir pembinaan menara jam itu.
Sementara itu menceritakan pengalaman kerja di sebuah syarikat Jerman, Nazri berkata beliau mengambil masa yang lama sebelum kepakarannya mendapat perhatian, pengiktirafan dan diberi peluang menerajui projek itu.
Rakannya, jurutera dari Premier Composite Technology, Armazizul Arifin pula berkata bahan komposit merupakan satu bidang baru, dan tidak banyak syarikat di dunia mempunyai kepakaran serta teknologi berkaitan bahan itu, dan ia membuatkan kebanyakan pakar dalam pemasangan bahan itu biasanya saling mengenali antara satu sama lain.
Beliau berkata, bekerja dalam satu kumpulan tenaga pakar dari negara sama merupakan satu kelebihan nyata, dan menurutnya beliau bersama kumpulan rakan-rakannya itu turut terlibat dalam beberapa projek besar membabitkan pemasangan struktur binaan logam yang kukuh tetapi ringan itu. – BERNAMA

HALFEST 2011 DAPAT SAMBUTAN


KUALA LUMPUR 16 Okt. - Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2011 berjaya memberi peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk buatan mereka kepada pengguna secara langsung.
Ini diakui oleh seorang usahawan Kuih Bakar Tradisional segera, Ridwan Kamaruddin, 31, yang menyatakan bahawa jualan makanannya mendapat sambutan yang memberangsangkan.
"Ini kerana kuih bakar yang dibuat dalam bentuk segera telah menarik perhatian ramai iaitu hanya perlu dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro untuk dimakan. Idea menghasilkan produk ini adalah daripada pemerhatian terhadap permintaan makanan segera yang sentiasa mempunyai pasaran.
"Dalam menghasilkan kuih bakar segera ini, saya masih mengekalkan ciri-ciri dan rasa tradisional," katanya ketika ditemui di Majlis Hallfest 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang penjual Pati Sup Belut, Amir Redza, 19, berkata, oleh kerana permintaan yang begitu menggalakkan sepanjang lima hari Halfest berlangsung, dia terpaksa menambah produk dan kakitangan bagi memenuhi keperluan pengunjung.
"Maklum balas daripada orang ramai menyatakan produk ini berkhasiat dan boleh mengubati penyakit seperti asma, melancarkan peredaran darah di samping menguatkan tenaga batin,'' katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pengunjung-pengunjung berasa puas hati dengan pameran tersebut dan mengambil peluang merasai produk-produk tempatan hasil usahawan industri kecil, sederhana dan syarikat besar yang mempunyai sijil halal.
Seorang pengunjung, Siti Rahani Abdul Rahman, 41, menyatakan rasa gembiranya buat kali kedua datang ke Halfest ini kerana boleh menikmati pelbagai produk tempatan dengan harga yang murah.
"Setelah dua kali mengunjungi pameran ini, pelbagai barangan yang susah didapati seperti madu bercampur halia boleh dibeli dengan harga yang murah. Harga di pasaran RM40, tetapi di Halfest ini harganya jauh lebih rendah iaitu RM30
"Selain itu, pada pameran inilah kita boleh mengetahui mengenai produk-produk usahawan tempatan yang juga setanding dengan syarikat besar ataupun yang telah dikenali ramai,'' katanya