SINAR HARIAN: Isnin 17 Oktober 2011
PUSAT PERDAGANGAN PONTIAN –: Sebanyak 68 saman melibatkan pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan dalam Operasi Cegah Jenayah, di sini, petang kelmarin.
Operasi yang diketuai Inspektor Muhammad Haniff Abd Rashid dari Cawangan Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis (IPD) Pontian ini dijalankan selama dua jam bertujuan untuk membendung jenayah jalanan yang melibatkan remaja.
Menurutnya, antara kesalahan yang sering dikesan adalah seperti memandu tanpa lesen; cukai jalan tamat tempoh; tidak memiliki cukai jalan; tidak memakai tali pinggang keselamatan; dan memandu sambil menggunakan telefon bimbit.
Muhammad Haniff berkata, dalam operasi itu juga, pihaknya telah menahan seorang remaja perempuan berumur 13 tahun yang menunggang motosikal tanpa lesen.
“Ibu bapa remaja berkenaan dikenakan tindakan saman kerana membiarkan anak mereka di bawah umur menunggang motosikal,” katanya ketika ditemui :Sinar Harian: dalam operasi berkenaan.
Tegasnya, biarpun pelbagai program kesedaran dijalankan di peringkat sekolah dan juga kampung namun masih ada remaja di bawah usia yang ditahan setiap kali operasi dijalankan.
“Dalam setiap operasi yang dijalankan kebanyakan yang ditahan adalah remaja bawah umur
”Lebih mengejutkan, ada dalam kalangan mereka yang sudah ditahan berkali-kali bagi kesalahan sama namun masih tidak serik,” katanya.
Justeru itu, pihaknya akan lebih kerap mengadakan operasi jalan raya di kawasan yang menjadi tumpuan remaja seperti di Pusat Perdagangan Pontian.
Muhammad Haniff turut menasihatkan ibu bapa sentiasa mengawasi anak mereka supaya tidak sewenangnya menunggang motosikal tanpa lesen dan cukai jalan.
Jelasnya, tindakan dengan membiarkan anak menunggang motosikal tanpa lesen hanya akan menyusahkan ke dua ibu bapa dan penjaga dan saman akan dikeluarkan kepada mereka.
Seramai 14 anggota polis terlibat dalam Operasi Cegah Jenayah ini.
“Semua pesalah telah diarah menolak motosikal mereka ke IPD Pontian yang dianggarkan sejauh 2 kilometer (km) bertujuan memberikan pengajaran kepada mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment