Monday, November 7, 2011

JB WATERFRONT CITY YANG TERBENGKALAI

Bangunan JB Waterfront yang terbiar sejak sekian lama di pesisiran Selat Tebrau, Johor Bahru
PERTUBUHAN Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menggesa kerajaan negeri supaya melakukan sesuatu terhadap bangunan JB Waterfront City di sini yang menjadi projek gajah putih sejak lebih 15 tahun lalu.


Presiden PPPMM, A. Rahman Mahadi berkata, bangunan di Jalan Persiaran Tun Sri Lanang itu mencemarkan pemandangan Selat Tebrau dan keadaan tersebut amat merugikan kerana kewujudannya tidak dapat dimanfaatkan.
"Kita minta kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) supaya mengadap dan memohon perkenan Sultan Johor untuk melakukan sesuatu terhadap bangunan itu.
"PPPMM mencadangkan bangunan itu dijadikan pusat sehenti untuk orang awam, tempat rujukan untuk pelancong, bangunan kerajaan atau apa sahaja yang difikirkan sesuai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
A. Rahman berkata, sekiranya bangunan berkenaan tidak dapat dimanfaatkan adalah lebih baik ia dirobohkan dan tapaknya dijadikan tempat untuk rekreasi.
Katanya, semua cerucuk berdekatan bangunan itu juga perlu dicabut bagi memastikan kawasan tersebut yang menghadap Singapura tidak menjejaskan imej bandar raya ini.
"Kami dukacita dengan kegagalan projek mega seperti ini yang melibatkan wang rakyat melalui pinjaman institusi kewangan, ini bererti setiap rakyat menanggung hutang," katanya.
Beliau berkata, dikhuatiri jika bangunan tersebut terus dibiarkan akan menjadi sarang penagih dadah atau tempat melakukan kegiatan sumbang.
Menurut beliau, sudah sampai masanya masalah tersebut diselesaikan kerana bangunan itu telah lama terbengkalai dan tiada siapa pun yang mempedulikannya.

No comments:

Post a Comment