Sunday, November 13, 2011

MEWUJUDKAN JOHOR YANG SELAMAT

JANGAN terkejut sekiranya ada sekumpulan pegawai dan anggota polis termasuk Ketua Polis Daerah (OCPD) mengetuk pintu rumah anda.
Kunjungan mereka bukan bermakna anda seorang penjenayah tetapi ia merupakan pendekatan terbaru yang diambil oleh polis Johor. Jadi, layanilah kunjungan mereka dengan baik dan mesra.
Pendekatan ‘agresif tapi mesra’ untuk mengenali penduduk sesuatu kawasan dengan lebih dekat itu diperkenalkan oleh pegawai polis nombor satu di Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.
Ia adalah cara terkini digunakan polis Johor bagi membanteras dan mengurangkan kadar jenayah sejajar usaha untuk mencapai sasaran ditetapkan kerajaan dalam Bidang Kerberhasilan Utama Negara (NKRA).
Program yang akan digerakkan tidak lama lagi itu dilihat lebih dekat dengan masyarakat memandangkan ‘rombongan’ terbabit bakal bertemu penduduk setempat dalam kumpulan kecil bagi mendengar pandangan serta masalah mereka. Ia membabitkan kawasan ‘panas’ yang dikenal pasti dan dijalankan pada hujung minggu, sekali gus menuntut pengorbanan besar daripada pihak polis kerana perlu mengetepikan masa bersama keluarga pada waktu itu.
“Ini tidak bermakna pendekatan lama tidak berkesan, tetapi ia antara langkah diambil kami untuk merancakkan lagi usaha yang digerakkan polis Johor sebelum ini. Kami ingin terus perangi jenayah,” kata Mohd. Mokhtar kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurutnya, pendekatan ‘mencegah lebih baik daripada merawat’ iaitu dengan mengarahkan semua pegawai dan anggota mencari maklumat bagi langkah pencegahan dan sejak diperkenalkan pada tahun 2009 sebanyak 140,440 maklumat diperoleh.
Selain itu, polis Johor turut melancarkan pelbagai operasi berterusan dan pada masa sama meningkatkan kemahiran siasatan menerusi sains forensik supaya pengumpulan bahan bukti lebih banyak, sekali gus memudahkan penjenayah didakwa.
Sejak NKRA diperkenalkan, ia memberi nafas baru kepada polis mengoptimumkan penggunaan ‘manpower’ serta kepolisan bijak dan bermula dengan penambahbaikan itu Johor terus mencatatkan penurunan kadar jenayah memberansangkan, ujarnya.
“Sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, kita mencatatkan penurunan sebanyak 586 kes jenayah kekerasan dan menjadikannya 3,763 kes berbanding 4,349 tahun lalu.
“Bagi jenayah harta benda pula, kita berjaya menurunkan sebanyak 200 kes menjadikannya 13,700 kes berbanding 13,900 yang dicatatkan pada tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata, dengan kadar itu Johor terus cemerlang terutamanya dalam menarik pelaburan kerana bagi pelabur perkara paling mustahak perlu diambil kira adalah keselamatan, pendidikan dan kesihatan.
Menurutnya, Johor mencatat pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi di negara ini terutamanya di Iskandar Malaysia yang kini mencecah RM76 bilion, sekali gus membuktikan bahawa negeri itu selamat bukan sahaja untuk dikunjungi malah didiami.
Sebagai contoh, jumlah rakyat Singapura sahaja yang memasuki negara ini mencecah 150,000 orang pada hari biasa dan 200,000 pada hujung minggu serta mereka juga merupakan antara pelabur tertinggi di Johor.
Justeru, tegasnya, dakwaan sesetengah pihak yang menggambarkan Johor tidak selamat adalah tidak benar sama sekali kerana penjenayah menjalankan ‘kerja’ mereka apabila wujudnya ruang dan peluang.
“Penjenayah tidak memilih dari mana awak datang atau sebagai contoh adakah anda rakyat Singapura ke, tentu tidak sama sekali. Mereka (penjenayah) ini ada peluang saja buat ‘kerja’ tak kira siapa,” tegasnya.
Mohd. Mokhtar memberitahu, dalam melaksanakan tugas yang diberikan, beliau sering memberikan penekanan terhadap aspek integriti kerana ia merupakan kunci kepada sesuatu kejayaan.
“Kita bermula dengan integriti, kita boleh wujudkan pelbagai piagam atau program sekali pun, tetapi tanpa integriti, tanggungjawab yang diberikan tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya

No comments:

Post a Comment