Thursday, January 12, 2012

QADA ZAKAT PENDAPATAN

SAYA bekerja sejak tahun 2005. Malangnya, saya tidak pernah menunaikan zakat pendapatan. Apakah yang perlu saya lakukan, adakah boleh saya terlepas daripada zakat pendapatan yang telah berlalu itu?

Jika perlu saya membayarnya juga, apakah kaedah yang paling sesuai untuk saya gunakan? Harap penjelasan daripada pihak ustaz.

JAWAPAN:
Hukum zakat pendapatan adalah wajib dan inilah yang diputuskan sama ada oleh kebanyakan Jawatankuasa Fatwa Negeri mahu pun Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Maka, umat Islam yang melalaikan hukum yang wajib, hendaklah mereka menunaikannya kembali tatkala mereka tersedar daripada kealpaannya dan ia dinamakan qada.
Inilah yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 2006, yang menyatakan: "Mengenai hukum qada zakat, ia wajib dilakukan bagi zakat yang telah memenuhi syarat wajib yang tidak ditunaikan pada masa yang sepatutnya". (Rujuk Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-76, 23 November 2006)
Maka, bagi seorang mukalaf yang telah cukup semua syarat wajib zakatnya, maka hendaklah mereka mengqada semua zakat hartanya yang telah mereka abaikan.
Melainkan pada tahun-tahun berkenaan, berlakunya keciciran salah satu syarat wajib zakat.
Misalnya hartanya terkurang daripada paras nisab, maka tidaklah wajib dia menzakatkannya dan terlepaslah qada zakat ke atasnya bagi tahun yang berkenaan.
Maka, bagaimanakah kaedah mengqada zakat pendapatan ini? Maka, langkah pertama, hendaklah ditaksirkan kesemua pendapatan yang diperolehi bagi setiap tahun yang telah berlalu itu, sama ada 10 tahun atau beberapa tahun.
Hendaklah difahami, maksud pendapatan di sini, bukan sekadar pendapatan bergaji, tetapi merangkumi semua jenis sumber pendapatan, sama ada berkala, tidak berkala, sumber bukan pekerjaan dan juga daripada sumber sewaan.
Semua ini adalah pendapatan sampingan yang dinisbahkan sebagai al-mal al-mustafad dan wajib dizakatkan. Misalnya, si A menjadi guru sekolah, beliau mendapat gaji. Beliau juga membuka kelas tambahan, sering memberikan ceramah motivasi, rajin menulis artikel dan menghasilkan buku.
Si A juga ada menerima hibah wang daripada bapanya dan menerima hasil sewaan daripada tiga rumah sewanya. Semua ini adalah pendapatan yang wajib dihitung untuk dikeluarkan zakatnya bagi setiap tahun berkenaan.
Kemudian, setelah memperolehi jumlah pendapatan keseluruhan, hendaklah pula dibuat tolakan berasaskan kaedah yang telah ditetapkan oleh institusi zakat.
Lazimnya kaedah tolakan yang diaplikasikan adalah kaedah kedua yang berasaskan perbelanjaan minimum seseorang bagi setiap tahun berkenaan (jika di Selangor, ia dikenali sebagai tolakan berasaskan had al-kifayah). Setelah itu, darablah 2.5 peratus sebagai zakat. Inilah jumlah zakatnya yang wajib dibayar sebagai qada zakat.
Seandainya jumlah qada zakat yang diperolehi itu amat besar dan di luar kemampuan melangsaikannya sekali gus, seseorang itu boleh membuat ansuran terhadap qada zakatnya.
Misalnya, katakanlah qada zakatnya adalah RM10,000; maka bahagikan jumlah itu dengan 12 bulan, 24 bulan atau 36 bulan mengikut keadaan kewangan yang termampu.
Kemudiannya, seseorang itu boleh memasukkan qada zakat yang dibuat secara ansuran itu ke dalam potongan gaji bulanannya yang disekalikan dengan zakat pendapatan bulanan. Hal ini tidak menjadi satu kesalahan.
Contohnya:

Qada zakat: RM10,000
Ansuran:

RM10,000 /12 bulan> RM833.33
sebulan

RM10,000 /24 bulan> RM416.66
sebulan

RM10,000 /36 bulan> RM277.77
sebulan

Katakanlah potongan zakat pendapatan secara bulanan bagi tahun 2012 pula adalah RM200, maka campurkanlah mana-mana jumlah di atas dan tunaikanlah ia secara ansuran.
Apabila berubah ke tahun hadapan, kekalkan jumlah qada dan yang berubah hanyalah zakat pendapatan semasa sahaja.
Namun, satu perkara yang wajib diambil ingatan adalah, seseorang itu perlu memastikan waris mengetahui bahawa mereka masih mempunyai hutang zakat.
Oleh itu, hendaklah dibuat wasiat bertulis atau menggunakan apa-apa kaedah demi memastikan orang yang mewarisi harta kita, tahu bahawa di sebalik harta pusaka yang diwariskan, ada hutang zakat yang masih wajib dilunaskan.
Ini kerana, menurut kitab Mustika Hadis jilid ke-3: "Orang mati yang masih belum membayar zakat, maka zakat itu wajib dikeluarkan daripada hartanya sebelum membayar hutangnya sesama manusia dan sebelum melaksanakan wasiatnya dan bahagian waris-warisnya".
Hal ini sejajar dengan apa yang diterangkan oleh sebuah hadis Nabi Muhammad SAW: Daripada Ibn Abbas r.a., bahawa Rasulullah bersabda: (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Di samping itu, adalah amat dianjurkan agar mereka yang berkenaan, bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT, di atas kealpaan menunaikan zakat tersebut.
Mudah-mudahan, Allah SWT menerima taubat dan menerima qada zakat yang dilakukan dan menyediakan keberkatan hidup bagi mereka yang mahu membetulkan kesilapan. Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment