KUALA LUMPUR: Chaswood Resources, pengendali restoran keluarga ala Amerika, TGI Friday’s mengambil keputusan mengubah suai semua menu serta menggunakan sos sama seperti rangkaiannya di Asia Barat bagi menarik perhatian pelanggan di negara ini, terutama beragama Islam.
Pengarah Urusannya, Andrew Reddy berkata, sos itu disediakan sendiri setiap hari bagi menjamin kualiti dan kesegaran bahan masakan.
“Chef Eksekutif TGI Friday’s, Larry Doyle datang ke Malaysia untuk membantu kami membuat semakan semula semua menu dan melatih kakitangan menyediakan makanan seperti dihidangkan di restoran kami di Asia Barat.
“Proses ini bukan mudah kerana kami bukan saja mengubah menu tetapi pada masa sama memastikan ia memenuhi cita rasa pelanggan tempatan tanpa menjejaskan keaslian rasa hidangan TGI Friday’s.
“Kami juga membuat ujian rasa makanan menggunakan sos baru; dan hasilnya memuaskan kerana kebanyakan memberi maklum balas bahawa sajian dengan sos baru lebih enak,” katanya.
Menurut Reddy, semua daging dan ayam dibeli daripada pengedar yang mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), malah beliau mengunjungi pusat penyembelihan bagi memastikan ia mematuhi peraturan ditetapkan.
Beliau berkata, sejajar dengan perubahan itu, TGI Friday’s menawarkan daging panggang Tennessee Grill yang popular di negara Asia Barat.
Katanya, meskipun berlaku pengubahsuaian menu, keunikan dan keaslian rasa semua hidangan TGI Friday’s tetap dikekalkan kerana setiap perubahan dilakukan dengan teliti dan disempurnakan oleh pengurusan TGI Friday’s International.
Malah hampir 70 peratus menu di semua rangkaian TGI Friday’s seluruh dunia adalah sama dengan yang dihidangkan di Malaysia; bezanya sajian di restoran tempatan tidak mengandungi alkohol.
Selain itu, restoran TGI Friday’s di Menara Hap Seng adalah cawangan pertama di dunia dibenarkan menukar konsep hiasan dalaman dengan sentuhan tempatan.
Kini Chaswood Resources memberi tumpuan untuk membuka cawangan terbaru di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya, pada Mac depan dan ia dijangka menjadi restoran TGI Friday’s pertama mendapat sijil halal.
“Perancangan ini dibuat mengikut keperluan dan profil pelanggan. Jika ia berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan, tidak mustahil konsep ini diperluaskan ke cawangan lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment