Saturday, February 18, 2012

BANTU GOLONGAN MISKIN TUNAIKAN UMRAH

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) hari ini melancarkan Program Umrah Seringgit Sejuta Nilai bertujuan mengumpulkan dana bagi membawa golongan kurang berkemampuan menunaikan ibadah umrah.
Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, program tersebut akan digerakkan untuk menarik orang ramai menghulurkan RM1 sebagai derma.
Katanya, cara itu sedikit sebanyak dapat membantu memenuhi impian golongan tersebut untuk menunaikan ibadah umrah.
"Ramai di antara mereka mengimpikan untuk menjadi tetamu Allah tetapi dibelenggu dengan kemiskinan, jadi dengan ikhtiar ini diharap dapat membantu merealisasikan hajat mereka itu.
"Lagipun apalah sangat nilai satu ringgit jika hendak dibandingkan dengan nikmat yang dapat kita berikan kepada mereka untuk menjadi tetamu Allah kelak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program berkenaan di sini hari ini.
Program itu dijalankan dengan kerjasama Karyawan Bestari Sdn. Bhd. dan menyasarkan golongan kurang berkemampuan seperti fakir miskin, saudara baru, warga emas, anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya.
Tambahnya, selain derma orang ramai, pihaknya juga mengalu-alukan syarikat korporat untuk menderma agar lebih ramai golongan kurang berkemampuan dapat dibawa ke Mekah.
"Bayangkanlah jika kita dapat mengumpulkan seringgit daripada setiap poket rakyat Malaysia, berapa ramai yang kita dapat bawa ke Mekah?," soalnya.
Katanya, bagi pihak berminat untuk menghulurkan derma, mereka boleh menyumbang melalui akaun bank Al Rajhi bernombor 107001881930103 atau melalui tabung yang digerakkan oleh sukarelawan.
Zainal berkata, untuk permulaan, program tersebut membawa dua peserta iaitu saudara baru, Omar Ravi Abdullah, 42, dan Abdul Samad Sapie, 59, menunaikan umrah Mei depan.
"Pemilihan dua peserta ini adalah sebagai percubaan dan sekiranya mendapat sambutan, kita teruskan untuk membawa lebih ramai golongan ini menunaikan umrah,'' katanya.
Sementara itu, Omar Ravi mengakui sangat terharu dan bersyukur dengan rezeki yang diterima itu.
Abdul Samad berkata, doanya untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah akhirnya dimakbulkan Allah SWT.

No comments:

Post a Comment