SIFAT berdikari yang kental dalam diri sejak usia remaja lagi sedikit sebanyak memudahkan lagi perjalanan wanita ini dalam memenuhi impian untuk memiliki restoran sendiri.
Apatah lagi dengan pengalaman yang dikutip ketika melakukan pelbagai jenis kerja termasuk membantu keluarganya mengusahakan kedai makan.
Kini, Suriyani Kamaruddin sudah boleh berbangga dengan Bidor Station Kopitiam, restoran idaman yang diusahakan bersama suaminya, Azhari Roslan.
"Saya dibesarkan dalam keluarga yang berniaga. Warung keluarga berdekatan dengan kawasan stesen kereta api lama di Bidor, Perak , tempat di mana saya selalu bermain bersama adik beradik dan rakan-rakan.
"Apabila usia meningkat remaja, selalu juga terutama ketika cuti sekolah emak meminta saya membantunya di warung.
"Dari situ saya mula minat berniaga dan menanam keinginan untuk memiliki restoran sendiri suatu hari nanti," katanya di temui di restorannya No 12, Jalan Seri Taming, Batu 9, Cheras, Selangor.
Malah katanya, nama Bidor Station dipilih bagi membangkitkan nostalgia silamnya ketika membesar di pekan Bidor, biarpun dilahirkan di Teluk Intan, Perak.
Beliau juga bertuah apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah sudi merasmikan restorannya pada 20 Januari lalu.
Menyentuh mengenai menu-menu yang disediakan restoran itu, kebanyakannya adalah ilham daripada hidangan yang disediakan oleh ibunya sewaktu membuka warung di kampung dulu.
Antara menu istimewa yang jadi tumpuan pengunjung adalah nasi goreng Bidor yang disaji bersama ikan kembung rebus digoreng. Rasa masam-masinnya, ditambah pula dengan ulaman petai segar dan sambal belacan, amat menyelerakan.
Pilihan popular lain seperti nasi goreng Mak Uya, mi rebus, laksa, mi kari, mi udang Nyonya, nasi lemak dan nasi goreng ayam Ringgo.
Sebagai pembasah tekak pula, pengunjung boleh merasai minuman pelbagai rasa dan warna seperti Shirley Temple, Blue Lagoon Pop, Strawberry Pop, Special Coconut Shake dan Lovely White Coffee.
Sebagai tambahan menu istimewa tahun ini, Suriyani menampilkan pelbagai jenis lempeng seperti lempeng aiskrim dan lempeng pisang bersama sambal ikan bilis, selain bubur pulut hitam dan kacang hijau.
Dalam pada itu untuk mencetuskan suasana selesa ketika menjamu selera, beliau memilih tata hias berkonsep tradisional dan klasik.
Konsep tersebut katanya, dipilih sendiri oleh suaminya.
Di setiap meja diletakkan nama sempena tempat dan stesen kereta api dari Kuala Lumpur hingga Taiping.
"Terdapat 20 nama yang disediakan bersama sedikit maklumat untuk bacaan pengunjung sementara menunggu makanan yang ditempah sampai," katanya.
Selain itu, perkhidmatan Wi-Fi turut disediakan bagi mereka yang ingin melayari Internet.
Bagi yang ingin mendapatkan maklumat l lanjut boleh hubungi 03-89587078.
No comments:
Post a Comment