Thursday, April 26, 2012

NASI ARAB ALKHIDMAH SALAM


Mohd. Sulaiman Mohd Yahya di hadapan restorannya.

AHLAN wasahlan!, perkataan Arab yang seringkali diguna pakai oleh orang Arab yang membawa maksud selamat datang kepada tetamu yang hadir.
Ucapan sama akan anda dengari apabila melangkah ke restoran-restoran makanan Arab yang sekarang ini muncul bagai satu fenomena bagi memenuhi selera masyarakat tempatan.
Makanan Arab khususnya paling popular nasi Arab, walaupun harganya agak mahal tetap dicari orang kerana keenakan dan menepati cita rasa.
Antara yang semakin mendapat perhatian khususnya di kalangan penduduk sekitar Lembah Klang ialah Restoran Alkhidmah Salam, yang terletak di Lot 2334-9, Jalan Batu Caves, Kampung Simpang Tiga, Gombak, Selangor.
Pengurusnya, Mohd. Sulaiman Mohamad Yahya berkata, restoran tersebut sudah lama beroperasi tetapi baru tahun ini memperkenalkan dan menambah menu baru iaitu pelbagai hidangan Arab.
"Dulu masyarakat kita hanya berpeluang merasai makanan Arab ketika menunaikan haji atau umrah di Mekah.
"Sekarang ini ia boleh dinikmati pada bila-bila masa kerana semakin banyak restoran menawarkan sajian ini," katanya di temui di restorannya baru-baru ini.
Istimewanya di sini kata Mohd. Sulaiman, setiap masakan dihasilkan oleh chef yang dibawa khas dari negara padang pasir itu, Chef Hatim Salleh.
Antara hidangan Arab yang terdapat di restoran ini adalah nasi ayam Mandy dan nasi Kabsah sama ada pilihan ayam atau kambing, roti Arab dan pelbagai lagi.
Selain keenakan rasa hidangan, harga ditawarkan di Restoran Alkhidmah Salam juga lebih berpatutan.
"Kami juga menerima tempahan dan katering untuk pelbagai acara. Jika hidangan diminta untuk kumpulan yang ramai, makanan dihidang dalam dulang seperti tradisi orang Arab," katanya.
Dalam pada itu sebagai memberi pilihan kepada setiap pengunjung yang datang, restoran tersebut juga menyediakan masakan Thai, Barat dan stimbot.
Malah, Restoran Alkhidmah Salam juga menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti surau, wifi secara percuma, dewan seminar, dewan berhawa dingin dan sebagainya.
Selain itu, restoran tersebut telah mengambil satu inisiatif untuk mengadakan kelas masakan nasi Arab ini kepada mereka yang berminat.
Menurut Mohd. Sulaiman, kursus ini memberikan peluang kepada mereka yang ingin belajar cara masak nasi Arab dengan betul..
Yuran penyertaan sebanyak RM600 dikenakan yang turut meliputi bahan-bahan masakan.
"Kursus ini akan diajar sendiri oleh Chef Hatim. Peserta akan diajar secara teori dan praktikal bagaimana menyediakan nasi Arab.
"Segala keperluan untuk kursus tersebut akan disediakan oleh pihak kami.
"Tujuan kami ini juga untuk menyampaikan ilmu kepada mereka yang betul-betul berminat. Kursus ini akan bermula pada 28 April dan 1 Mei ini," jelasnya.
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi 012-2960776.

No comments:

Post a Comment