Friday, May 11, 2012

PROJEK RAPID PETRONAS, PENGERANG JOHOR


Lakaran artis projek kawasan Terminal Laut Bebas serta penyimpanan minyak dan gas di Pengerang, Johor


KUALA LUMPUR 11 Mei - Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) bernilai AS$20 bilion (RM62 bilion) yang dilaksanakan oleh Petronas di selatan Johor adalah kena pada masanya bagi menampung permintaan besar mendapatkan produk tenaga dan petrokimia, terutama di Asia dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Projek itu, yang akan dilancarkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Ahad ini, akan turut mengukuhkan industri petrokimia Malaysia dan rantau ini, sambil menarik pelaburan syarikat minyak, gas dan petrokimia berkelas dunia.
Ia akan mentransformasikan selatan Johor menjadi satu pusat penapisan dan petrokimia, sambil melengkapi kompleks sedia ada di koridor timur Malaysia dan di Singapura.
Yang penting lagi, kompleks Rapid seluas 2,000 hektar juga mencetuskan aktiviti ekonomi bagi kawasan Pengerang, sambil mewujudkan ribuan pekerjaan berikutan limpahan perkhidmatan bantuan dan sokongan.
Ketua Pegawai Operasi Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, pelaksanaan Rapid penting apabila permintaan mendapatkan tenaga global dijangka meningkat antara 38 dan 39 peratus di dalam tempoh 20 tahun akan datang.
"Ini merupakan kompleks terbesar yang akan dilaksanakan Petronas, dengan penapisan, yang akan ditauliahkan menjelang akhir 2016, yang boleh menapis 300,000 tong minyak mentah sehari, manakala loji petrokimia akan mula beroperasi pada 2017," katanya kepada Bernama.
Katanya, ia akan menjadi lebih besar daripada kompleks Petronas di Melaka, Kertih dan Gebeng yang disatukan dalam satu lokasi.
"Di segi produk akhir dan aplikasi petrokimia, kami membiarkan pertumbuhan bahan keperluan seharian seperti plastik dan pembalut makanan.
"(Tetapi) pertumbuhan permintaannya dijangka signifikan di ASEAN kerana kedudukannya yang dekat (dengan Malaysia) dan penduduknya yang disatukan melebihi 600 juta," katanya.
Wan Zulkiflee, yang juga Naib Presiden Eksekutif Petronas bagi Perniagaan Hiliran, berkata, Rapid akan berupaya menampung permintaan itu.
Katanya, perubahan demografik di China dan India, yang termasuk peningkatan jumlah penduduk berpendapatan pertengahan, proses perbandaran, perubahan gaya hidup dan peningkatan permintaan dari pembinaan industri automotif dan elektrik, akan memberi kesan kepada pasaran petrokimia secara positif.
Rapid akan turut berupaya menampung keperluan kerajaan bagi memenuhi standard pengeluaran yang lebih tinggi bagi produk petroleum yang akan dikenakan pada masa akan datang.
"Kami mahu bersedia menghadapi keadaan itu," kata Wan Zulkiflee, sambil menyatakan bahawa bahan api dan diesel yang akan dikeluarkan oleh loji penapisan Rapid akan memenuhi spesifikasi bahan api Euro 4 dan 5.
Loji penapisan yang akan direka bentuk untuk memproses minyak mentah yang diimport, termasuk minyak mentah ekuiti Petronas dari sesetengah usahasama huluan seberang lautnya.
"Kita tidak akan dapat bergantung sepenuhnya pada minyak mentah tempatan bagi membekalkan bahan mentah kepada loji penapisan kita bagi memenuhi permintaan, jadi kepelbagaian stok bahan mentah mendorong kepada keselamatan bekalan tenaga di dalam pasaran tempatan," katanya.
Produk petroleum lain dari loji penapisan itu juga akan termasuk bahan bakar jet, manakala pelerai nafta akan menghasilkan tiga juta metrik tan produk seperti etilina, propilina, olefin C4 dan C5 bagi menjadi bahan mentah loji petrokimia di kompleks itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment