Wednesday, May 16, 2012

RAPID TARIK PELABURAN UTAMA ASIA

KOTA TINGGI 13 Mei - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yakin Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang dekat sini mampu menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan dan perdagangan utama di Asia.
Baginda bertitah, kejayaan dan limpahan daripada projek itu berupaya menjadikan Johor sebagai negeri termaju di Malaysia.
"Saya akan selalu datang ke kawasan ini untuk melihat dengan lebih dekat kerja-kerja pembangunan yang dijalankan bagi memastikannya berjaya sebagaimana telah dirancang," titah baginda semasa melancarkan projek RAPID di Pengerang, dekat sini hari ini.
Turut berangkat lima putera baginda termasuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas.
Sultan Ibrahim turut menyifatkan projek RAPID sebagai satu rahmat kepada Johor kerana pelaburan yang besar akan dicurahkan ke negeri ini dan rezeki itu turut dinikmati rakyat.
"Pembangunan mega ini sudah pasti akan mengubah suasana persekitaran dan kehidupan masyarakat di sini. Lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan akan diwujudkan untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat di sini.
"Oleh itu, sudah tiba masanya untuk rakyat saya di sini berubah ke arah kehidupan yang lebih terjamin dengan sumber pendapatan yang lebih baik dalam sektor ekonomi moden," titah baginda.
Bagi memastikan projek tersebut berjaya, Sultan Ibrahim menyeru rakyat Johor khususnya masyarakat Pengerang memberi kerjasama dan berkorban untuk melepaskan kampung halaman dan harta benda kerana mereka akan diberikan pampasan setimpal oleh kerajaan.
"Saya suka ingatkan kepada penduduk terlibat supaya janganlah mengambil kesempatan dengan meminta pampasan yang melampau dan tidak masuk akal. Ikutlah nilai yang munasabah dan bersesuaian dengan keadaan harta benda sekarang," titah baginda.
Sultan Ibrahim turut berkongsi cerita mengenai pengorbanan Almarhum ayahandanya yang sanggup membenarkan laluan persimpangan bertingkat Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) dibina berhampiran Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru untuk mengurang kos serta memastikan pembinaan lebuh raya itu berjalan lancar.
"Malah, Almarhum ayahanda saya telah memberikan sebahagian tanah miliknya yang terletak di kawasan utama di bandar untuk dijadikan tapak perumahan bagi menempatkan penduduk setinggan yang terlibat dengan pembinaan lebuh raya berkenaan," titah baginda.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan perasaan kesal dengan tindakan segelintir masyarakat yang cuba menentang pembangunan dan kumpulan yang mengambil kesempatan dengan menghasut penduduk Pengerang supaya membantah projek RAPID.
"Suka saya ingatkan kepada masyarakat di sini supaya berfikir panjang dan memandang jauh ke hadapan.
"Dengan adanya projek pembangunan di kawasan ini, kehidupan generasi muda akan lebih terjamin dengan peluang pekerjaan yang banyak dan pendapatan yang baik. Kehidupan golongan tua akan terjaga apabila anak cucu tidak perlu lagi berhijrah ke bandar tetapi boleh mendapatkan pekerjaan di kawasan Pengerang yang tarafnya sama seperti di bandar," titah baginda.

No comments:

Post a Comment