BARANGKALI ramai dalam kalangan kita yang sudah lama tidak menikmati sajian terkenal dari selatan tanah air seperti nasi ambeng dan nasi beriani.Lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur, tidak banyak restoran atau pengusaha makanan yang menyediakan masakan Johor asli sebagai menu utama mereka.Bagaimanapun warga kota kini berpeluang merasai sendiri keenakan kedua-dua hidangan pemikat selera yang kaya dengan aroma dan rempah ratus itu dengan berkunjung ke gerai bergerak Jo’hoe Taste.Berkonsepkan mudah, cepat dan murah, gerai bergerak Jo’hoe Taste hadir di lima lokasi berbeza setiap hari di sekitar Kuala Lumpur bermula dari pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang khusus untuk memenuhi permintaan penggemar-penggemarnya.
“Gerai kami dibuka pada hari Isnin di Menara TM, Jalan Pantai Baru, Selasa di Kompleks Bangunan Kerajaan Jalan Duta, hari Rabu di pejabat Utusan Melayu (M) Bhd., Jalan Chan Sow Lin, hari Khamis di Bukit Aman dan hari Jumaat di Masjid Al Muhsini, Taman Desa,” kata Pengusaha Jo’hoe Taste, Ahmed Shahel Adil, 32.Memulakan operasi kira-kira dua bulan lalu, Ahmed Shahel mengakui cara perniagaan seperti itu mudah dan cepat, selain menjimatkan perbelanjaan pelanggan-pelanggannya.Menurutnya, dia cuba menjual makanan pada harga yang berpatutan supaya tidak menyusahkan orang ramai yang kini dibebani dengan peningkatan kos hidup yang tinggi.
“Kami tidak berdepan dengan kos yang tinggi kerana tidak perlu menyewa bangunan, membayar bil air dan elektrik, pekerja dan kos-kos lain yang berkaitan.“Di samping menjual secara terbuka kepada orang ramai kami juga menawarkan penghantaran kepada pelanggan melalui tempahan yang dibuat,” katanya yang menggunakan kenderaan Proton Juara untuk mengangkut pelbagai peralatan perniagaannya.Tambah Ahmed Shahel, konsep itu membolehkannya mengembangkan perniagaan Jo’hoe Taste di samping mempromosikan kedua-dua hidangan yang berasal dan popular di negeri Johor itu kepada masyarakat.Anak jati Johor Bahru itu memberitahu, penyediaan hidangan itu merupakan resipi turun temurun keluarga isterinya, Hayati Kasiman, 36, yang turut aktif dalam bidang perniagaan makanan di sekitar Johor.
Katanya, keistimewaan nasi ambeng terletak kepada bahan-bahannya yang terdiri daripada nasi dengan ayam masak kicap, sambal goreng dan serunding kelapa yang sering dihidangkan ketika majlis keramaian dimakan beramai-ramai khususnya dalam masyarakat Jawa.“Sebagai orang Johor, kami berdua mahu pengunjung berkongsi masakan di sini sama seperti yang dihidangkan di rumah.“Kami juga mahu mereka tahu betapa enaknya masakan Johor asli terutama apabila dimasak dengan ramuan serta rempah asli yang dibawa khas dari Johor.Ujarnya, bagi mengukuhkan jenama Jo’hoe Taste, dia bercadang untuk membuka sebuah gerai di sebuah medan selera di Jalan Klang Lama yang bakal menghidangkan aneka makanan seperti mi bandung, lontong, laksa johor dan sebagainya dalam masa terdekat ini.“Kami juga merancang untuk menambah sebuah lagi gerai bergerak pada masa hadapan. Ini sekali gus memberi pilihan kepada warga kota untuk menikmati kepelbagaian makanan Johor asli,” katanya.
No comments:
Post a Comment