Monday, June 18, 2012
RAMAI PENGUSAHA BUKAN ISLAM MOHON SIJIL HALAL
JOHOR BAHRU 16 Jun - Sebanyak 75 peratus daripada lebih 800 permohonan sijil halal di negeri ini terdiri daripada syarikat dan pengusaha bukan Islam, sekali gus merupakan satu perkembangan yang baik.
Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Datuk Abd. Razak Hassan berkata, situasi itu jelas menunjukkan peningkatan kesedaran mengenai kepentingan status makanan yang dihidangkan kepada umat Islam walaupun oleh pengusaha bukan Islam.
"Jumlah yang sudah memiliki persijilan halal secara purata di seluruh Johor sekarang ini adalah kira-kira 470 syarikat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran dan Pembangunan Halal Negeri Johor 2012 di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), dekat sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nordin Abdul Rahman dan Naib Presiden Bahagian Pembangunan Perniagaan Johor Corporation, Abdul Rahman Sulaiman.
Seminar sehari anjuran JAIJ, MPPG dan UPM serta ditaja KFC Holdings (M) Berhad itu melibatkan pembentangan tujuh kertas kerja berkaitan industri makanan halal bertujuan mendedahkan kepentingan dan keperluan status halal serta prosedur keperluan sijil halal untuk manfaat bersama.
Menurut Abd. Razak, sebanyak 60 hingga 80 sijil halal dikeluarkan dalam sebulan dan angka tersebut adalah rendah kerana masih ramai pengusaha belum menepati cara penyediaan dan syarat ditetapkan JAIJ termasuk dalam soal kebersihan premis.
Beliau turut menyeru pengusaha restoran dan produk makanan supaya memohon sijil halal kerana mulai 1 Julai depan, ia diwajibkan dan dikuatkuasakan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).
"Tiada tindakan diambil jika mereka enggan. Kita tidak paksa kerana sekarang ini, permohonan dibuka supaya mereka memohon secara sukarela.
"Namun, jika pamerkan logo halal palsu, menggunakan pekerja Islam sedangkan pemilik bukan Islam atau mengaburi pengguna dengan mempamerkan ayat al-Quran, tindakan tegas akan diambil," katanya.
Dalam perkembangan lain, JAIJ juga sudah bersedia untuk memastikan pengguna Islam mendapat bekalan ayam halal menjelang Ramadan dan Syawal kerana permintaan tinggi dalam tempoh tersebut.
No comments:
Post a Comment