Sunday, July 15, 2012

STRUKTUR LEGO TERTINGGI DI LEGOLAND


Struktur lego tertinggi di dunia
Muhammad Khairul bersama replika Menara Berkembar Petronas yang siap dibina.
NUSAJAYA – Legoland Malaysia adalah taman tema pertama di Asia yang berjaya menghasilkan replika Menara Berkembar Petronas menggunakan elemen lego dan merupakan struktur tertinggi pernah dihasilkan di taman tema Legoland di dunia.

Ketua perekanya, Eric Hunter berkata, struktur bangunan tersebut yang mempunyai ketinggian hampir 10 meter itu dibina dengan menggunakan 542,000 elemen lego.

Menurutnya, struktur berkenaan juga dibina dengan penglibatan 15 ahli pasukan dan disiapkan dalam tempoh setahun.
“Setelah diberi tanggungjawab membina bangunan ini, saya sendiri telah pergi ke bangunan sebenar di Kuala Lumpur untuk membuat ukuran dan mengkajinya terlebih dahulu bagi membuat skala dan sebagainya.

“Struktur menara itu juga dibina dengan jumlah tingkat yang sama dengan menara sebenar. Kita turut menggunakan besi di bahagian dalam bagi mengukuhkan lagi model menara itu.
“Akhirnya, ia berjaya dibina dalam masa setahun dengan kerjasama 15 ahli pasukan yang dilantik,” katanya kepada media, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Pengurus Besar Legoland Malaysia, Siegfried Boerst berkata, taman tema yang terletak di Medini dengan keluasan 31 hektar itu kini telah 90 peratus siap dan yakin ia dapat dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 15 September ini.
“Hingga kini, sebanyak 45,000 pas tahunan telah berjaya dijual, sekali gus jumlah tersebut menunjukkan keyakinan kami bahawa Legoland Malaysia bakal mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung,” katanya.
Salah seorang anak tempatan yang terlibat dengan pembinaan menara itu, Muhammad Khairul Zainon Nor, 27, berkata, beliau berasa bangga kerana turut terbabit diberi kepercayaan menghasilkan menara tertinggi yang menjadi kebanggaan rakyat di negara ini.
“Saya memang gemar bermain lego sejak dari kecil. Apabila menerima tanggungjawab ini, saya sangat seronok dan begitu teruja untuk menyiapkan tugasan bersama rakan yang lain. Oleh itu, saya tidak sabar menunggu masa taman ini dibuka secara rasmi tidak lama lagi,” katanya.
Selain Menara Berkembar Petronas, struktur lain yang telah siap termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Angkor Wat, Hotel Fullerton, Taj Mahal, Masjid Sultan Abu Bakar dan Singapura Merlion.

No comments:

Post a Comment