Friday, August 31, 2012

LEGOLAND BAKAL BAWA REZEKI KEPADA PENDUDUK JOHOR

JOHOR BAHARU - Pembukaan Legoland Malaysia, taman tema baharu di Iskandar Malaysia yang dijadual pada September ini, sememangnya dinanti-nantikan semua pihak di negeri ini termasuk usahawan kecil.
Bendahari Gabungan Persatuan Teksi Berdaftar Johor Baharu (Gapet) Hadi Mohamed berkata pembukaan taman tema itu akan memberi rezeki tambahan kepada mereka.
"Ramai dalam kalangan penumpang, terutama dari Singapura kerap bertanya tentang pembukaan taman ini dan dan kami sendiri pengusaha teksi, kereta sewa dan kereta ekslusif tidak sabar menunggu untuk taman tema itu dibuka secara rasmi pada 22 Sept nanti," katanya kepada Bernama, di sini.
Katanya ramai antara pengusaha teksi juga mengambil inisiatif mempromosi taman tema tersebut dengan mengedarkan risalah mengenainya.

"Kami yakin apabila taman tema itu dibuka nanti ia mampu memberikan lebih pendapatan kepada kami," katanya.
Sementara itu, pengiat bidang pelancongan Liza Alip yang juga Pengarah Urusan Eascost Adventure Travel and Tour Sdn Bhd, Legoland merupakan satu lagi produk pelancongan bercorak kekeluargaan yang boleh dipromosikan bukan sahaja kepada pelancong tempatan tetapi juga luar negara.   
"Kalau dahulu, kita mungkin hanya mempromosikan keindahan pulau-pulau yang ada di Johor seperti Tioman dan juga makanan laut, namun kini kita mempunyai satu ikon pelancongan baru yang boleh dipromosikan untuk percutian keluarga.
"Jika Singapura boleh berbangga dengan Universal Studionya, kini kita boleh berbangga dengan Legoland dan ia merupakan dua taman tema yang mempunyai konsep berbeza," katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan dengan adanya taman tema itu pelancong, terutama yang berkeluarga, akan tinggal lebih lama di Johor berbanding sebelum ini.
Sementara itu Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Thistle Hotel Aidah Abd Rahman berkata pembukaan taman tema interaktif tersebut dijangka meningkatkan tempahan bilik terutama ketika musim cuti persekolahan.

"Dengan adanya ikon baru ini, ia memberikan satu pulangan besar jangka masa panjang bukan sahaja untuk bidang perhotelan tetapi juga industri lain. Jadi kebanyakan penggiat indsutri perhotelan sekarang sedang bersedia meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk menerima kehadiran pelancong," katanya.
Taman tema itu dibangunkan oleh Theme Attractions and Resorts, sayap operasi dan pengurusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) bersama Merlin Entertainments dengan kos RM720 juta di atas kawasan seluas 31 hektar di Medini North.
Legoland Malaysia yang bertempat di Nusajaya itu  merupakan yang keenam di dunia selepas Legoland Billund, Legoland Windsor, Legoland California, Legoland Deutschland dan Legoland Florida. 

No comments:

Post a Comment