Sunday, August 19, 2012

MAMOGRAM ATAU ULTRASOUND

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
STATISTIK menunjukkan peningkatan kes kanser payudara di kalangan wanita. Insiden penghidap kanser payudara adalah 1:19 di negara ini menjadikannya kanser yang biasa di kalangan semua etnik di negara ini.
Imbasan biasanya dapat mengesan kanser pada peringkat 1 dan 2 dan kemungkinan besar masih boleh diubati.
Pakar Runding Radiologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Datin Dr. Fatimah Moosa berkata, bagi kanser peringkat 1, hampir 90 peratus boleh dipulihkan.
"Menurut piawaian Amerika Syarikat (AS) wanita yang berusia lebih 40 tahun disarankan membuat pemeriksaan mamogram setahun sekali sehingga berusia 50 tahun bagi pemeriksaan dua tahun sekali.
"Selepas berusia 70 tahun, mamogram boleh dilakukan pada bila-bila masa diperlukan," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Semua wanita mempunyai risiko mendapat kanser payudara bagaimanapun lebih 70 peratus kes yang berlaku tidak dapat dikenal pasti punca.
Dr. Fatimah menambah, biasanya risiko mendapat kanser payudara bertambah dengan peningkatan usia tetapi wanita dengan keluarga yang mempunyai sejarah kanser mempunyai peluang yang tinggi menghidapinya.
Wanita yang pernah diserang kanser mempunyai risiko yang tinggi untuk diserang sekali semula.
Wanita yang mempunyai lobular carcinoma juga lebih kerap diserang kanser serta mereka yang datang haid awal dan menopaus lewat selepas usia 55 tahun.
Selain itu wanita yang tidak melahirkan anak atau melahirkan selepas usia 35 tahun lebih terdedah kepada kanser payudara.
Mereka yang mengambil diet tinggi lemak, alkohol dan merokok juga terdedah kepada risiko kanser payudara.
Justeru bagi mengelakkan kanser payudara, ujian perlu dilakukan bagi mengesannya.
Biasanya mamogram digunakan untuk mengesan kanser di peringkat awal yang potensi pemulihan adalah lebih tinggi.
Imbasan penting kerana rawatan awal boleh dilakukan dan biasanya mereka yang didiagnos dengan kanser payudara tidak mempunyai risiko.
Mamogram pula hanya dilakukan pada wanita yang berusia 40 tahun ke atas kerana sel lemak telah mula berkurangan.
Jika mamogram hanya untuk wanita berusia 40 tahun ke atas bagaimana untuk mendiagnosis wanita 40 tahun ke bawah?
Dr. Fatimah berkata, wanita berusia bawah 40 tahun disarankan menggunakan teknik ultrasound jika disyaki menghidap kanser payudara.
"Bagaimanapun ultrasound hanya mengimbas kawasan tertentu saja dan bergantung kepada operator mahir serta hanya untuk kawasan sasaran," katanya.
Ultrasound sangat sensitif tetapi tidak spesifik seperti mamogram.
"Ultrasound tidak boleh mengimbas sebuah bahagian payudara," katanya.
Bagaimanapun jangan bimbang menjalani ujian berkenaan kerana dos radiasinya adalah rendah dan boleh dilakukan setiap tahun.
Justeru pesan Dr. Fatimah, jika terdapat kelainan di bahagian payudara, jangan segan untuk berjumpa doktor walaupun belum berusia 40 tahun.

No comments:

Post a Comment