Tuesday, August 14, 2012

PUASA KURANGKAN RISIKO PENYAKIT


Ada yang beranggapan bahawa amalan berpuasa mempunyai kesan buruk kepada pesakit jantung. Andaian ini dikaitkan jangka masa waktu makan yang agak singkat diikuti solat tarawih yang agak intensif selepas berbuka puasa yang menguji tahap kemampuan fizikal seseorang pesakit tersebut.
Satu kajian populasi secara retrospektif yang dilakukan di sebuah hospital rujukan utama di Qatar untuk jangka masa 10 tahun (1991-2001) melibatkan hampir 21,000 pesakit jantung koronari menunjukkan secara objektif bahawa tidak ada peningkatan dalam kadar insiden serangan jantung koronari mengejut atau angin tak stabil ketika Ramadan jika dibandingkan dengan bulan-bulan lain.
Dalam kajian populasi di hospital yang sama, ia menunjukkan bahawa tidak ada peningkatan dalam kekerapan kemasukan ke hospital akibat serangan kegagalan atau lemah jantung serta tiada peningkatan kematian yang ketara akibat kegagalan jantung sepanjang bulan ini.
Kajian juga menunjukkan amalan berpuasa tidak menunjukkan peningkatan dalam kadar insidens serangan strok atau angin ahmar berbanding dengan bulan-bulan lain.
RisikoUmumnya, kita telah sedia maklum bahawa faktor-faktor risiko utama yang menyebabkan serangan penyakit jantung koronari adalah paras kolesterol yang tinggi, amalan merokok, penyakit diabetes atau peningkatan gula darah yang tidak terkawal, penyakit darah tinggi atau tekanan darah yang tidak stabil dan berat badan yang berlebihan (obesiti).
Secara logiknya, amalan berpuasa seperti yang telah ditunjukkan di dalam banyak kajian saintifik terbukti mampu mengurangkan berat badan yang akan mempengaruhi paras kolesterol darah terutamanya dalam menurunkan kolesterol yang tidak baik (LDL) dan meningkatkan paras kolesterol baik (HDL) yang boleh mengurangkan risiko serangan jantung koronari. Biasanya seseorang perokok tegar akan mengurangkan tabiat merokok ketika Ramadan dan ini secara langsung membantu mengurangkan risiko serangan jantung.
Dengan penurunan berat badan, amalan berpuasa sudah tentu akan memberi banyak manfaat terutamanya dalam pengurangan paras gula darah.
Jika mengikut nasihat yang betul, kawalan penyakit diabetes akan menjadi lebih baik tanpa meningkatkan insiden akibat komplikasi kekurangan gula dalam darah (hipoglisemia).
SelamatBeberapa kajian di negara Asia Barat menunjukkan bahawa amalan berpuasa dalam bulan Ramadan selamat untuk pesakit darah tinggi yang meneruskan pengambilan ubat-ubatan seperti biasa sama ada waktu sahur atau berbuka. Dengan adanya ubat-ubatan yang memberi kesan berpanjangan selama 24 hingga 36 jam di pasaran dan dos sekali sehari, ia banyak membantu umat Islam meneruskan amalan berpuasa tanpa perlu bimbang dengan kekurangan pengambilan ubat-ubat boleh memudaratkan penjagaan kesihatan mereka.
Penyakit jantung koronari adalah penyebab kematian yang utama secara global terutamanya di negara-negara sedang membangun termasuk negara kita. Mekanisme penyakit ini memang kompleks yang melibatkan proses inflamatori, hemostatik dan reaksi salur darah di dalam tubuh badan kita. Proses inflamatori ini memainkan peranan penting dalam aterotrombosis atau mekanisme berlakunya penyempitan akibat plak kolesterol dan seterusnya boleh menyebabkan berlaku penyumbatan serius (thrombosis) terhadap salur darah koronari jantung.
Dengan kemajuan sains perubatan terkini, pengamal perubatan boleh mengukur penanda aras inflamatori tersebut dengan mengukur paras high sensitivity C-reactive protein (hs-CRP) dan plasminogen activator inhibitor jenis-1 (PAI-1) dalam sampel darah manusia.
MembantuParas hs-CRP dan PAI-1 dapat membantu pakar perubatan meramalkan risiko seseorang mendapat serangan jantung koronari terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit diabetes, darah tinggi, kolesterol darah yang tinggi dan mempunyai masalah berat badan berlebihan (obesiti). Kumpulan pesakit ini memang diketahui umum berisiko tinggi mendapat penyakit jantung koronari terutamanya jika faktor-faktor tersebut tidak dirawat atau dikawal secara optimum.
Sekumpulan penyelidik di Pusat Perubatan UKM telah membuat kajian prospektif pada Ramadan 2008/2009 yang melibatkan 121 subjek berumur 40 tahun ke atas yang mempunyai pelbagai faktor risiko penyakit jantung koronari. Tujuan utama kajian ilmiah ini adalah untuk menilai kesan amalan puasa terhadap paras hs-CRP dan PAI-1 dalam sampel darah pesakit-pesakit yang mempunyai beberapa faktor risiko penyakit jantung koronari.
Hasil kajian tersebut menunjukkan paras hs-CRP dan PAI-1 semasa bulan Ramadan didapati menurun secara ketara jika dibandingkan dengan parasnya sebelum Ramadan. Kajian ini sangat menarik dan agak konsisten dengan hasil beberapa kajian terdahulu yang dilakukan oleh penyelidik dari luar negara. Penurunan paras hs-CRP dan PAI-1 akan memberikan kesan positif dalam mengurangkan risiko serangan jantung koronari serta dapat mengelakkan kematian.
Pada masa sama, kajian yang melibatkan etnik Melayu Islam ini juga mendapati berlaku penurunan paras LDL dan peningkatan paras HDL yang ketara semasa bulan Ramadan. Perubahan positif profil kolesterol darah ini berkemungkinan disebabkan oleh pengurangan pengambilan diet tinggi lemak dan protein dalam diet semasa berbuka puasa, sebaliknya masyarakat Islam di Malaysia kebiasaannya akan mengambil diet berkarbohidrat tinggi seperti minuman, buah tamar dan kuih-muih yang manis. Bagaimanapun, kita tetap digalakkan mengambil diet makanan seimbang semasa berbuka puasa kerana trend pengambilan diet berkarbohidrat tinggi akan mengundang masalah kesihatan lain seperti diabetes tak terkawal dan boleh menghilangkan manfaat yang didapati hasil pengurangan berat badan semasa berpuasa selama sebulan.
Kesimpulannya, ibadah puasa yang kita lalui saban tahun demi menunaikan perintah Allah jelas sekali tidak menyebabkan seorang Muslim itu terdedah kepada risiko serangan jantung jika kita melaksanakan amalan ini dengan kefahaman ilmu dan mendapat nasihat yang betul daripada mereka yang arif dengan ilmu perubatan. Justeru pesakit digalakkan supaya sentiasa proaktif serta berbincang secara individu dengan pengamal-pengamal perubatan berdaftar yang merawat mereka tentang penjagaan masalah kesihatan dan pengubahsuaian corak pengambilan ubat-ubatan terutamanya bagi yang menghidap penyakit jantung, diabetes dan darah tinggi.
Sebaik-baiknya, perbincangan antara doktor dan pesakit mengenai perubahan dalam dos dan jadual pengambilan ubat-ubatan untuk penyakit kronik dapat dilakukan beberapa minggu sebelum seseorang itu menjalani ibadah puasa bagi mengurangkan kesulitan semasa berpuasa wajib nanti.

No comments:

Post a Comment