Tuesday, September 25, 2012

ISKANDAR MALAYSIA SEDIA MENGORAK LANGKAH


KUALA LUMPUR - Cuaca panas pada minggu-minggu awal September tidak menghalang para pelawat berkeluarga berpusu-pusu memandu ke Johor dan sanggup beratur untuk mendapatkan tiket ke Legoland pertama Asia yang terletak di Nusajaya.
Tidak jauh dari situ,  kampus cawangan Malaysia bagi Kajian Perubatan Universiti Newscastle (NuMed - Newcastle University Medical School) yang terkenal dengan hiasan bata merahnya, menerima masuk kumpulan pertama pelajar dan membuka perkampungan baharu penuntut antarabangsa di situ.
Menginjak ke Utara berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, para pengunjung hujung minggu berebut-rebut mendapatkan barang berjenama seperti Burberry, Canali dan pelbagai lagi produk ternama pada harga diskaun hebat di Johor Premium Outlet (JPO) gaya Woodbury, yang terletak di  kawasan yang dahulunya  ladang kelapa sawit di Kulaijaya.
Kombinasi hiburan untuk keluarga, pendidikan dan syurga membeli belah ini mempunyai suatu persamaan -- kesemuanya berada di dalam Iskandar Malaysia, koridor ekonomi yang merentangi lima zon utama dari timur ke barat selatan Johor, membentuk sebuah wilayah mega terbesar di Asia Tenggara.
Iskandar Malaysia yang dilancarkan pada November 2006 kini menjadi tarikan utama dan  berjaya menarik pelaburan yang lebih besar daripada jangkaan awal dan boleh berbangga dengan barisan penyewa terkenal seluruh dunia seperti Pinewood Studios, perunding pertumbuhan global Frost & Sullivan dan kampus luar negara yang pertama untuk Kolej eksklusif Marlborough, yang antara bekas pelajarnya ialah bakal ratu Britain Kate Middleton.

Berdasarkan kepada pelan pembangunan menyeluruhnya, Iskandar Malaysia mempunyai 20 tahun untuk ditransformasi sebagai metropolis global sebesar tiga kali ganda saiz negara jiran Singapura.
Sempadannya mengelilingi ibu negeri bandar raya Johor Baharu, Lapangan Terbang antarabangsa Senai, dan beberapa pelabuhan termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas, hab kargo, taman-taman perindustrian, bandar pelabuhan siber, beberapa bandar sedia ada dan pelan hijau Nusajaya di  barat daya yang menempatkan sebahagian besar projek pemangkin Iskandar Malaysia.  
Pertumbuhan koridor seluas 2,217 km persegi itu di bawah pentadbiran Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) yang diketuai ketua eksekutif Datuk Ismail Ibrahim, perancang bandar kelulusan Britain yang juga anggota lembaga Badan Warisan Malaysia.
“Tahun 2012 merupakan tahun yang menarik dan titik penentu bagi kami kerana beberapa projek pemangkin sudah terlaksana. Lima tahun dahulu tidak ramai yang percaya bahawa Iskandar Malaysia akan wujud sepertimana yang kita lihat berlaku hari ini. Sememangnya kami berpuas hati dengan hasilnya,” kata Ismail di pejabatnya di Danga Bay, Johor Baharu.
“Saya teruja menyatakan bahawa kami sudah pun menyeberangi jambatan yang pertama. Kami berupaya membuktikan bahawa usaha dan kerjasama erat antara sektor awam dan sektor swasta ini berjaya dilaksanakan dan Iskandar Malaysia sudah pun membuahkan hasil walaupun pada peringkat awal ini.”
 
IRDA tidak mahu terburu-buru, kata Ismail, “tapi memang kami umpama tidak menang tangan kerana cuba memenuhi harapan rakyat dan kerajaan untuk memacu Malaysiamenjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.”

MOMENTUM SEJAK PROJEK PERINTIS

Jalan utama pesisir pantai dari bandar raya Johor Baharu ke Nusajaya sudah dibuka kepada lalu lintas pada April tahun ini. Perjalanan di laluan enam lorong ini memberikan sekilas pandangan akan pembangunan yang menghiasi tepian air Danga Bay dan sebuah pulau buatan manusia, sebelum melalui kawasan perumahan moden, Legoland dan terus menuju ke Kota Iskandar, pusat pentadbiran kerajaan negeri.
Selain Kota Iskandar dan Legoland, terletak dalam lingkungan Nusajaya ialah Educity, Taman Kesihatan Afiat, daerah perniagaan utama Medini, (pelabuhan) Puteri Harbour dan Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan atau SiLC.
Menjelang tahun 2015, Educity akan mempunyai sekurang-kurangnya 10 buah institusi pendidikan termasuk empat buah universiti British seperti NuMed, Kolej Marlborough (Marlborough College), Universiti Southampton (University of Southampton) dan Universiti Reading (University of Reading).
Yang lainnya adalah Institut Teknologi Maritim Netherlands (The Netherlands Maritime Institute of Technology), Universiti Raffles (Raffles University), Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (Singapore Management Development Institute), Institut Kajian Sukan Johan Cryuff (Johan Cryuff Institute for Sports Studies),  Sekolah Amerika Raffles (Raffles American School) dan Universiti Multimedia (Multimedia University).
Marlborough College yang dibuka pada Ogos mengalu-alu pelajar berumur 11 sehingga 18 tahun, lelaki dan perempuan, kepada antara lain kemudahan sukan seperti padang ragbi dan laman kriket. University of Southampton berpindah ke Educity sebulan lalu manakala MMU akan memindahkan kursus ijazah seni sinematik dengan kerjasama Educity pada tahun 2014.
Selepas pembukaan Legoland pada 15 Sept, Iskandar Malaysia akan mempunyai pusat hiburan keluarga kedua apabila Puteri Harbour memperkenal taman tema tertutupnya pada November dengan duta animasi popularnya seperti Hello Kitty dan restoran pertama ‘Lat’s Place’, mengambil sempena nama kartunis terkenal Malaysia itu.
Dalam bidang penjagaan kesihatan, Hospital Gleneagles Medini, yang akan menyediakan kemudahan seperti 300 buah katil dan 150 bilik suite, pusat pemulihan dan rumah jagaan, sedang dibina mengikut fasa selepas pembinaan Hospital Columbia Asia pada tahun 2010.
GERAK POSITIF

Komitmen pelaburan di Iskandar Malaysia sedang rancak menuju aras RM100 bilion berbanding sasaran pelaburan sebanyak RM385 bilion menjelang 2025. Pada suku kedua 2012, jumlah kumulatif sudah mencapai angka RM95.45 bilion.
Frost & Sullivan, penulis laporan berpengaruh ‘World Top Global Mega Trends to 2020’ membuka Pusat Inovasi Globalnya (GIC) di Medini pada Ogos dengan lima pusat kecemerlangan dalam bidang perundingan, kewangan, inovasi, media digital dan universiti kepimpinan pertumbuhan inovasi.
Presiden Global Aroop Zutshi mengakui bahawa pembangunan GIC akan membawa perubahan halatuju syarikat itu dan mewujudkan aktiviti baharu berasaskan ilmu dan kemahiran-kemahiran tertentu untuk menyokong Malaysia menjadi negara bernilai tinggi dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Semasa ditanya sama ada IRDA mengemukakan tawaran yang sukar, Ismail menjawab: “Syarikat seperti Frost dan Sullivan membuat penyelidikan mereka sendiri”.
Majalah fDI yang dimiliki The Financial Times telah menarafkan Iskandar Malaysia sebagai destinasi pelaburan keempat terbaik bagi Zon Bebas Global Untuk Masa Depan 2012/2013 selepas Zon Bebas Lapangan Terbang Dubai, Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai dan Zon Bebas Dagangan Waigaoqiao di Shanghai.

PENCAPAIAN BERIKUTNYA 

Beberapa projek titik penentu masih rancak disiapkan dalam peringkat fasa kedua pembangunan lima tahun yang menjangkau tempoh 2011 seingga 2015.
Tapak di Medini untuk Pinewood Studios, yang terkenal dengan pengeluaran filem James Bond, Harry Porter dan Sherlock Holmes kini begitu rancak dengan pembinaan studio televisyen, pentas filem dan tapak pasca penerbitan, untuk disiapkan awal tahun depan.
Ismail berkata komuniti pelaburan akan menerima satu lagi isyarat kukuh tahun depan apabila Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Holdings, masing-masing dana pelaburan Malaysia dan Singapura akan bersama melaksanakan dua projek kesihatan di Medini yang sudahpun diperuntuk dua bidang tanah.
“Pelancongan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan sektor kreatif sedang berjalan lancar. Dalam masa beberapa tahun akan datang ini kami akan membina sektor yang berikutnya seperti kewangan, oleokimia, pemprosesan makanan dan pertanian, elektrikal dan eletronik serta logistik.
“Meskipun keadaan global tidak menentu dan krisis Euro, kami mencapai prestasi yang baik dan akan memanfaatkan momentum yang kami miliki sekarang.
Kami sedang mensasarkan nilai pelaburan sebanyak RM73.3 bilion dalam masa lima tahun akan datang bagi mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak 8 peratus ke arah matlamat kami sebanyak RM385 bilion menjelang 2025," kata Ismail 

No comments:

Post a Comment