Saturday, September 1, 2012

JALUR GEMILANG TERBESAR PONTIAN


Jalur Gemilang terbesar Pontian
Pelajar dan kakitangan bergambar di hadapan Jalur Gemilang yang dihasilkan mereka.
PONTIAN - Sekumpulan 21 pelajar Kolej Komuniti Cawangan Tanjung Piai, dekat sini berjaya menghasilkan Jalur Gemilang terbesar yang dibuat dengan menggunakan kain yang dijahit sendiri sempena sambutan ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara semalam.

Bendera berukuran 9.1 x 18.3 meter itu berjaya disiapkan dalam masa dua hari yang turut dibantu kakitangan kolej komuniti terbabit.

Pengarahnya, Shudermawan Jaruman berkata, tujuan membuat Jalur Gemilang tersebut adalah untuk memupuk semangat kemerdekaan dalam kalangan pelajar selain merupakan aktiviti kolej pada bulan kemerdekaan.

Menurutnya, selain membuat Jalur Gemilang terbesar, kolej juga mengadakan beberapa program antaranya Rangoli Merdeka dan Kuiz Merdeka di antara pelajar dan kakitangannya.

“Sempena bulan kemerdekaan ini, pada sebelah pagi, pelajar dan kakitangan mengadakan perarakan dengan membawa Jalur Gemilang di sekeliling Pusat Perdagangan Pontian.

“Jalur Gemilang yang terbesar di Pontian ini akan dipasang di bangunan kolej tersebut sehingga 16 September ini,” katanya ketika ditemui di kolej berkenaan, baru-baru ini.

Shudermawan berkata, semangat yang ditunjukkan oleh pelajar dan kakitangan adalah luar biasa dan mereka teruja apabila Jalur Gemilang itu berjaya disiapkan dalam masa dua hari dan kini dipasang di bangunan kolej komuniti.

Sementara itu Penyelaras Program Merdeka Raya 2012, S Anita berkata, kerja-kerja membuat Jalur Gemilang tersebut menggunakan kain sepanjang 260 meter dengan menelan belanja sebanyak RM2,400.

“Jalur Gemilang yang terbesar itu kini dipasang di bangunan kolej komuniti bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan. Selain itu ia juga membolehkan orang ramai melihat Jalur Gemilang tersebut,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu adalah perkara yang harus dibanggakan kerana ia bukan sahaja membabitkan pelajar, tetapi juga kakitangan kolej komuniti berkenaan.

“Usaha itu wajar dipuji kerana ia merupakan usaha gigih semua pihak dan ia jelas melihatkan kerjasama dan semangat bersatu dalam kalangan pelajar dan kakitangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment