Sunday, September 23, 2012

SELERA DARI XI'AN



Salima Liu Xiao bersama sajian yang ditawarkan kepada pelanggan.
INGIN memberikan peluang kepada penduduk tempatan merasai masakan Cina sebenar, telah mendorong wanita kelahiran Xi'an, China, ini membuka restoran masakan Cina asli.
Dalam usaha merealisasikan impian tersebut, Salima Liu Xiao bukan sahaja menyajikan pelbagai hidangan masakan Cina yang berasal dari negara China tetapi turut membawa masuk tukang masak dari negara tersebut.
Ini kerana menurut Salima, dengan kehadiran Chef Dawud, bertaraf lima bintang, ia dapat memberikan masakan Cina yang sebenar kepada pelanggannya.
Jelas anak tunggal ini lagi, pembukaan restoran tersebut dirasakan tepat pada masanya kerana di Malaysia hari ini restoran masakan Cina tumbuh bak cendawan selepas hujan.
Mesti ramai yang tertanya-tanya adakah restoran ini halal ataupun tidak dan jawapannya sudah pasti halal kerana Salima sendiri merupakan seorang muslim kelahiran tanah besar China.
Berbicara lanjut mengenai sajian yang disediakan di restoran tersebut, ulas Salima, walaupun menu yang ditampilkan merupakan masakan asli dari China tetapi bahan-bahan yang digunakan adalah produk tempatan.
Ini kerana menurutnya lagi, kebanyakan bahan-bahan mentah yang digunakan dalam setiap masakan mudah didapati di Malaysia.
"Alhamdulillah boleh dikatakan kesemua bahan yang digunakan dalam masakan merupakan produk tempatan yang berkualiti dan sudah semestinya halal.
"Ini termasuklah bahan-bahan mentah seperti ayam, daging, ikan, sayur dan sebagainya.
"Yang pasti kesemua bahan yang digunakan dalam setiap masakan adalah sama yang digunakan dalam masakan yang dimasak di China," katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, Yusof Authentic Chinese Cuisine yang terletak di 79-0, Tingkat G, Blok D, Platinum Walk2, Jalan Langkawi, Setapak, Kuala Lumpur.
Menawarkan pelbagai jenis masakan, antara masakan yang terdapat di restoran tersebut ialah Golden Medal Spicy Fragrant Shrimp, Squirrel-Shaped Fish, Sweet and Sour Beef Tenderloin dan Bi Feng Tang Style Chicken Wing.
Bukan itu sahaja, malah menurut Salima, restorannya turut menyediakan masakan bergoreng dan sup seperti pelbagai jenis nasi goreng serta mi sup daging.
Betul-betul menepati cita rasa Cina, ulas Salima lagi, sekiranya bahan ataupun rempah untuk satu-satu jenis masakan tiada di pasaran, pihaknya tidak akan menawarkan masakan tersebut kepada pelanggan.
Ujarnya lagi, tindakannya itu adalah bertujuan untuk menjaga kualiti masakan di restorannya di samping ingin memberi rasa yang sebenarnya.
Ternyata apa yang disajikan benar bagai dikata kerana masakan yang dimasak bukan sahaja memberikan kelainan dari segi rasa tetapi turut berbeza dari segi hidangannya.
Restoran tersebut yang mampu memuatkan 70 orang pada satu-satu masa dibuka setiap hari dari pukul 12.30 tengah hari hingga 11.30 malam kecuali setiap Isnin minggu ketiga.
Bagaimanapun jika dilihat pada harga yang ditawarkan ia agak sedikit mahal jika hendak dibandingkan dengan restoran-restoran lain.
Ini kerana jelas bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini, harga yang ditetapkan adalah berpadanan dengan bahan-bahan yang digunakan.
Selain menggunakan bahan yang berkualiti Salima turut menjelaskan, sukatan yang digunakan juga tidak pernah dikurangkan malah ia seperti asal dalam usaha memberikan masakan Cina yang betul-betul asli.
"Pembukaan restoran ini bukanlah bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana restoran masakan Cina muslim yang lain tetapi ia adalah untuk memberikan rasa asli masakan Cina kepada para penggemarnya di negara ini," katanya sebelum menutup bicara.

No comments:

Post a Comment