Friday, October 12, 2012

"KAMI MAHU TERBANG 40 TAHUN LAGI !"


Ahmad Jauhari Yahya (lima dari kanan) berbual dengan kakitangan MAS dan Kapten Hassan Ahmad (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Ooi Teong Siew (tiga dari kiri) dan Amarjeet Kumar yang menyertai penerbangan pertama MAS MH601 ke Singapura pada 1972.
KEHIDUPAN bermula dari usia 40", demikian tutur Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Airline System Bhd. (MAS), Ahmad Jauhari Yahaya semasa memulakan ucapan sempena sambutan penubuhan MAS yang ke-40 pada 1 Oktober lalu di Kelana Jaya, Selangor.
Pada usia 40, syarikat penerbangan negara ini masih kuat membelah awan walaupun perjalanan di hadapan terus berliku kerana terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat lain terutama apabila industri penerbangan tambang murah semakin berkembang dewasa ini.
Sejarah MAS bermula selepas perpecahan di antara Malaysia - Singapore Airlines (MSA) pada 1971 akibat perbezaan pendapat di antara dua kerajaan menjadi titik tolak kepada perkembangan industri penerbangan komersial di negara ini.
Singapura ketika itu mahu menumpukan kepada destinasi antarabangsa manakala Malaysia mahu menumpukan perhubungan domestik, sekali gus menyaksikan lahirnya dua syarikat penerbangan iaitu Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) pada April 1971 manakala Singapura pula menubuhkan Singapore Airlines (SIA).
Bermula dengan penerbangan pertama MH601 ke Singapura pada 1 Oktober 1972, MAS tidak menoleh ke belakang lagi apabila turut terbang ke 34 destinasi domestik dan enam destinasi antarabangsa.
Dengan hanya bertunjangkan enam pesawat Boeing 737-200, sembilan Fokker Friendship 27 dan tiga Britten Norman Islanders, MAS semakin melebarkan sayapnya ke 76 destinasi seluruh dunia.
MAS menerbangkan secara purata 37,000 penumpang dalam 300 penerbangan sehari ketika itu.
Kapten Hassan Ahmad, 76, merupakan juruterbang pertama yang menerbangkan pesawat MAS selepas dilancarkan pada 1 Oktober 1972 berkata, peristiwa tersebut menjadi sebahagian daripada sejarah industri penerbangan negara dan adalah sesuatu yang tidak dapat dijual beli.
Apatah lagi, bilangan juruterbang tempatan sangat sedikit dan lebih didominasi oleh 'Mat Saleh'.
"Kami sangat bangga menjadi warga MAS, kami bagaikan satu keluarga yang besar.
"Pertama kali menerbangkan pesawat MH601 ke Singapura, para penumpang, anak-anak kapal dan eksekutif-eksekutif yang menyaksikan peristiwa tersebut menitiskan air mata kegembiraan, sedangkan saya ketika itu terpaksa memberi sepenuh tumpuan untuk memastikan kapal terbang berlepas dengan selamat.
"Baru hari ini saya menitiskan air mata yang bagaikan tertangguh selama 40 tahun," katanya dalam nada terharu ketika ditemui semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun MAS ke-40 di Kelana Jaya, baru-baru ini.
Majlis serba sederhana di kawasan mock pesawat MAS di Akademi Latihan MAS, Kelana Jaya, Selangor itu menjadi medan pertemuan semula pencetus sejarah syarikat penerbangan itu.
Mengimbas memori indah selama lebih kurang 23 tahun bersama MAS, Hassan yang juga merupakan kapten Melayu pertama dan antara kapten termuda di Malaysia ketika itu berkata, walaupun terpaksa berkorban masa dan tenaga berikutan kekurangan kakitangan, mereka tidak pernah merungut.
Katanya, azam yang tersemat di hati mereka hanyalah memastikan penerbangan selamat sampai ke destinasi di samping memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Malah, beliau turut berkongsi cerita menarik apabila berusaha sendiri untuk mendapatkan Lesen Juruterbang (Airline Transport Pilot License - ATPL) di London kerana merasa tercabar akibat selalu disisihkan oleh juruterbang-juruterbang asing.
"Pada masa itu, kebanyakannya adalah juruterbang asing dan setiap kali melihat nama kami (pembantu juruterbang tempatan), mereka akan sesuka hati menukar jadual.
JELITA.... Empat orang pramugari memakai empat uniform khas yang diguna pakai (dari kiri) pada tahun 1972, 1978, 1986, 1993 sehingga kini semasa Sambutan 40 tahun MAS.

"Saya rasa tercabar dan berusaha sendiri ke London untuk menjalani latihan ATPL dan akhirnya berjaya dilantik sebagai juruterbang pada usia 26 tahun, sekali gus menjadi antara juruterbang termuda di negara ini," ujarnya.
Bagi Amarjeet Kumar pula, pramugari yang terbang bersama Hassan dalam pesawat bersejarah MH601, MAS sudah menjadi darah dagingnya.
"Saya mula terbang bersama MSA tetapi pangkalan kami adalah Singapura. walaupun diberi layanan hebat terutama apabila singgah di Kuala Lumpur, ia tidak pernah memadamkan keinginan saya untuk pulang ke sini. Bagi saya, Singapura bukan rumah kami.
"Jadi, apabila berlakunya perpecahan MSA dan kami diberi pilihan sama ada mahu terus bersama SIA atau pulang berkhidmat dengan MAS, saya tidak berfikir dua kali untuk menyertai syarikat penerbangan nasional ini," imbasnya.
Menamatkan perkhidmatan pada 2007 selepas 38 tahun bersama MAS, wanita anggun ini menjadi bukti nyata kenapa MAS sering memenangi Anugerah Krew Kabin Terbaik.
Dengan bentuk tubuh yang masih langsing dan tutur kata yang sopan, Amarjeet berkata, beliau merupakan antara pramugari MAS yang berjuang supaya usia persaraan mereka dilanjutkan selain diberi cuti bersalin.
"Ketika itu, usia persaraan kami adalah 35 tahun dan kami juga tidak diberikan cuti bersalin. kami juga manusia biasa yang mahu mempunyai kehidupan berumah tangga seperti orang lain.
"Jadi, selepas melahirkan anak dan kembali bekerja, saya dipanggil temuduga (setiap pramugari yang memulakan kerja selepas melahirkan anak perlu menjalani temuduga), saya menyuarakan pendapat bahawa pada usia 35 tahun kami masih lagi mampu memikul tanggung jawab dengan baik. Walaupun sudah berkeluarga, kami pandai mengatur jadual di antara kerjaya dan kehidupan peribadi," katanya.
Permintaan Amarjeet tersebut akhirnya diterima oleh pihak pengurusan MAS.
Bagi Naib Presiden Kanan, Pengawasan Keselamatan Korporat MAS, Kapten Ooi Teong Siew yang merupakan rakan seangkatan Hassan dan Amarjeet di MH601, kasih sayangnya pada MAS mengikat beliau untuk kekal bersama syarikat penerbangan tersebut walaupun banyak menerima tawaran hebat yang lain.
"Inilah yang dipanggil kesetiaan, saya bahagia di sini, bukan wang yang menjadi buruan sebaliknya semangat cintakan negara membuatkan saya terus berkhidmat dengan MAS," katanya.
Empat puluh tahun bukanlah satu jangka waktu yang singkat, namun itu juga tidak bermakna MAS semakin kehilangan kudrat untuk meneruskan penerbangan dalam persekitaran langit terbuka yang amat mencabar.
Dengan kira-kira 20,000 kakitangan setakat ini di samping barisan pesawat hebat termasuklah yang terbaru, Airbus A380, Ahmad Jauhari berkata, fokus akan terus diberikan untuk memajukan MAS.
Berdepan dengan kerugian bersih berjumlah RM520 juta bagi separuh pertama 2012 dan perolehan sebanyak RM6.2 bilion, masih banyak yang perlu dilakukan oleh beliau, apatah lagi syarikat penerbangan negara ini perlu memikul mandat untuk memenuhi lima tanggung jawab terhadap negara.
Antaranya menyediakan sistem pengangkutan udara yang efisien dan menguntungkan selain membangunkan perkhidmatan domestik yang menghubungkan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, sekali gus menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi dan integrasi.
Mengakhiri perbualan petang itu, Ahmad Jauhari berkata: " Kami mahu terbang 40 tahun lagi!".
Semoga MAS bukan sahaja mampu terbang 40 tahun lagi, malah untuk selama-lamanya kerana siapa lagi yang sanggup "menerbangkan" nama negara di langit yang luas, kalau bukan syarikat tersebut?

No comments:

Post a Comment