Tuesday, October 30, 2012

LOKAN BERI REZEKI TAMBAHAN


Lokan beri rezeki tambahan buat Basir
Basir menunjukkan lokan yang dijual di gerainya.
PONTIAN - “Seawal jam 6 pagi lagi lokan sudah mula dicari,” kata Basir Atan, 53, dari Kampung Sungai Buntu yang mula menjadikan hidupan laut tersebut sebagai mata pencarian sampingannya sejak setahun lalu.

Basir berkata, kawasan paya bakau di Sungai Karang menjadi satu-satunya habitat lokan yang masih wujud berbanding kawasan paya bakau lain di sini.

“Lokan adalah sejenis makanan laut bercangkerang dan mempunyai rasa manis seakan-akan kerang, membuatkan hidangan makanan laut ini cukup sinonim dengan masyarakat tempatan di sini.

“Namun kerja mencari lokan bukanlah sesuatu yang mudah. Kadang-kala si pencari terpaksa berjemur di bawah terik matahari selain perlu mengharungi lumpur yang boleh mencecah hingga paras pinggang,” katanya.

Katanya, jika bernasib baik, hasil tangkapan boleh mencecah hampir 200 kilogram sehari bersamaan dengan 30 bungkus lokan.

“Lokan ditangkap dengan menggunakan tangan sahaja dan jika bernasib hasil tangkapan boleh mencecah beratus kilogram.

“Apa yang penting, si pencari perlulah rajin mencari dan tidak berputus asa,” katanya yang membuka satu-satunya gerai menjual lokan di jalan Kukup Pontian, berhampiran Kampung Sungai Buntu.

Basir berkata, permintaan yang tinggi terhadap lokan membuatkan hidupan laut ini sentiasa dicari-cari.

“Pada musim cuti sekolah, dan perayaan permintaan terhadap lokan amat tinggi, sehingga tidak sempat saya jual semuanya sudah habis ditempah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keistimewaan hidupan laut ini, katanya, daya tahan lokan yang boleh hidup lama meskipun tidak berada di dalam air membuatkannya sentiasa segar.

Namun, Basir turut bimbang, lokan mungkin tidak lama dapat ditemui pada masa hadapan memandangkan banyak kawasan paya bakau di sini telah diancam pencemaran dan sebagainya.

“Kadang kala ada juga pengunjung luar yang tidak tahu mengenai lokan ini dan mereka begitu teruja apabila melihat hidupan laut ini yang dikutip segar dari kawasan paya bakau,” katanya

No comments:

Post a Comment