Friday, November 2, 2012

KARNIVAL MAKAN-MAKAN 1MALAYSIA PLAZA ANGSANA


JOHOR BAHRU 1 Nov. - Karnival Makan-Makan 1Malaysia yang berlangsung di padang Plaza Angsana di sini, bermula hari ini dilihat mampu menjadi platform terbaik kepada peniaga makanan memperkenalkan produk masing-masing.
Karnival selama empat hari anjuran Crest Media & Events dan Majlis Belia Negeri Johor yang julung kali diadakan itu diyakini dapat membuka lebih banyak peluang sekali gus mengembangkan perniagaan peserta yang terlibat.
Sebanyak 10 gerai menjual pelbagai jenis masakan dibuka selain 50 gerai jualan membabitkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) bagi mempromosikan barangan masing-masing.
Bagi seorang pengusaha restoran, Norillyana Mohd Salleh, 34, dia gembira kerana diberi peluang membuka gerai dalam karnival itu kerana dapat membantu mempromosikan makanan yang bakal dijual di restorannya.
"Restoran yang dikenali sebagai Sutera Village Sajianku itu akan dibuka di Taman Sutera di sini, tidak lama lagi dengan menu yang disajikan antaranya nasi ayam penyet, nasi Arab dan nasi lemak sambal sotong.
"Makanan yang kami hidangkan mungkin bukan baru tetapi cara penyediaannya itu ada kelainan iaitu dengan menggunakan ramuan tersendiri selain menggunakan 'tepung magik'," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, dia merupakan pengedar 'tepung magik' keluaran tempatan, tepung gandum khas yang digunakan untuk menggoreng selain mampu mengekalkan makanan yang digoreng sentiasa rangup.
Pendapat sama disuarakan seorang peniaga ayam madu, Salahuddin Abdul Karim, 40, yang mahu menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk membuka gerainya biarpun hanya empat hari.
"Saya mahu orang ramai rasa keenakan ayam madu saya yang diperam selama lapan jam dengan rempah turun-temurun keluarga isteri, Emmy Hadi dari Sabah," katanya.
Tuminah Sarimon, 67, pula menjual nasi briyani gam menggunakan rempah khas yang disediakan suaminya, Saadon Mohd. Rais, 77, yang kini diturunkan kepada anak-anaknya yang membuka restoran di Taman Dahlia di sini.
"Saya gembira kerana ada pihak yang sudi menganjurkan karnival seumpama ini yang dapat memberikan peluang kepada peniaga mempromosikan masakan masing-masing. Usaha ini perlu diteruskan di masa akan datang," ujarnya.

No comments:

Post a Comment