Monday, November 19, 2012

TENAGA LEBIH MUDA BERBANDING USIA !



SECARA analogi, adalah tidak keterlaluan jika mengibaratkan tubuh manusia seperti kereta. Bagi kereta yang sudah sampai jarak kilometer perjalanan yang perlu diservis, pemiliknya perlu menghantar kenderaan itu ke bengkel untuk pemeriksaan komponen, menukar minyak enjin dan sebagainya.
Jika rutin tersebut diabaikan, pasti lambat laun jentera tersebut akan hilang prestasi seterusnya 'meragam'.
Begitu juga dengan tubuh manusia. Darah yang mengalir di dalam tubuh umpama minyak enjin bagi memastikan kelancaran fungsi setiap organ.
"Jika minyak hitam perlu ditukar baharu, manusia tidaklah perlu sehingga menukar darah. Memadai dengan merawat darah yang ada.
"Setitik darah sudah mampu menentukan pelbagai jenis penyakit, apatah lagi lebih 50 jenis penyakit berpunca daripada darah dan toksik dalam darah itu sendiri," kata Dr. Mohammad Hazimi Hamzah daripada Pusat Pakar Perubatan Ozon dan Rejuvenasi (OMRSC).
Darah terdiri daripada 40 peratus pepejal (sel darah) dan 60 peratus cecair (plasma). Ia berfungsi membekalkan oksigen, zat makanan dan menjadi medium untuk seluruh sistem organ dalam badan manusia.
Tambah Mohammad Hazimi, apabila darah sudah menjadi punca penyakit, rawatan boleh dilakukan pada darah dengan kaedah terapi ozon.
Ia merupakan cabang perubatan komplementari yang sudah bertapak di Malaysia seawal tahun 1999. Konsep rawatan terapi ozon tersebut seolah-olah kaedah berbekam yang mengeluarkan darah untuk melancarkan aliran darah dalam badan, tetapi terapi ozon membersihkan darah dengan cara menapisnya.
"Rawatan ozon membolehkan kadar oksigen dalam darah berada pada tahap optimum dan ia menjadikan seseorang itu lebih bertenaga sehingga proses penyembuhan penyakit menjadi lebih cepat.
"Ia adalah rawatan alternatif kepada pesakit bagi membantu proses penyembuhan penyakit. Selain itu, ia mengelakkan seseorang daripada bergantung harap pada ubat-ubatan yang terlalu banyak atau mengurangkan dos ubat yang diambil," ujarnya.
Singkir toksin
Jelas Mohammad Hazimi, sesiapa sahaja boleh mendapatkan rawatan itu kerana ia tidak khusus buat mereka yang berpenyakit. Selain meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan, rawatan itu juga boleh menggalakkan proses antipenuaan, penyingkiran toksin dan pengurusan berat badan.
Tiada had umur ditetapkan bagi menjalani rawatan tersebut. Sungguhpun begitu, kebiasaannya peringkat umur 17 tahun hingga 60 tahun disarankan untuk berbuat demikian.

SEMUA alat dan komponen pemindahan darah tidak akan diguna semula.


"Begitupun, wanita yang mengandung dan uzur (datang haid) tidak digalakkan melakukannya. Golongan yang menghidap penyakit Glukosa-6-Fosfat Dehidrogenase (G6PD) pula perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan," jelasnya.
G6PD merupakan penyakit genetik iaitu tubuh tidak kekurangan enzim glukosa-6-fosfat dehidrogenase yang membantu sel-sel darah merah berfungsi secara normal.
Terapi ozon secara amnya boleh dijadikan alternatif untuk rawatan penyakit-penyakit seperti kolesterol tinggi, darah tinggi, diabetes melitus, ketidakseimbangan hormon, malaise (tidak sedap badan), gout, obesiti dan masalah kulit.
Semua pesakit perlu berjumpa dengan perunding terapi atau doktor bertugas terlebih dahulu untuk berbincang tentang masalah kesihatan yang dihidapi.
"Apabila segala maklumat latar belakang kesihatan pesakit diperoleh termasuk ujian darah, barulah pelan rawatan disediakan," katanya.
Sekali pandang, prosedur rawatan ozon seperti rawatan dialisis yang dijalankan ke atas pesakit yang mengalami kerosakan buah pinggang.
Terdapat pelbagai kaedah rawatan dan OMRSC menggunakan kaedah Extracorporeal Blood Oxygenation and Ozonation (EBOO) yang menyertakan vitamin dan mineral mengikut dos yang bersesuaian dengan pesakit.
Setiap pesakit perlu mengikut nasihat dan menjalankan rawatan susulan bagi menjamin kesan yang lebih efektif terhadap rawatan ozon tersebut.
Ujar Mohammad Hazimi, rawatan tersebut mengambil masa selama satu jam dan lebih kurang 30 mililiter darah akan ditapis dalam seminit dan 1,800 mililiter dalam satu sesi rawatan.
"Darah akan keluar dan masuk ke dalam satu alat yang dipanggil dialyzer yang berfungsi menapis segala toksin, kolestrol dan sel-sel yang berisiko menyebabkan kanser.
"Darah yang sudah ditapis akan masuk melalui satu tiub dan ozon yang dicampur dengan oksigen tulen akan 'ditembak' ke dalam darah tersebut (pengoksigenan dan pengozonan) sebelum diserap masuk kembali ke dalam salur darah," terangnya sambil memberitahu pesakit tidak akan berasa sakit sepanjang rawatan kecuali sedikit ketika proses mencucuk jarum branula.
Mohammad Hazimi menambah, rawatan ozon tersebut tidak mempunyai kesan sampingan. Pesakit boleh pulang tanpa rasa terhuyung-hayang, cuma pesakit disarankan minum air sekurang-kurangnya sebanyak tiga liter dalam tempoh 24 jam selepas rawatan.
"Pesakit tidak perlu bimbang kerana semua alat-alat yang digunakan tidak akan diguna semula.
"Bagi pesakit kronik, kita sarankan mereka untuk membuat rawatan sebanyak tiga kali selama tiga minggu berturut-turut dan kemudian rawatan susulan," katanya yang turut berpengalaman dalam bidang perubatan Islam, moden, komplimentari, akupuntur, herba dan homeopati.

DARAH yang telah ditapis dan dimasukkan oksigen serta ozon akan bertukar warna merah cerah berbanding merah pekat sebelumnya.


Rawatan pelengkap
Mohammad Hazimi menjelaskan, rawatan ozon tidak mengetepikan kepentingan perubatan moden, kerana ia lebih kepada pelengkap bagi perubatan moden.
Contohnya, pesakit yang berhadapan dengan masalah darah tinggi tidak akan disuruh menghentikan pengambilan ubat.
Terapi ozon sebaliknya bertindak membersihkan darah daripada radikal bebas yang boleh mengganggu penyerapan ubat. Secara tidak langsung, terapi ozon membantu keberkesanan perubatan moden.
"Pesakit yang mengalami masalah strok, diabetes, kencing manis dan darah tinggi, kami mencadangkan agar rawatan dilakukan setiap minggu bergantung kepada keadaan pesakit. Jika keadaan seseorang itu bertambah baik, rawatan hanya dilakukan sebulan sekali.
"Darah pesakit yang keluar berwarna merah pekat dan selepas ditapis dan dimasukkan oksigen dan ozon, darah akan berwarna merah cerah menandakan darah tersebut sudah bersih," ujarnya yang turut mengalu-alukan pesakit yang baru sahaja didiagnosis menghidap kanser peringkat awal.
Dalam pada itu, seorang pesakit, Faridah Hussaini, 49, dan suaminya Abang Bohari Abang Johari, 63, sanggup merentas Laut China Selatan untuk datang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk mendapatkan rawatan terapi ozon.
Faridah dan suami dari Petrajaya, Kuching mula mendapatkan rawatan pada bulan Jun tahun lalu selepas disyorkan oleh temannya.
"Sebelum ini, saya sering mengalami migrain dan turut mengambil suplemen. Namun, rakan saya memberitahu jika tidak cuci darah, suplemen tidak boleh menyerap dengan baik ke dalam badan," katanya.
Menurut Faridah yang menafikan proses itu menyakitkan, selepas beberapa minit terapi dijalankan kepadanya, dia dapat melihat bendasing kuning dalam darah yang keluar melalui tiub sebelum ia ditapis.
"Dahulu, setiap minggu pasti saya dan suami datang ke pusat rawatan ini untuk melakukan terapi ozon, tetapi kini kami ke sini sebulan atau dua bulan sekali mengikut kelapangan.
"Badan akan rasa segar dan ringan sebaik sahaja rawatan selesai. Migrain yang dihidapi sebelum ini juga semakin berkurangan," katanya.
Bagi Faridah dan suami, kesihatan merupakan sesuatu yang tidak ternilai harganya.
"Bagi saya, kesihatan itu sangat penting bagi membolehkan kita beribadat. Jika berbelanja untuk benda lain kita sanggup, kenapa untuk kesihatan sendiri perlu berkira?," katanya.

No comments:

Post a Comment