Friday, December 14, 2012

BUKAN SEKADAR MAKANAN HALAL


Oleh Dr Norman Mohd Norawi


MAKANAN adalah untuk menyediakan khasiat, zat atau nutrien yang secukupnya kepada tubuh manusia. Budaya pemakanan zaman moden sekarang banyak menjurus kepada pelbagai masalah kesihatan. Islam amat menggalakkan penjagaan kesihatan dengan pelbagai nas daripada sumber Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad s.a.w.
Setiap hari kita akan berdoa kepada Allah agar dikurniakan kesihatan yang baik ketika solat atau di luar solat. Ini jelas membuktikan penjagaan kesihatan amat diutamakan dalam Islam. Faktor pemakanan yang betul dan sihat amat penting untuk mendapat kesihatan terbaik.

Prinsip asas yang dilandaskan Islam berkenan pemakanan adalah prinsip boleh guna atau harus guna atas setiap benda. Semua diciptakan Allah S.W.T di atas muka bumi ini atau di dalam perut bumi boleh digunakan oleh manusia demi menjamin kelangsungan hidup.
Tiada satu pun yang dicegah atau diharamkan kecuali apa yang sudah termaktub dalam al-Quran dan hadis sahih yang diperjelaskan oleh Nabi. Ini adalah seperti Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 29 yang bermaksud: “Dialah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu.” Terdapat pelbagai faktor menyumbang kepada kesihatan yang baik, tetapi faktor pemakanan sihat adalah utama sebagaimana satu hadis Nabi yang bermaksud: “Perut itu tempat penyakit dan berpantang itu adalah penyembuh yang utama.” Maksud berpantang di sini adalah pemilihan makanan tertentu iaitu makanan yang menyihatkan amat penting untuk mencegah penyakit. Dengan makanan kita akan menguatkan tubuh fizikal dengan penjanaan tenaga daripada makanan.

Makanan tidak sihat juga menjadi punca kepada pelbagai jenis penyakit. Manusia makan untuk kelangsungan hidup, bukan hidup untuk makan, tetapi kadangkala tidak kita sedari ramai manusia yang makan untuk ‘mati’.

Ini adalah kerana banyak makanan yang kita makan menyebabkan kita mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, strok, obesiti, kanser dan sebagainya.
Faktor pemakanan berkait langsung dengan setiap amalan kebaikan seperti mana yang dinyatakan dalam surah Al-Mukminun ayat 51 yang bermaksud: “Wahai Rasul, makanlah daripada yang baik-baik dan beramallah dengan amalan yang soleh.” Islam amat menekan pemakanan halal dan ‘toyyiban’ iaitu makanan halal lagi baik. Apakah maksud ‘toyyiban’ ini sebenarnya? Daripada aspek sumber makanan hendaklah makanan itu kita beli atau kita peroleh daripada sumber halal untuk mendapat keberkatan Allah.

Oleh kerana itu makanan daripada sumber duit yang haram seperti hasil judi atau rasuah dan sebagainya tidak baik dan tidak berkat. Di samping faktor ini, ‘toyyiban’ juga bermaksud baik dari sudut menjaga kesihatan. Kerana makanan yang memudaratkan kesihatan akan menyebabkan tubuh badan kita menjadi rosak dalam jangka masa panjang.
Badan sakit dan tidak sihat akan mengganggu kita melaksanakan tanggungjawab kita sebagai Muslim dari aspek ibadah dan pekerjaan seharian.

Makanan halal mungkin akan dilihat melalui persijilan halal oleh pihak berkuasa, tetapi tidak semua makanan halal itu ‘toyyib’ dari sudut kesihatan. Contohnya makanan ringan adalah halal kerana dibuat daripada gandum dan bahan halal. Tetapi dari aspek kesihatan makanan ini tidak sihat dan akan memudaratkan kesihatan kerana tidak mengandungi zat cukup dan hanya mempunyai kalori semata-mata.

Oleh itu makanan baik hendaklah kedua-dua aspek ini dipenuhi iaitu makanan halal dan baik dari aspek kesihatan. Mungkin kerana inilah apabila perkataan ‘halal’ disebut dalam al-Quran, akan disambung dengan perkataan ‘toyyiban’, dengan ini jelaslah keperluan kita umat Islam menitik beratkan faktor makanan yang menyihatkan ini dalam pemilihan makanan seharian kita.

Makanan proses yang kaya dengan gula, lemak tepu, lemak ‘trans’, pengawet, perwarna, perasa tiruan dan garam berlebihan adalah contoh makanan yang tidak sihat. Makanan proses amat sinonim dengan kehidupan kita sekarang. Restoran makanan segera tumbuh bagai cendawan, membawa satu budaya kurang sihat dalam masyarakat kita hari ini.

Makan tersedia dan makanan segera yang diproses seperti mi segera, makanan tin, makanan sejuk beku, pelbagai jenis biskut, kerepek dan sebagainya amat banyak di pasaran.

Semua jenis makanan ini jika terlalu kerap diambil akan membawa kepada pelbagai jenis penyakit sebagaimana terbukti daripada kajian sains yang banyak dilaporkan dalam jurnal perubatan. Oleh kerana itu meninggalkan makanan seperti ini juga dituntut oleh Islam demi kesihatan yang baik.

Nabi adalah contoh terbaik mengamalkan pemakanan yang halal lagi menyihatkan. Makanan Rasulullah adalah makanan segar seperti kurma segar, tembikai, madu, labu, buah tin dan minyak zaitun.

Baginda juga makan roti yang dikisar sendiri daripada gandum dan barli yang kaya dengan serat. Di dalam al-Quran banyak kali disebut buah-buahan dalam banyak surah. Makanan syurga juga terdiri daripada pelbagai jenis buah-buahan.

Kenapa buah-buahan ini selalu di sebut dalam al-Quran? Sudah pasti ada banyak kelebihannya dari sudut kesihatan. Sekarang dengan ribuan kajian dilaporkan dalam jurnal perubatan mengenai khasiat buah-buahan menjaga kesihatan yang baik, terbuktilah bahawa apa dinyatakan dalam al-Quran sejak 1,400 tahun dulu lagi.

Satu lagi aspek penting dalam soal pemakanan seharian adalah jumlah makanan yang kita makan setiap hari. Rasulullah tidak melampau dalam jumlah makanan yang dimakan sebagaimana sabdanya dalam satu hadis yang bermaksud: “Kami adalah kaum yang makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang.” Islam amat menekankan konsep bersederhana dalam mengambil makanan dan amat mengeji perbuatan membazir dalam pemakanan.

Melampau dan berlebih-lebihan ketika makan akan menyebabkan masalah kesihatan serius dan obesiti. Makan secara sederhana amat selari dari aspek kesihatan dan tuntutan Islam.

Sebagai Muslim yang sejati, pemakanan halal lagi baik adalah panduan amat baik untuk kita amalkan setiap hari untuk mendapat keberkatan daripada rezeki yang Allah kurniakan dan mendapat kesihatan terbaik. Insya-Allah.

No comments:

Post a Comment