Menurut Alimah masakan asam pedas Melaka yang bermula di kios sejak tujuh tahun lalu itu, bukan sahaja jadi tumpuan penggemar masakan asam pedas Melaka, bahkan mereka yang baru pertama kali ingin mencuba masakan tersebut.
Lebih menarik ia turut dikunjungi oleh pelanggan daripada semua bangsa termasuk pelancong asing.
Alhamdulillah, ramai pelanggan yang berpuas hati dengan masakan asam pedas mak cik sehinggakan mereka yang datang dari Melaka pun, mereka akan singgah ke sini untuk merasai asam pedas yang dikatakan mereka tiada tandingannya.
Ramai juga pelanggan yang datang meminta agar dilebihkan kuah asam pedas untuk dihirup, ada juga yang membeli pes asam pedas untuk membuat sendiri di rumah atau membeli kuahnya sahaja," katanya yang berasal dari Bukit Piatu, Melaka.
Memberitahu lanjut, Alimah yang dibantu oleh anak perempuannya, Yusliza Nor, 32, berkata, masakan Asam Pedas Komando di kiosnya dihidangkan di dalam periuk tanah (claypot) secara panas-panas agar aromanya sebati dengan nasi putih yang dihidangkan bersama.
Bukan itu sahaja, sekiranya pelanggan memilih hidangan secara set, selain asam pedas dengan pelbagai pilihan ikan, turut dihidangkan sekali ialah nasi putih, telur masin, sambal belacan dan ulam-ulaman.
Setakat ini katanya, asam pedas ikan pari adalah hidangan yang paling digemari pelanggan.
Ikan lain yang turut jadi pilihan seperti jenahak, terubuk, tenggiri, kembung, kepala ikan dan sebagainya serta daging tetel dengan harga bagi satu set hidangan adalah serendah RM7.00 sahaja.
Bagaimanapun, bagi asam pedas kepala ikan harganya berbeza sedikit dan pada hari Ahad ada disediakan hidangan sup.
Pelanggan juga boleh memesan hidangan sampingan seperti sayur goreng, ayam berempah atau masak kunyit dan ikan masin atau telur dadar serta mi rebus sebagai peneman kepada masakan Asam Pedas Komando ini.
Manakala air jambu mata asam boi, air asam boi dan teh tiga lapis adalah minuman istimewa di kios ini.
Apabila ditanya apakah resipi rahsia yang menjadikan asam pedas yang dimasak begitu sedap, Alimah berkata, tiada apa yang menjadi rahsia cuma apabila memasak, dia memasak dengan ikhlas.
Bagi makcik sekiranya masakan ini sedap, bolehlah beritahu dengan kawan-kawan kalau tidak, beritahu makcik," katanya yang juga bekas guru masakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Alimah akan mula menyediakan bahan-bahan tumisan asam pedas pada sebelah petang dan pada keesokan paginya, dia akan mula menumis kuah mengikut cita rasa dan kepekatan yang dimahukan pelanggan.
Kuah memang telah tersedia dan pelanggan akan memilih hanya ikan-ikan yang segar di sini untuk dijadikan hidangan makanan mereka pada hari itu," katanya.
Kios di medan selera ini dibuka dari 10.30 pagi hingga 10.30 malam setiap hari dan waktu puncak ialah antara 12.00 tengah hari sehingga 2.30 petang.
Apabila ditanya bagaimana dengan nama gelaran komando yang diletakkan pada asam pedas ini, Hussain pula menjelaskan, dia adalah seorang pesara komando sejak tahun 1983.
Selepas bersara dia sempat bekerja di beberapa tempat sebelum bersama isterinya mengelolakan masakan yong tau fu dan nasi lemak secara kecil-kecilan di Pandan Indah, Ampang, Selangor.
Memandangkan isterinya mempunyai kebolehan memasak asam pedas, mereka pun memulakan perniagaan berkenaan dan sambutan yang didapati sangat menggalakkan.
Bercakap mengenai harga, Hussain yang berasal dari Pulau Pinang menambah, harga hidangan yang ditawarkan kepada pelanggan tidak pernah berubah sejak kios ini dibuka.
Dia juga berpuas hati dengan lokasi medan seleranya itu yang berhampiran dengan pejabat dan senang dicari pelanggan.
Sekiranya anda peminat tegar asam pedas Melaka, apa kata mencuba masakan Asam Pedas Melaka Komando ini di No. 5, Medan Selera, Taman Dagang Avenue, Ampang, Selangor atau hubungi untuk pertanyaan lanjut.
No comments:
Post a Comment