Tuesday, February 19, 2013
PAKAR SELERA SELATAN: MS BERIANI & ASAM PEDAS, SEKSYEN 15 SHAH ALAM
KALAU singgah di Johor Bahru, tidak lengkap percutian kita jika tidak merasai kelazatan hidangan nasi beriani, kacang pool atau laksa Johor.
Antara gerai popular tumpuan ramai di bandar raya itu adalah kedai makan Kacang Pool Haji dekat Balai Bomba Larkin.
Namun jika kita berada di luar Johor Bahru dan tiba-tiba teringin untuk menikmati kelazatan kacang pool, tak mungkin ada yang sanggup memandu lebih 300 kilometer dari Kuala Lumpur semata-mata mahu menikmatinya.
Menyedari begitu ramai penggemar kacang pool, maka Restoran MS Beriani & Asam Pedas di Lot 7, Persiaran Selangor, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor turut menyajikan menu tersebut.
Pengurus restoran itu, Hafizuddin Md. Salleh, 26, berkata:
"Menu kacang pool agak sukar didapati di sekitar ibu kota, jadi kami mengisi 'kekosongan' itu dengan menyajikannya di restoran kami."
"Menu kacang pool diperkenalkan setelah kami dapati ia agak sukar ditemui di Kuala Lumpur mahupun Shah Alam.
"Tak banyak kedai ada jual kacang pool. Sebab itulah, kami menawarkan menu ini. Jadi, tak perlu lagi ke Johor Bahru, sebaliknya mereka boleh singgah makan di restoran ini,"
Tentu enak menikmati kacang pool yang dihidangkan bersama roti, daging cincang, cili hijau potong, hirisan bawang holland, perahan limau kasturi serta telur mata separuh masak.
Selain kacang pool, restoran itu juga menawarkan nasi beriani dan asam pedas.
Restoran milik keluarga yang baru dibuka pada 3 Februari lalu itu dikendalikan sepenuhnya oleh Hafizuddin bersama ayah, ibu dan adik-beradik yang lain.
Katanya, ayahnya, Md. Salleh A. Manap merupakan pakar dalam masakan nasi beriani kambing dan beriani ayam dan sering mendapat tempahan katering untuk pelbagai majlis, sama ada kenduri kahwin, makan malam korporat dan lain-lain.
"Mak saya pula, Rasidah Mohd. Ali akan menyediakan sendiri kuah laksa Johor, mee rebus dan asam pedas. Untuk menu asam pedas, pengunjung boleh memilih ikan kembung, pari, parang, bawal, jenahak atau sembilang. Asam pedas daging tetel akan diperkenalkan tidak lama lagi.
"Selepas memilih ikan segar kegemaran masing-masing, barulah ia dimasak dan dihidangkan dalam mangkuk claypot. Masakan kari juga disediakan mengikut konsep yang sama," tambahnya.
Menurutnya, konsep menghidangkan makanan yang masih panas semakin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai.
Justeru, pihaknya, berusaha memenuhi kehendak itu dengan menyediakan masakan mengikut konsep tersebut.
"Set asam pedas dan kari dihidangkan bersama nasi putih, ulam timun dan sambal belacan," tambahnya..
Menu lain yang turut disajikan adalah nasi tomato, nasi ayam dan nasi putih bersama ayam goreng berempah.
Dibuka dari pukul 9 pagi hingga 10 malam setiap hari, kecuali hari Isnin minggu kedua, Hafizuddin berkata, minuman istimewa pula adalah sirap bandung soda dan air belimbing.
"Mengenai harga, apa yang ditawarkan di sini berpatutan dengan kualiti dan servis yang diberi. Misalnya, harga semangkuk asam pedas bermula daripada RM6, manakala nasi beriani bermula daripada RM11 sepinggan," katanya menamatkan bicara.
No comments:
Post a Comment