PERUT yang kosong selalu saja meronta-ronta untuk minta diisi dengan makanan. Dalam membuat pilihan untuk makan di luar rumah, restoran ala stimbot tentunya tidak terlepas dalam senarai cadangan.
Di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur misalnya, terdapat banyak restoran yang menawarkan konsep masakan stimbot.
Faktor tata rias dalaman restoran yang selesa, pilihan hidangan yang beraneka dan apatah lagi kalau menjadi sebutan ramai, tentu saja seseorang ingin melangkah masuk untuk menjamu selera.
Begitupun, timbul pula keraguan tentang status halal lebih-lebih lagi kalau tiada sebarang tanda atau sijil pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kelihatan di restoran tersebut.
Hal sebegitu boleh membantutkan niat untuk menjamu selera. Walau bagaimanapun, isu tersebut tidak perlu dikhuatiri jika berkunjung ke Restoran Silver Pot yang diusahakan oleh pengusaha makanan Cina Muslim, Johan Tai Abdullah.
Restoran itu mula beroperasi pada tahun 2004 dengan nama asalnya Jolly Express.
“Para pengunjung tidak perlu meragui status halal di restoran ini kerana kami telah mendapat pengesahan dan mempunyai sijil daripada Jakim,” ujar Johan ketika ditemui di restorannya yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Tambahnya, memang wujud kesukaran untuk mencari restoran stimbot yang benar-benar halal. Disebabkan itu, Johan mendapat idea untuk membuka restoran yang boleh dikunjungi oleh semua kaum tidak mengira pegangan agama.
“Istimewanya restoran Silver Pot, setiap pengunjung akan mempunyai satu periuk masakan sendiri, berbeza dengan kebanyakan restoran stimbot yang lain,” jelas Johan.
Oleh yang demikian, mereka boleh memilih menu makanan sendiri tanpa perlu berkongsi periuk dengan rakan atau ahli keluarga lain.
Selera yang berbeza membolehkan pengunjung membuat pilihan sup yang digemari antaranya sup tomyam, sup ayam atau sup sayuran.
“Sesetengah pengunjung tidak boleh makan makanan laut atau mereka seorang vegetarian, maka konsep sebegini bersesuaian dengan semua lapisan masyarakat,” kata Johan yang mendapat ilham membuka restoran stimbot ketika berkunjung ke Taiwan.
Sempena kedatangan tahun baharu, Silver Pot telah mengubah konsep ala-carte kepada bufet yang jauh lebih murah dan berpatutan.
“Sejak perubahan konsep tersebut, kami menerima maklum balas positif daripada para pengunjung yang berpuas hati dengan hidangan dan harga ditawarkan oleh Silver Pot,” luah Johan.
Sebelum ini, Silver Pot menawarkan hidangan makanan secara ala carte dengan pilihan menu yang telah ditetapkan. Menerusi konsep bufet, pengunjung boleh memilih variasi makanan dan membayar pada harga yang sama iaitu RM19.90 seorang.
Antara pilihan yang terdapat dalam menu bufet ialah udang basah, sotong, ketam dan kerang-kerangan. Selain itu, terdapat juga beberapa jenis sayur-sayuran, mi dan bebola sejuk beku.
“Saya juga mencipta sos istimewa yang mengambil masa selama dua bulan untuk menghasilkan ramuannya,” ujar Johan.
Memandangkan tempoh makan bufet yang mengambil masa lama, Johan menggalakkan orang ramai untuk membuat tempahan awal sebelum datang ke Silver Pot.
No comments:
Post a Comment