Saturday, May 18, 2013

RAHSIA VANILLA


Tahukah anda bahawa vanila adalah herba dan rempah-ratus yang kedua termahal selepas safron.
Harganya boleh mencapai RM145 hingga RM580 (AS$50-AS$200) satu kilo bergantung kepada grednya. Vanila merupakan bahan penting dalam pembakaran kek, biskut dan pelbagai jenis pencuci mulut.
Vanila adalah bahan perasa yang di dapati daripada pokok orkid (Vanilla Planifolia). Panjang buah vanila adalah lebih kurang dalam 5-17 sentimeter dan bentuknya halus. Buah ini akan dipetik dan dikeringkan menjadi warna hitam.
Di dalam buah inilah tersembunyi rasa vanila. Terdapat beberapa jenis vanila yang biasa dijual di pasaran seperti ekstrak atau esen, buah vanila juga dipanggil kacang vanila, pes dan serbuk vanila atau vanilli. Esen dan ekstrak vanila adalah yang paling biasa dan popular menjadi pilihan ramai orang kerana ia lebih senang dibeli.
Di pasaran terdapat dua jenis perasa vanila yang dijual secara komersial dalam bentuk cecair iaitu esen dan pes vanila.
Ekstrak dan esen vanila dihasilkan dengan merendam buah vanila dalam sebatian alkohol dan air. Ia dibiarkan selama beberapa bulan sehingga menghasilkan campuran gelap dengan rasa dan aroma yang kuat.
Kemudian campuran ini akan disuling menjadi esen. Esen atau ekstrak ini biasa kita jumpa di pasar raya. Esen vanila mudah meruap jadi sebaiknya tidak menggunakan dalam cecair yang dipanaskan. kerana anda akan cuma merasa vanila tetapi kurang aroma vanila.
Apabila membeli esen vanila pastikan ia adalah yang asli kerana terdapat perasa vanila tiruan yang dihasilkan secara sintetik. Buah atau kacang vanila yang telah dikeringkan pula boleh digunakan untuk mendapatkan rasa vanila yang asli.
Kacang atau buah vanila boleh juga digunakan dalam semua jenis pencuci mulut tetapi lebih sesuai digunakan dalam pencuci mulut yang menggunakan asas cecair.
Tiada salahnya menggunakan untuk membuat kek atau biskut jika anda sukakannya. Cara menggunakannya adalah dengan membelah dua kacang vanila dan anda perlu korek bahagian biji yang berada di dalam kulit buah vanila.
Bijinya yang berbentuk halus berpasir itu bolehlah dicampurkan dalam adunan. Isi atau biji yang dikorek itu lebih bagus dicampur dan dididihkan sekali ke dalam pencuci mulut yang menggunakan asas cecair seperti kastard, campuran ais krim, krim susu perasa vanila kerana ia melepaskan suatu aroma dan rasa vanila yang kompleks membuatkan pencuci mulut anda berasa lebih harum dan sedap.
Kacang vanila ini ada dijual di kedai-kedai terpilih dan anda boleh juga membelinya secara pos melalui Internet. Ia berwarna hitam berkilat, masih berisi dan lembap.
Jangan beli kacang vanila yang terlalu kering dan kecut kerana apabila anda menggunakannya rasa dan aroma vanila tidak dapat diperolehi.
Terdapat kesan seperti bintik-bintik hitam apabila menggunakan kacang vanila ini disebabkan biji-biji vanila yang halus. Jika menggunakannya janganlah berasa pelik dengan rupa pencuci mulut anda akan berbinti-bintik halus.
Pes vanila pula konsentrasinya lebih pekat dan rasanya lebih kuat berbanding vanila esen. Jadi menggunakannya sedikit pun sudah memadai. Serbuk vanila pula adalah vanila kering yang telah dikisar sehingga menjadi serbuk kering. Kebiasaannya ia berwarna putih dan rasanya lebih kuat berbanding vanila yang diekstrak.

No comments:

Post a Comment