Restoran ini sememangnya mengekalkan cita rasa Thai asli yang akan membuatkan sesiapa yang merasainya tidak berasa rugi setelah mencubanya.
Pengurus restoran ini, Alfred Foo, 33, berkata, dia dan rakannya suka mencuba pelbagai jenis makanan dan dari situ ideanya timbul untuk mengendalikan restoran yang menghidangkan gabungan masakan Thai asli dan tempatan.
"Kebiasaannya di pasaran terdapat banyak makanan segera Jepun tapi kami membawa kelainan kerana menyediakan makanan segera Thai," jelasnya.
Tambah Alfred, sebagai usaha untuk mengekalkan rasa asli Thai ini, mereka menggunakan khidmat chef yang didatangkan khas dari Thailand.
"Chef dari Thailand dipilih untuk mengekalkan rasanya agar tidak mengecewakan para pelanggan yang makan di sini.
"Kami juga sedang dalam usaha untuk menambah bilangan chef dan kami mencari di sekitar Thailand untuk mencarinya," katanya ketika ditemui di restorannya di Damansara Jaya, Selangor.
Restoran yang santai dan selesa itu diubah suai dengan hiasan kayu berwarna gelap di selang seli dengan kepingan papan berwarna.
Antara makanan yang menjadi kegemaran pelanggan di restoran tersebut ialah tomyam makanan laut, sambal petai udang, kari hijau daging, kari merah ayam dan ikan stim ala Thai, manakala minuman yang paling terkenal di sini ialah minuman serai sejuk.
Harga yang dicaj adalah berpatutan dan mampu dibayar oleh semua golongan dan restoran ini juga halal.
Merangkumi lebih 3,000 kaki persegi, restoran ini mampu memuatkan 100 hingga 120 pengunjung pada satu-satu masa termasuk tempahan eksklusif bagi majlis-majlis tertentu.
Golden Orchid dibuka untuk operasi dari jam 11.30 pagi hingga 2.30 petang dan 5.30 petang hingga 10.00 malam setiap hari.
No comments:
Post a Comment