Walaupun lokasinya agak terceruk iaitu di Jalan Arong off Jalan Bukit Kempas, namun kewujudan sebuah gerai yang menjual nasi lemak kukus itu masih mampu menarik kedatangan pelanggan yang ramai.
Selain tarikan utama nasi lemak kukus, menu lain yang tidak kurang hebatnya adalah nasi berlauk dengan menawarkan 15 jenis lauk dan sayur.
Pengusaha gerai tersebut, Said Mohamad, 49, memberitahu, antara menu wajib, yang mendapat sambutan adalah pelbagai jenis sambal antaranya sambal udang, sambal sotong, sambal telur puyuh, sambal kerang, sambal kupang, selain ayam masak merah, rendang ayam dan daging, ayam goreng berempah serta sayur goreng kobis, kacang panjang dan peria.
Said yang mengusahakan gerai tersebut sejak empat tahun lalu berkata, antara menu yang menjadi kemestian pelanggan ketika menjamu selera di gerainya adalah ayam goreng berempah.
Disebabkan permintaan yang tinggi, setiap hari saya menyediakan 30 ekor ayam untuk menu tersebut," katanya kepada S2.
Selain ayam goreng berempah, lazimnya pelanggan tidak melepaskan peluang untuk menikmati sambal kosong yang dikatakan istimewa kerana rasanya berbeza daripada apa yang sering dinikmati.
Mengenai sambal, saya memang mempunyai cara tersendiri untuk menyediakannya iaitu selepas cili kering dibuang bijinya, cili tersebut akan dicuci dan dibilas berkali-kali sehingga airnya basuhannya jernih.
Selepas itu, saya akan masak sambal tersebut selama 12 jam yang mana kaedah ini menyebabkan ibu sambal tidak mudah basi dan boleh diletakkan pada suhu biasa sehingga lima hari.
Maknanya ibu sambal tersebut tidak perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk," katanya.
Bapa kepada sembilan anak ini berkata, ibu sambal tersebut lazimnya dibuat seminggu sekali iaitu bagi memenuhi keperluan untuk seminggu berniaga.
Tambah Said, selain mementingkan kaedah memproses cili seperti itu, dia juga menggunakan minyak jagung untuk menumis sambal dan lauk-pauk yang lain.
Selain lauk-pauk, kata Said, dia turut memberikan keutamaan dari segi pemilihan beras dengan menggunakan beras wangi iaitu sebanyak 20 kilogram (kg) untuk nasi lemak dan 10 kg untuk nasi putih setiap hari.
Kalau fikir nak untung lebih, saya boleh guna beras super, tetapi saya mahu pelanggan berpuas hati dan berbaloi dengan apa yang dinikmati, sebab itu saya pilih beras wangi untuk nasi lemak mahupun nasi putih.
Begitu juga dengan pemilihan santan yang mana saya tempah khas daripada pembekal santan yang telah dikenal pasti. Bagi saya, santan merupakan elemen penting untuk menentukan nasi lemak itu enak atau tidak," katanya.
Mengenai harga makanan yang dijual, Said memberitahu, ia bermula serendah RM6 hingga RM10, bergantung jenis lauk yang dipilih.
Bagi mengendalikan gerai yang dibuka mulai pukul 5 petang hingga 10 malam pada hari Isnin hingga Jumaat itu, dia dibantu oleh isterinya, Noraini Lam Abdullah, 47, anaknya Nor Atikah, 18, dan dua pembantu lain bagi kerja-kerja persiapan memasak serta membancuh minuman.
Menurutnya, berikutan sambutan yang amat menggalakkan, beliau berhasrat untuk membuka satu lagi cawangan.
Katanya, cawangan tersebut telah dikenal pasti iaitu satu lokasi di kawasan Taman Sentosa.
Apabila cawangan itu dibuka kelak, ia akan memenuhi keperluan masyarakat dari sekitar Taman Pelangi, Taman Sri Tebrau, Taman Century dan kawasan berhampiran," ujarnya.
No comments:
Post a Comment