Monday, July 15, 2013

SELERA MALAYSIA DI INTEKMA

KAMBING panggang dengan sos cendawan.

TERASA puas perut yang kosong apabila dapat menikmati keenakan kuah ikan patin tempoyak bersama nasi panas ketika waktu berbuka. Gaya masakan tempoyak cara orang Perak itu cukup lengkap rasanya dan sesuai untuk mereka yang berpuasa kerana tidak terlalu pedas.
Rasa masam kuah kegemaran ramai hasil rebusan tempoyak, bawang merah dan putih, halia, serai, sedikit asam keping dan daun kunyit terus membuka selera untuk menambah sepinggan lagi.
Turut memanggil-manggil, kuah kari kepala ikan istimewa di meja bufet Intekma Resort & Convention Centre (IRCC) yang pekat berempah dan berlemak.
Ia ternyata berbeza dengan kari kepala ikan yang pernah dinikmati penulis di tempat lain kerana kuahnya yang pekat tetapi tidak keterlaluan membuatkan ia boleh dinikmati semua golongan.
Pelbagai lagi menu masakan serata Malaysia yang lazat seperti siput sedut lemak, paru berlada, ayam rendang, ikan masin lemak nenas dan asam pedas ikan.
Ujar Chef Eksekutif IRCC, Rosman Hussin, mereka memilih hidangan kegemaran ramai ketika berbuka puasa di serata Malaysia termasuk yang kini sukar didapati, sesuai dengan tema tahun ini, Gabungan Masakan Malaysia.
"Menu di IRCC pelbagai tetapi lebih ke arah masakan kampung tradisional.
"Selain itu, kami juga membuat konsep seakan gerai disertai masakan secara langsung di hadapan tetamu bagi memastikan ia segar dan masih panas," ujarnya.
Mesti cuba, bubur lambuk dagingnya yang sungguh istimewa rasanya.
Rasanya yang asli, berlemak tetapi kurang pekat membuatkan ia sesuai untuk dinikmati sesiapa saja.
Juga murtabak gergasi Intekma yang menjadi buah mulut ramai. Saiznya yang dua kali ganda dan tidak kedekut isi menenggelamkan murtabak-murtabak yang kita pernah nikmati sebelum ini.
Terdapat juga kambing panggang, pelbagai pilihan ikan bakar dan sup setiap hari selain hidangan pencuci mulut yang pasti membuatkan penantian waktu berbuka berbaloi.
Bufet ditawarkan pada RM55 dewasa dan RM37 kanak-kanak. OKU dan warga emas hanya RM50 seorang dan pakej sahur turut disediakan iaitu bernilai RM19 seorang.

No comments:

Post a Comment