Wednesday, August 28, 2013

PENDUDUK PERPAT TIMBUL MAHU BENTENG KEKAL

  • Penduduk mahu benteng kekalMansor menunjukkan kawasan tepi pantai yang memerlukan benteng kekal kerana kedudukan laut yang semakin hampir.
 1 / 1 
PONTIAN - Hakisan benteng yang berlaku di Kampung Perpat Timbul, di sini, semakin membimbangkan apabila terdapat bahagian di kawasan itu yang runtuh dan pecah.

Hakisan yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan itu, turut menyebabkan kemusnahan pokok bakau yang tidak lagi mampu menjadi penahan ombak yang kuat.

Keadaan itu menyebabkan air laut melimpah ke kawasan tali air ketika musim air pasang besar yang seterusnya membawa kepada risiko berlakunya banjir kilat.

Ketua Umno Cawangan Perpat Timbul, Mansor Maidin berkata, hakisan yang berlaku itu telah menghakis 20 meter daratan setahun.

Justeru, tindakan segera membina tembok kekal perlu dilakukan bagi memastikan penduduk kampung tidak menjadi mangsa banjir kilat akibat pertembungan air pasang besar dan hujan lebat.

Menurutnya, kira-kira 200 rumah berhampiran kawasan tebing dan tali air berisiko dilimpahi air banjir.

"Selain itu, tanaman seperti kelapa sawit dan pisang juga akan rosak dan merugikan penduduk kampung yang kebanyakannya terdiri daripada pekebun.

“Penduduk amat berharap agar kerajaan membina benteng kekal untuk memperlahankan hakisan pantai dan mengurangkan risiko terjadinya banjir kilat di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Azman berkata, rumahnya terletak berhampiran benteng dan tali air iaitu kira-kira 50 meter.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan rumahnya sentiasa dinaiki air jika berlaku air pasang besar dan hujan lebat.

“Dalam setahun, dua kali banjir kilat disebabkan air pasang berlaku. Keadaan ini tidak dapat dielakkan dan kami terpaksa hadapi banjir ini yang kerap terjadi pada waktu tengah malam tanpa diduga.

“Langkah segera perlu diambil kerana hakisan semakin hari semakin teruk dengan banyak kawasan benteng yang telah terhakis,” katanya.

No comments:

Post a Comment