Wednesday, September 4, 2013

4 KALI RUMAH DIREMPUH

  • Empat kali rumah dirempuhKeadaan kereta yang pernah terbabas ke rumah Rosliyah.
 1 / 2 
PONTIAN - Sebuah keluarga hidup dalam kebimbangan apabila rumah yang mereka duduki kerap menjadi mangsa sasaran kenderaan yang terbabas.

Rosliyah Jaafar, 66, yang tinggal di Kampung Ulu Pulai mendakwa, sejak laluan Pekan Nenas-Gelang Patah menjadi tumpuan dan sibuk, sudah empat kali kediamannya dirempuh kenderaan

“Sudah empat kali rumah mak cik dirempuh kereta yang terbabas,” kata yang tinggal bersama suami Hassani Ambok Sakak, 76, dan dua orang anaknya di rumah berkenaan.

Rumah yang didiami lebih 20 tahun itu terletak terlalu hampir dengan selekoh tajam yang berisiko dari kedua-dua arah Pekan Nenas dan Gelang Patah.

“Pada awal 90an, jalan di sini kecil sahaja seperti jalan kampung dan tidak banyak kenderaan.

“Tetapi, sejak kawasan di Gelang Patah dan Nusajaya membangun pada awal tahun 2000, semakin hari semakin banyak kenderaan yang menggunakan laluan di sini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, keadaan itu membuatkan dia sekeluarga sukar untuk tidur nyenyak kerana sering dikejutkan dengan kejadian berkenaan.

“Dulu, terdapat pokok buah-buahan di laman rumah, tetapi sekarang sudah tidak ada lagi selepas dilanggar kenderaan yang kerap terbabas.

“Malah ada pemandu yang terbabas sehingga melanggar pokok durian di depan rumah,” katanya.

Di sebalik kejadian itu, Rosliyah sekeluarga turut kesal apabila kerosakan akibat perlanggaran itu terpaksa ditanggungnya sendiri..

“Pemandu bersikap lepas tangan selepas melanggar rumah, menyebabkan kami sekeluarga terpaksa menanggung kos kerosakan. Hanya papan yang kami gunakan untuk menutup lubang kesan daripada pelanggaran kenderaan terbabas,” katanya.

Rosliyah memberitahu, langkah-langkah keselamatan telah diambil pihak berwajib, namun terdapat segelintir pemandu yang masih memandu laju di kawasan itu.

“Meskipun tembok pengadang sedang dibina di sebelah rumah, ia tidak dapat menghindar perasaan takut kerana bimbang kenderaan akan terbabas pada bila-bila masa saja,” katanya.

Demi faktor keselamatan, mereka sekeluarga tidak kisah untuk berpindah dan berharap agar ada pihak yang dapat membantu mereka.

“Sebelum ini, ada pegawai datang menjenguk keadaan rumah kami dan mereka ada cadangkan kami untuk berpindah. Namun sehingga kini masih belum ada sebarang maklum balas,” katanya.

Sementara itu, Adun Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar berkata, kawasan di selekoh tajam berkenaan dilihat sangat berbahaya terutamanya kepada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan terbabit.

Beliau berkata, pihak berwajib dari daerah Pontian yang merupakan pentadbir di kawasan itu sudah mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mengelak kejadian itu berlaku.

“Antaranya adalah dengan memasang papan tanda amaran dan membina tembok pengadang.

“Jika keluarga yang tinggal berdekatan dengan selekoh tajam itu hendak berpindah, usaha bagi mendapatkan bantuan rumah yang sewajarnya dilakukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment