Saturday, October 19, 2013

D'KAYANGAN STIMBOT SS13 SHAH ALAM

Chef Shanizam menyediakan stimbot secara sizlling grill terdiri daripada makanan laut dan
 daging yang diperap perasa Barat, Cina dan Melayu.

STIMBOT merupakan sajian sihat yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat tempatan dan mendapat permintaan tinggi daripada peminat-peminat makanan laut.
Stimbot biasanya dihidang menerusi cara rebusan, begitupun dalam usaha memenuhi permintaan pelanggan yang dilihat sentiasa inginkan pembaharuan, kini banyak restoran stimbot turut menawarkan hidangan tersebut secara barbeku.
Makanan laut, ayam, dan daging lazimnya akan dimasak secara barbeku di atas periuk yang sama untuk stimbot.
Menerusi cara ini, para pelanggan boleh menentukan sendiri cara masakan yang dikehendaki sama ada masak sepenuhnya atau sebaliknya.
D'Kayangan BBQ Steamboat antara restoran stimbot di ibu kota yang menawarkan menu stimbot sama ada secara rebusan ataupun barbeku.
Mula beroperasi sekitar tahun 2010, pada awalnya restoran ini hanya menawarkan stimbot secara rebusan manakala untuk barbeku pihaknya sendiri yang membakar segala makanan laut, ayam, ataupun daging.
Tetapi bermula 15 Ogos lalu, D'Kayangan BBQ Steamboat telah melakukan perubahan dengan menawarkan masakan secara barbeku di meja pelanggan masing-masing.
Ini kerana menurut Chef utama restoran tersebut, Shanizam Shahiram, pihaknya berbuat demikian kerana ingin memenuhi permintaan pelanggan yang mengkehendaki cara masakan seperti itu.
Dalam erti kata lain, Chef Shanizam menjelaskan, para pelanggan ingin memasak sendiri mengikut cita rasa masing-masing.
"Di D'Kayangan BBQ Steamboat, menawarkan menu stimbot jenis rebusan yang menyediakan dua jenis sup iaitu tomyam dan juga sup ayam.
"Kini kami turut menyediakan stimbot secara sizlling grill yang merupakan antara permintaan para pelanggan tetap kami.
"Oleh yang demikian, kami cuba memenuhi permintaan pelanggan dan nampaknya sejak diperkenalkan para pelanggan kami gembira," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaan tersebut yang terletak di MR1-01-04, Seri Acapella Service Apartment, No. 1, Jalan Lompat Tinggi 13/33, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
Menawarkan pelbagai jenis makanan laut seperti udang, sotong, pepahat, ketam, ayam, daging, serta bebola ikan, kesemua bahan-bahan mentah ini terutamanya makanan laut, ayam, dan juga daging akan diperap dengan bahan perapan sebelum dimasak.
Ini bertujuan untuk memberi perasa kepada bahan-bahan ini dalam usaha menaikkan lagi selera para pengunjung.
Pada masa yang sama, apa yang istimewanya sizlling grill di D'Kayangan BBQ Steamboat ini, turut menyediakan perapan dalam tiga bentuk perasa iaitu Barat, Cina, dan Melayu.
Ketiga-tiga perapan ini memberi rasa yang berbeza dan sudah pasti suatu yang baharu dalam sizlling grill stimbot.
"Jika di restoran-restoran lain, mereka hanya menggunakan satu bahan sahaja untuk perapan bagi yang ingin memanggang makanan laut ini.
"Tetapi di sini selain satu perapan biasa kami turut memberi pilihan kepada pelanggan untuk merasa perapan yang berasaskan Barat, Cina, dan juga Melayu.
"Dengan ini dapat membezakan barbeku stimbot kami dengan restoran-restoran lain," kata Shanizam.
Yang pasti, selain sizlling grill, para pelanggan boleh menikmati lebih daripada 150 jenis pilihan makanan sama ada dalam rebusan sup ayam mahupun tomyam di samping kambing panggang sebagai makanan sampingan.
Dengan hanya RM33 (dewasa), para pelanggan boleh menikmati pelbagai hidangan untuk bufet (stimbot rebusan dan juga sizlling grill) manakala untuk kanak-kanak pula hanya RM17.
Namun ulas Chef Shanizam, pada masa sama pihaknya menggalakkan pelanggan menghabiskan makanan yang diambil.
Jika berlebihan akan berlaku pembaziran dan untuk itu pelanggan akan dicaj RM10 bagi setiap gram yang berbaki.
Boleh memuatkan sehingga 300 pelanggan pada satu-satu masa, D'Kayangan BBQ Steamboat dibuka setiap hari bermula 5 petang hingga 12 tengah malam.
Kesemua bahan mentah di restoran ini didapati daripada pembekal tempatan, bagi memastikan hanya yang segar dan terbaik pilihan kepada pelanggan.

No comments:

Post a Comment