Wednesday, November 27, 2013

BERSEDERHANA DALAM WALIMAH

SINONIM dengan musim cuti panjang persekolahan sekarang, maka ramailah dalam kalangan anggota masyarakat yang mengambil kesempatan untuk mengadakan walimah atau kenduri kahwin bagi menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran apabila bercantumnya dua hati insan yang dinobatkan sebagai raja sehari dalam ikatan pernikahan.
Kemeriahannya akan lebih terasa kerana sesuai dengan pengertian walimah itu sendiri yang bermaksud mengadakan suatu majlis makan yang turut mengundang sanak-saudara dan sahabat-handai, sama ada yang dekat mahupun jauh untuk turut sama menyerikan lagi majlis yang diadakan.
Anas bin Malik dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW telah melaksanakan majlis kenduri kahwin dengan seekor kambing untuk isteri-isterinya dan juga untuk Zainab.
Jelas daripada mafhum hadis tersebut bahawa hukum mengadakan walimah atau kenduri perkahwinan adalah diharuskan oleh agama sebagai mengumumkan suatu ikatan pernikahan, tetapi hendaklah mengikut batas-batas yang telah ditetapkan oleh syariat Islam.
Menurut pandangan Syed Sabaq dalam salah sebuah kitabnya, beliau menerangkan bahawa walimah atau kenduri kahwin dapat dilaksanakan ketika berlangsungnya akan nikah atau sesudahnya. Ia juga boleh dilangsungkan pada hari perkahwinan (mencampuri isterinya) atau sesudahnya.
Sebuah lagi hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah mengundang para sahabat baginda untuk menghadiri majlis walimah baginda sesudah baginda mencampuri isteri baginda iaitu Zainab r.a.
Pada kisah Abi Usaid juga didapati bahawa walimah yang dilakukan beliau di mana Rasulullah SAW telah menghadirinya, Abu Usaid telah menghidangkan kurma yang telah disimpan pada malam harinya. Kurma itulah yang dihidangkan kepada para tetamu lain yang datang. Ini bermakna, walau jenis makanan apa sekalipun yang ingin dihidangkan oleh pihak keluarga yang mengadakan walimah, itu terpulanglah kepada kemampuan yang dimiliki.
Begitu pun, dalam mengadakan majlis kenduri kahwin ini, janganlah pula ada di kalangan keluarga Islam yang mengadakannya dengan melampau batas syariat.
Antaranya menyerlah sikap ingin menunjuk-nunjuk yang ada ketikanya melampaui dengan mengadakan kenduri besar-besaran, boros berbelanja hingga memberi kesan kepada keadaan kewangan pada kemudian harinya, melakukan pembaziran wang ringgit dan harta benda, membuat pinjaman bank dan berhutang dalam jumlah yang agak besar semata-mata kerana menurut nafsu dan keinginan yang melampau.
Firman Allah SWT dalam surah al-IsraĆ¢€™ yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang boros itulah saudara syaitan. Dan syaitan itu adalah sangat engkar kepada Tuhannya.
Sudah menjadi budaya masyarakat barangkali, daripada golongan yang mewah dan kaya, apabila mengadakan kenduri kahwin, jarang sekali yang mendahulukan orang miskin dan kurang berada sebagai tetamu untuk meraikan majlis tersebut.
Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis baginda yang telah diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud: Sejelik-jelik makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang-orang kaya, orang-orang fakir dan miskin tidak pula diundang untuk makan bersama.

No comments:

Post a Comment