Tuesday, November 5, 2013

FIREFLY JB-PEKANBARU

Azman Ahmad (kiri) menerima sirih sebagai simbolik ucapan selamat datang ke Pekanbaru, Riau dalam kunjungan bersama media Johor ke Pekanbaru, baru-baru ini.

PEKANBARU, Indonesia 4 Nov. - Syarikat penerbangan komuniti, Firefly yakin bahawa laluan Johor Bahru-Pekanbaru yang dilancarkan Ogos lalu akan membuka lebih banyak ruang terutama dari aspek pelancongan dan pelaburan antara Johor dan Riau, Indonesia.
Ketua Pegawai Komersial Firefly, Azman Ahmad berkata, kadar serendah RM99 yang ditawarkan bagi kos penerbangan berkenaan mendapat maklum balas yang positif dan promosi semakin giat dilakukan bersama ejen pelancongan dan pihak hotel sama ada di Pekanbaru mahupun Johor Bahru.
"Riau merupakan antara lokasi pengeluar utama kelapa sawit mentah di Indonesia serta kaya dengan minyak dan gas. Justeru, ia mampu menjadi destinasi pilihan rakyat Johor untuk melabur, melancong, membeli-belah dan membuat rawatan kecantikan, khususnya di Pekanbaru.
"Selain mempunyai hubungan sejarah, tarikan pelancongan di Johor seperti Taman Tema Legoland dan Taman Tema Keluarga Hello Kitty di Nusajaya pula menjadi pilihan terbaharu penduduk Riau untuk berhibur di samping mendapatkan rawatan di pusat-pusat perubatan berasaskan syariah di negeri itu berbanding Melaka dan Kuala Lumpur sebelum ini," katanya.
Azman berkata demikian kepada kumpulan pemberita yang mengikuti rombongan bersama Firefly, Tourism Malaysia Johor dan Jabatan Pelancongan Negeri Johor ke Pekanbaru, baru-baru ini.
Beliau berkata, untuk itu, pihaknya bersedia meningkatkan laluan Johor Bahru-Pekanbaru-Johor Bahru setiap hari berbanding hanya tiga kali seminggu ketika ini, sekiranya mendapat permintaan yang tinggi bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Katanya, buat permulaan, Firefly juga bekerjasama dengan Hotel Grand Hawaii, Pekanbaru bagi menawarkan pakej penerbangan serta penginapan pada kadar yang menarik kepada pengunjung dari Malaysia.
"Kita sudah bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Tourism Malaysia dalam mempromosi laluan ini yang diyakini akan mendapat sambutan memandangkan tempoh penerbangan yang singkat, kira-kira satu jam sahaja ," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Grand Hawaii, Achmad Irawan berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan 10 hingga 15 peratus pengunjung sebulan ke hotel bertaraf tiga bintang itu menerusi kerjasama antara Firefly.
Beliau berkata, hotel itu yang terletak di pusat bandar Pekanbaru itu menawarkan bilik serendah 288,000 Rupiah (RM81.20) selain beberapa kelebihan termasuk lokasinya hampir dengan Mall Pekanbaru.

No comments:

Post a Comment