Wednesday, December 18, 2013

CITARASA D'NAZRIL-KOTA TINGGI

  • Keunikan menu belangkas
  • Effa menunjukkan pilihan belangkas segar.
 1 / 2 
BAGI peminat masakan kampung dan makanan laut, pastinya tidak rugi untuk mencuba hidangan di gerai Citarasa D’Nazril yang terletak berdekatan Pusat Latihan Akli atau kira-kira empat kilometer dari bandar Kota Tinggi.

Gerai yang popular dengan masakan belangkas itu juga sering menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk dalam kawasan ini, malah luar daripada daerah ini.

Pemiliknya, Effa Adriana Samsuri, 22, berkata, gerai tersebut mula beroperasi pada Jun lalu dimana Citarasa D’Nazril memiliki keistimewaan sendiri dengan mengutamakan hidangan masakan tradisional Melayu sebagai menu utama.

Menurut Effa, gerainya beroperasi tujuh hari seminggu dan dibuka pada jam 6 pagi hingga 3 petang bermula dengan hidangan sarapan pagi sehinggalah makan tengah hari.

“Antara masakan yang amat digemari pengunjung ialah belangkas masak masak cili, siput sedut masak lemak cili api, sotong bunting masak lemak dan lada hitam.

“Hidangan tersebut sering menjadi daya tarikan para pengunjung yang ke mari dan paling laris di sini. Apa yang penting, kami sentiasa mengutamakan keselesaan pelanggan melalui layanan mesra dan hidangan yang segar," katanya.

Effa memberitahu, selain tiga jenis masakan utama tersebut, pihaknya turut menghidangkan masakan asam pedas mayung, sembilang, keli, ikan duri, ketam dan beberapa jenis masakan lain.

“Sebagai gandingan kami turut menyediakan sayur-sayuran kampung seperti pucuk paku, pucuk ubi, pucuk labu, sayur keladi, nangka muda dan betik, di samping ulam-ulaman.

“Bagi menu sarapan pagi pula, kami menyediakan nasi lemak, mi goreng, lontong dan pelbagai lagi," katanya.

Dia yang dibantu ibu saudara dan tiga adik beradiknya berkata, gerainya sesuai buat mereka yang ingin mencari kelainan dan jemu dengan menu harian.

Menceritakan pengalamannya ketika mula membuka gerai itu katanya, dia bermula dengan bermodalkan RM200.

Effa berkata, nama Citarasa D’Nazril juga diambil sempena nama anaknya, Mohd Nazril, 2, hasil perkongsian hidup bersama suaminya Abdul Nasir Mohamed, 30.

Menurutnya, pada awalnya, gerai tersebut beroperasi pada waktu malam, bagaimanapun kurang mendapat sambutan.

“Alhamdulillah setelah diubah kepada makan pagi dan tengah hari, sambutan diterima amat menggalakkan dimana pelanggan suka dengan kira-kira 30 juadah tempatan yang kami sediakan di sini.

“Malah tidak dinafikan harga runcit sekarang semakin meningkat, namun kita masih mengekalkan harga murah dan berpatutan di gerai ini," katanya.

No comments:

Post a Comment