Apa tidaknya, lukisan alam kanak-kanak yang dipotretkan di sepanjang susur tangga serta-merta mengembalikan kenangan semasa kecil.
Malah, mereka yang pertama kali berkunjung ke sini pasti bernostalgia selepas membaca papan tanda yang tertulis 'Bilik Kemahiran Hidup' yang diletakkan berdekatan pintu masuk utama kafe Ecole P ini.
Bukan itu sahaja, hampir semua perincian di dalam kafe ini akan mengingatkan pengunjung kepada suka duka menjadi murid pada zaman persekolahan.
Buku teks yang digantung, papan tanda nama mata pelajaran, lencana sekolah dan loceng antara elemen pertama yang dilihat sebaik sahaja memasuki ruang berkeluasan 120 meter persegi ini.
Kafe yang mula beroperasi sejak Disember lalu ini dibahagikan kepada dua ruang makan yang setiap satu boleh memuatkan kira-kira 40 orang pada satu masa.
Satu ruang dilengkapi pendingin hawa manakala yang satu lagi di ruang terbuka dengan menggunakan sistem pengudaraan semula jadi di luar.
Cukup sekadar dua buah kipas angin dan penutup tirai cahaya matahari, ia sudah memadai untuk mewujudkan suasana redup dan nyaman.
Uniknya, ruang tersebut saling tidak tumpah seperti keadaan di dalam bilik darjah sekolah rendah dengan penggunaan meja belajar dan kerusi kayu sebagai meja makan yang merupakan bahan lupus daripada sebuah sekolah di Perak.
Rekaan seperti di dalam kelas itu dilengkapkan lagi dengan hiasan dinding yang berupa papan hitam yang diconteng dengan kapur.
Bahagian belakang bilik darjah pula diletakkan satu sudut khas kenangan bergambar yang dipotretkan pada papan kenyataan.
Lebih mengutamakan perincian kepada peralatan hiasan dalaman kafeteria, setiap meja diletakkan sebuah botol termos berwarna merah.
Kotak pensel
Set sudu dan garfu pula diletakkan di dalam kotak pensel yang disimpan di dalam beg sekolah yang disangkut di tepi meja belajar.
Sebatang rotan pula tergantung di satu penjuru dinding sekali gus wajah guru disiplin kembali terbayang di depan mata.
Tidak mahu menampakkan dinding yang terlalu kosong, bingkai gambar dan rotan digunakan sebagai hiasan.
Sementara pintu bilik darjah menggunakan material kayu yang diberi kemasan cat biru muda dan menyerlahkan lagi elemen vintaj.
Dua ruang makan itu sebenarnya dipisahkan dengan dinding separuh menggunakan kemasan bata merah berserta tingkap kaca.
|
Papan tanda nama mata pelajaran, koleksi pensel kayu, dan susunan piala sukan sekolah melatari sebuah rak kayu dua tingkat di bahagian kaunter.
Perkataan 'kantin' digunakan untuk merujuk kawasan dapur sementara di satu sudut lain, deretan makanan ringan yang menjadi kegilaan sewaktu zaman kanak-kanak diletakkan di situ.
Menyentuh aspek pencahayaan, kafe tersebut memilih untuk menggunakan lampu kuning yang dipantulkan menerusi mentol-mentol kecil yang digantung di ruang makan.
"Kami memilih konsep ini bagi mengimbau semula memori dan kenangan lama sewaktu di sekolah dulu," ujar Steven Heng, 26, yang merupakan pemilik kafe merangkap 'Guru Besar' sekolah tersebut.
Menurut Steven, Ecole P merupakan singkatan perkataan bahasa Perancis, ecole prima yang bermaksud sekolah rendah.
Kafe yang turut menggunakan istilah 'pengawas' kepada lima pekerjanya itu dibangunkan bersama seorang rakan baiknya, Iirene Tee, 26, yang merupakan graduan sama dalam bidang Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti dari Kolej Universiti Taylor, Petaling Jaya.
"Biarpun nampak ringkas, kos ubah suai dan rekaan dalaman menelan belanja kira-kira RM160,000," ujar Iirene sambil memberitahu, kafe tersebut menyediakan hidangan Barat seperti chicken chop.
No comments:
Post a Comment