Saturday, February 8, 2014

KAFE HQ (HEADQUARTERS)- KULIM HIGH TECH


ZULKIFLI Yaacob (kanan) bersama rakan kongsinya, Chef Hussin Khan (kiri) dan Chef Chef Roy 
Al-Kanz (tengah) menunjukkan antara hidangan istimewa yang disajikan di Restoran dan Kafe HQ
 Headquarters.

RESTORAN dan Kafe HQ Headquarters (HQ) yang terletak di Kulim Avenue, Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) bukanlah satu nama asing bagi warga industri dan penduduk sekitar Kulim, Kedah.
Meskipun menjalankan operasi tidak sampai setahun, restoran berkenaan berjaya menggamit kunjungan ramai berikutan sajian yang disediakan beraneka jenis.
Dengan hidangan melebihi 60 sajian, pengunjung mempunyai pilihan untuk menikmati masakan mengikut cita rasa mereka.
Malah, sebaik sahaja menjejakkan kaki di restoran itu, aroma masakan ayam goreng rempah dan pulut ikan masin pasti mengecurkan air liur mereka yang meminati hidangan tradisi.
Pemilik restoran, Zulkifli Yaacob, 42, yang ditemui S2 baru-baru ini berkata, restoran tersebut diusahakan bersama jirannya yang juga merupakan antara chef selebriti tanah air iaitu Chef Hussin Khan, 39.
Selain itu, restoran yang mula dibuka seawal pukul 8.30 pagi hingga 11 malam tersebut turut dibantu oleh seorang lagi chef berpengalaman, Chef Roy Al-Kanz yang mempunyai kepakaran dalam bidang masakan Arab.
"Di sini, kami menyediakan pelbagai jenis masakan daripada menu epik ala-ala kampung yang jarang didapati di restoran lain sehinggalah masakan Cina, Arab dan barat.
"Malah, kami juga menyediakan beberapa jenis menu agar sesuai dengan kehendak pelanggan kami yang terdiri daripada warga industri dan golongan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) serta keluarga di KHTP. Sebab itulah harga yang ditawarkan amat berpatutan," katanya.



ANTARA menu yang disajikan adalah ayam penyek, char kung fu dan Mexico Nanchos yang 
mendapat sambutan baik daripada pengunjung Restoran dan Kafe HQ Headquarters.

Zulkifli yang merupakan seorang jurutera berkata, beliau sering berfikir di luar kotak dengan seringkali mengemukakan idea-idea baharu kepada rakan kongsinya untuk menghasilkan menu-menu baharu yang memenuhi cita rasa ramai.
"Kerjaya jurutera menyebabkan saya sering menampilkan idea-idea baharu. Buah fikiran ini kemudian dipanjangkan kepada kedua-dua chef dan mereka menghasilkan sajian terbaik untuk pelanggan. Sebab itulah, HQ bukan sahaja menawarkan makanan istimewa tetapi juga melahirkan konsep yang kami namakan kejuruteraan kulinari," katanya.
Tambahnya, antara hidangan istimewa yang mendapat sambutan baik adalah bebola ayam dan daging (meat/chicken ball cheese); Mexican Nanchos (empingan jagung); nasi ayam penyek sos istimewa; mee char kung fu dan kudapan pulut mangga HQ; tapai aiskrim serta ais krim kapit.
Chef Hussain pula berkata, pernah ada pelanggan datang dari jauh seperti Pulau Pinang dan Perak hanya untuk menikmati juadah istimewa kami.
"Tidak kurang juga, ada pelanggan membuat tempahan untuk majlis keramaian. Antara juadah yang sering menjadi pilihan katering adalah kambing New Zealand bakar.
"Banyak tempahan yang telah kami terima terutamanya membabitkan jamuan sektor industri, pelajar dan tempahan majlis kenduri," kata pensyarah kulinari itu.
Mereka yang berminat membuat tempahan atau mendapatkan maklumat lanjut tentang restoran HQ, boleh menghubungi talian 04-4026301 atau melayar laman web sosial Facebook/HQ Headquarters Restaurant & Cafe.

No comments:

Post a Comment