Wednesday, February 19, 2014

PERINGATAN TENTANG HUTANG

Berhutang adalah harus dalam Islam. Untuk jaminan hutang, kaedah penjamin diperlukan sebagai pengukuhan kepada hutang. Malangnya, peminjam mendapat wang pinjaman hutang tersebut kemudian tidak membayarnya. Akhirnya penjamin diheret ke muka pengadilan dan diisytiharkan muflis.
Tindakan insan yang berhutang namun tidak membayar hutangnya merupakan tindakan yang zalim dan berdosa. Zalim kerana disebut dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tindakan orang kaya yang melewatkan bayaran hutang adalah satu kezaliman".
Jika tindakan melewatkan bayaran pun sudah dikira sebagai zalim, maka tindakan melarikan diri daripada pembayaran hutang adalah lebih jelas kezalimannya.
Selain itu, tindakan peminjam juga bertentangan dengan perjanjian yang dibuat. Perjanjian yang biasa dibuat bahawa peminjam akan membayar hutangnya sendiri. Penjamin pula sebagai pemudah cara sahaja agar pinjaman hutangnya diluluskan. Maka tindakan tidak mahu membayar hutang merupakan tindakan mungkir janji. Mungkir janji pula adalah antara sifat golongan munafik sebagaimana dalam hadis Nabi SAW.
Bagi orang yang berhutang, ingatlah peringatan Nabi SAW bahawa hutang tersebut akan dituntut di akhirat nanti. Oleh kerana wang sudah tidak berguna lagi di akhirat, maka kebaikan orang yang berhutang akan diambil bagi tujuan melunaskan hutangnya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mati dan ke atasnya satu dinar atau satu dirham (jenis wang) maka dilunaskan hutang itu daripada kebaikannya. Tiada ada di sana dinar dan juga dirham." (Ibnu Majah)
Sistem yang lebih baik perlu diperbaiki agar penjamin tidak dikenakan hukuman yang tidak dilakukan. Penjamin mungkin saudara mara yang tidak mampu menolak permintaan peminjam agar menjadi penjamin. Justeru, Islam membuka ruang kepada tindakan undang-undang terhadap peminjam yang enggan membayar hutangnya.
Tindakan meliputi pelbagai cara yang difikirkan wajar seperti potongan gaji, denda, bahkan memaksanya membayar hutang dengan mengambil sebahagian aset harta si peminjam.


No comments:

Post a Comment