Sunday, February 23, 2014

RESTORAN KENGSOM- KOTA BHARU

NATTAKARN (lima dari kiri) menunjukkan tanda bagus bersama para pekerjanya di Kota Bharu, Kelantan.

KEENAKAN sajian Thai mampu menambat selera segenap lapisan masyarakat di negara ini terutama tom yam.
Hidangan pedas dan masam itu menyebabkan ramai yang kecur air liur apabila mengingati kelazatan makanan tersebut.
Namun, mungkin ramai tidak mengetahui mengenai masakan kengsom yang lebih popular di Thailand berbanding dengan hidangan tom yam.
Jika diterokai makanan dari negara Gajah Putih itu, masih terdapat pelbagai pilihan menu yang perlu dicuba yang mana mampu membuka selera sesiapa sahaja.
Apabila berkunjung ke Kota Bharu, Kelantan terutama bagi penggemar makanan Thai, jangan lepaskan peluang untuk singgah makan di Restoran Kengsom yang menawarkan lebih daripada 200 pilihan menu kepada pengunjung.
Menurut pemilik restoran tersebut, Nattakarn Mangkong, 39, kebanyakan menu yang ditawarkan disediakan mengikut resipi asli yang direka oleh suaminya yang juga ketua tukang masak di situ.
Disebabkan itu, kata beliau, kebanyakan hidangan yang disajikan di restoran tersebut tidak dapat dinikmati di tempat lain walaupun menggunakan nama resipi yang sama.
NATTAKARN menunjukkan kengsom yang disajikan di restorannya.

"Walaupun terdapat kira-kira 200 pilihan menu, sudah tentu hidangan kengsom menjadi tarikan utama di restoran ini.
"Mempunyai kombinasi rasa seimbang antara pedas dan masam membuatkan asam pedas asli Thai ini unik, lazat serta digemari, selain faktor kesegaran ikan siakap yang digunakan," katanya kepada S2.
Menurut Nattakarn, antara menu lain yang menjadi pilihan pelanggan di restoran tersebut adalah tom yam, sotong kicap cair, udang bangnara, ayam pangpon dan ketam lembut telur masin.
Sempena perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, Restoran Kengsom menawarkan menu istimewa ‘golden prawn’ yang menggunakan inti udang serta isi ayam dan ketam yang dikisar.
Tambah Nattakarn, keenakan cita rasa masakan Thai yang sebenar dapat dinikmati kerana restoran tersebut menggunakan khidmat tukang masak yang diimport khas dari Thailand.
"Tukang masak dari Thailand dipilih bagi mengekalkan rasa asli masakan tradisi negara tersebut, selain memastikan pelanggan yang datang berpuas hati dengan hidangan yang disediakan," katanya.
Beroperasi setiap hari mulai pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang dan disambung semula pada pukul 6 petang hingga 10.30 malam, Restoran Kengsom sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelanggan dengan hidangan enak serta layanan mesra, seolah-olah berada di premis lima bintang.

No comments:

Post a Comment