Mereka kelihatan mesra melayang permintaan para pelanggan.
Keadaan di dapur tidak kurang sibuknya dengan para pelajar Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM itu sibuk menyiapkan hidangan enak yang bakal disajikan kepada pengunjung.
Restoran L'apprenti yang dibuka pada September 2010 mampu memuatkan 100 pelanggan pada satu-satu masa itu mempunyai sentuhan tersendiri dengan hampir setiap peringkat penyediaan perkhidmatan dilaksanakan oleh pelajar tahun pertama fakulti berkenaan mengikut konsep yang sudah diatur.
Menurut cef yang memimpin pada hari berkenaan iaitu, Mohammad Yazid Anuar, menu-menu hidangan yang disediakan di L'apprenti adalah mengikut tema yang ditetapkan setiap dua minggu sekali.
“Setiap pelajar akan mengambil giliran menyediakan perkhidmatan sama ada di dapur atau di barisan hadapan agar pendedahan yang diberikan adalah adil untuk semua,” katanya sambil memaklumkan pada hari itu, 17 orang pelajar telah ditugaskan di dapur dan 20 di bahagian perkhidmatan.
Pada minggu lalu, kumpulan pelajar tersebut menyediakan sajian Thai di bawah pengendalian Ketua Jabatan mereka, Professor Madya Dr. Shahrim Karim.
Menurut Shahrim, pembukaan restoran tersebut merupakan sebahagian daripada silibus pembelajaran di pusat pengajian tersebut.
“Para pelajar didedahkan mengenai bidang kulinari dan pengurusan restoran sebagai satu langkah persediaan sebelum mereka melangkah ke dunia sebenar setelah tamat pengajian kelak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di restoran berkenaan baru-baru ini.
|
Menu hidangan Thai pastinya tidak lengkap tanpa sajian tomyam. Pada hari itu, para pelajar terlibat telah menyediakan tomyam gai atau kai iaitu hidangan bersantan dengan makanan laut. Sedikit cair namun tidak memualkan, hidangan yang kaya dengan udang harimau dan sotong, cendawan serta limau purut itu tentunya antara pilihan yang mesti cuba jika anda ke L'apprenti.
Sementara menunggu hidangan utama pada hari itu, para pelanggan dilayan dengan hidangan sejuk sorbet limau. Selepas menikmati makanan-makanan yang panas dan berempah, hidangan itu seolah-olah menyegarkan semula kerongkong untuk fasa kedua sajian makan tengah hari yang disediakan iaitu nasi kukus wangi bersama kari ayam hijau, terung dan sayur campur. Malah, keenakan rasa asli yang diterapkan dalam hidangan kari ayam itu menjadikan ia satu satu lagi pilihan menu mesti cuba.
Sebagai pelengkap selera, hidangan pencuci mulut yang seharusnya tidak dilupakan pelanggan tentunya pulut mangga yang menampilkan hirisan buah mangga segar bersama pulut, santan dan gula Melaka sambil dihias buah ceri.
Bagi Shahrim, restoran yang berkonsep mewah itu sememangnya satu kebanggaan pelajar dan fakulti dengan penyediaan perkhidmatan yang terbaik dalam menjamin kepuasan pelanggan.
“Lebih penting, harga yang dikenakan kepada pelanggan jauh lebih rendah berbanding restoran-restoran mewah lain iaitu RM30 untuk seorang.
“Ini untuk membantu pelajar, pada masa yang sama menggalakkan kehadiran lebih ramai pengunjung ke sini” katanya.
Beliau menambah, sokongan berterusan yang diberikan diharap dapat memberi semangat kepada para pelajar terlibat dan seterusnya diterjemah dalam menyediakan pengalaman gastronomi terbaik kepada pengunjung.
Pada masa terdekat, restoran L’apprenti berhasrat untuk menyediakan hidangan Mexico sekali gus memberikan banyak pilihan kepada para pelanggan.
No comments:
Post a Comment