Thursday, March 13, 2014

SELERA ORGANIK DI BIOCAFE

Siti Mardiana menunjukkan sebahagian hidangan Biocafe.

‘Makanan anda penawar anda’. Slogan ini menjadi pilihan Biocafe Station yang menyediakan hidangan daripada bahan-bahan semula jadi halal dan berasaskan organik.
Tidak sukar untuk difahami maksud slogan ini, tambahan lagi kunjungan ke situ dilayan mesra pemiliknya, Sheikh Paiman Salleh dan isteri, Siti Mardiana Badaruddin yang banyak memberi penerangan mengenai manfaat makanan organik.
Sheikh Paiman yang sudah 27 tahun mengamalkan pemakanan sedemikian percaya, makanan yang baik bukan sahaja kaya dengan nutrien malah perlu bebas sebarang bahan kimia yang boleh mendatangkan mudarat jika diambil dalam tempoh yang panjang.
Makanan organik dikategori sebagai makanan pilihan bagi mereka yang mementingkan kesihatan kerana tidak menggunakan bahan kimia dalam proses penghasilannya termasuklah suntikan hormon, racun perosak, baja sintetik dan teknologi organisma terubah genetik atau GMO.
Mungkin ada yang menganggap makanan berkhasiat tidak enak. Namun bagi mereka yang pernah berkunjung ke situ, pastinya ingin kembali kerana hidangannya tidak kalah dari segi rasa.
"Kami menghidangkan masakan biasa yang menjadi kegemaran masyarakat Malaysia seperti nasi Arab, nasi ayam, nasi berlauk, nasi goreng dan sebagainya. Cuma bezanya, nasi Biocafe menggunakan beras perang, manakala semua bahan adalah produk organik termasuk daging ayam dan telur. Selain itu, kami menyediakan lempeng yang menggunakan tepung gandum perang.
"Kami juga menggunakan gula perang, garam bukit/gunung dan madu sebagai perisa. Untuk minyak masakan, kami menggunakan minyak zaitun," katanya.
Hidangan di Biocafe berbeza dengan restoran lain kerana semua masakan tidak ditambah bahan perisa MSG, malah sos dan pes masakan dihasilkan sendiri tanpa tambahan produk konvensional lain.
Selain hidangan dipastikan daripada sumber yang halal, hidangan organik ini juga sesuai buat pengamal vegetarian.
Variasi hidangan lauk Biocafe merangkumi ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran ternyata menggiurkan. Sheikh Paiman turut mencipta hidangan Barat yang menggunakan bahan-bahan organik seperti fish and chip, chicken chop dan stik. Bukan sahaja segar dan berkhasiat, malah rasanya juga enak. Selain itu, penggemar minuman kopi boleh mencuba kopi Biocafe yang turut dijual dalam bentuk pek segera.
Orang ramai juga boleh mendapatkan pelbagai rangkaian produk kesihatan Bioshop seperti Bio Resdung, Bio Manna, Nutri Juz dan banyak lagi.
Lebih istimewa pelanggan Biocafe boleh mendaftar menjadi ahli kelab Bio Sihat yang menawarkan pelbagai ganjaran melalui mata terkumpul jika makan di restoran tersebut.
Pastinya kunjungan ke Biocafe menjanjikan suatu pengalaman berbeza, apatah lagi inilah restoran bumiputera pertama yang berkonsepkan makanan organik dan halal seratus peratus.

No comments:

Post a Comment