Sunday, June 22, 2014

MAKANAN HALAL UNTUK UMAT ISLAM

  • Gambar sekadar hiasan. Sumber: Internet.Gambar sekadar hiasan. Sumber: Internet.
 1 / 1 
UMAT Islam bukan sahaja perlu mencari rezeki daripada sumber dan pekerjaan yang dibenarkan dalam Islam, malah kita juga perlu memastikan setiap makanan dan minuman yang diambil itu tidak ‘jatuh’ dalam hukum haram. ALLAH SWT menghalalkan sesuatu itu kerana ia baik untuk manusia. Sekiranya diharamkan sesuatu itu kerana ia memudaratkan manusia.

Baru-baru ini apabila media menyiarkan berita mengenai dua produk coklat yang dikatakan mengandungi DNA babi, masyarakat Islam di negara ini gempar dan terkejut. Reaksi ini boleh kita faham kerana apa sahaja produk makanan yang mengandungi daging babi atau bahan yang ada kaitan dengan babi bukan sahaja tidak halal, bahkan najis. Isu ini sebenarnya amat sensitif kepada umat Islam kerana berkait dengan hukum ALLAH SWT yang melibatkan makanan halal dan haram.

Berhubung dengan prinsip makanan halal ini, ALLAH SWT telah berfirman yang bermaksud: "Diharamkan kamu memakan bangkai binatang, darah yang mengalir, semua bahagian babi, binatang yang disembelih tetapi tidak menyebut nama ALLAH dan binatang yang mati kerana tercekik, terpukul, terjatuh, ditanduk, binatang yang mati dimakan binatang buas kecuali yang sempat disembelih jika masih kuat bernyawa.’’ (Surah al-Maidah, ayat tiga).

Dari segi hukum menurut perspektif Islam, semua jenis makanan di muka bumi ini adalah halal dimakan kecuali beberapa jenis yang terang-terang diharamkan oleh ALLAH SWT dan Rasul-Nya. Bagaimanapun, oleh kerana industri makanan dikuasai orang bukan Islam, akan terjadi pengeluaran dan pengedaran makanan tidak halal itu melimpah di pasaran dan menenggelamkan makanan halal. Kemajuan pesat teknologi dalam pemprosesan dan pengeluaran makanan menyebabkan makanan halal sentiasa terdedah kepada pencemaran najis secara tidak disedari.

Terdapat berbagai bentuk pencemaran makanan halal di pasaran, terutama dari sudut kaedah penyediaan makanan halal yang meliputi kaedah penyembelihan, sumber bahan mentah, sumber ramuan, pemprosesan, pembungkusan, persekitaran dan sebagainya. Isu pencemaran makanan halal dengan najis memberi kesan yang mendalam kepada pengguna Islam kerana ia membabitkan kesucian agama Islam.

Mengikut hukum syarak, cara pemprosesan atau membuatnya juga hendaklah dipastikan ia dikendalikan dengan cara bersih, suci dan halal. Jika tidak, makanan berkenaan yang pada mulanya bersumberkan bahan mentah halal akhirnya boleh ‘jatuh’ ke dalam kategori makanan haram.

Bagi menjamin kualiti makanan halal ini, pihak industri perlu mendapatkan pengesahan halal yang dikeluarkan kerajaan dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan sebarang logo halal. Sebenarnya, umat Islam di negara ini amat beruntung kerana pihak kerajaan terbabit secara langsung dalam usaha meningkatkan kualiti dan pengawalan pencemaran makanan halal.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) mengamalkan prosedur pemeriksaan halal yang ketat bagi menentukan pengeluaran makanan halal yang dikeluarkan di negara ini. Jakim, Jain, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Kesihatan sebagai jentera pengawalan pencemaran makanan halal sememangnya telah memperhebatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan secara meluas serta berterusan bagi menentukan syarikat industri bersama pengusaha makanan halal mematuhi piawaian halal yang telah ditetapkan.

Keperluan produk halal juga boleh membawa kepada kesan kesedaran kepada pengeluaran produk halal yang lebih meluas dan intensif.  Maka umat Islam seharusnya menyedari dan mengambil peluang ini, untuk berusaha mengeluar dan membekalkan keperluan makanan halal sendiri. Syarikat-syarikat Bumiputera, badan-badan koperasi dan badan-badan bukan kerajaan Islam dan lain-lain, perlu melihat aspek makanan halal ini sebagai ‘keperluan ummah’ dan terlibat secara langsung sebagai pengeluar dan pengedar produk makanan halal. Apabila hal ini menjadi kenyataan, umat Islam tidak perlu lagi menjadi pengguna makanan halal yang diusahakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment