PERNAHKAH anda terasa hendak pitam atau pening ketika hendak bangun setelah duduk terlalu lama atau selepas menundukkan kepada?
Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa keadaan tersebut terjadi dan pernahkah terfikir bahawa anda mempunyai masalah kesihatan?
Lazimnya apabila situasi tersebut berlaku, masyarakat hanya menganggap perkara tersebut hanyalah sesuatu yang biasa kerana ia tidak berpanjangan.
Tetapi tahukah anda, perkara yang dianggap sesuatu yang biasa itulah kadang kala mampu mengundang risiko di luar jangkaan.
Ini kerana senario di mana anda terasa hendak pitam atau pening ketika hendak bangun setelah duduk terlalu lama atau selepas menundukkan kepada menandakan tekanan darah ketika itu adalah rendah.
Dan tahukah anda bahawa sekiranya anda mengalami tekanan darah rendah, ia menandakan bahawa anda mungkin menghidap penyakit-penyakit tertentu yang boleh memudaratkan anda?
Menurut Perunding Kardiologi, Hospital KPJ Ampang Puteri, Datuk Dr. Ismail Yaakob, penyakit tekanan darah rendah atau hipotensi merupakan satu keadaan yang jarang berlaku dalam kalangan masyarakat jika hendak dibandingkan dengan tekanan darah tinggi.
Tambah beliau, pesakit akan mengalami tekanan darah rendah di mana bermaksud sama ada salah satu bacaan bahagian atas (sistolik) kurang daripada 90 dan tekanan bawah (diastolic) kurang daripada 60 mmhg atau kedua-duanya kurang daripada angka tersebut.
Tekanan darah rendah
Katanya lagi, tekanan darah rendah merupakan suatu situasi yang boleh dirawat dan apa yang penting adalah untuk mengetahui apakah punca sebenar berlakunya tekanan darah rendah.
Begitupun, Dr. Ismail mengingatkan bahawa tekanan darah sebenarnya dipengaruhi oleh banyak faktor seperti emosi, tahap tekanan, aktiviti fizikal, keadaan semasa (demam atau tidak), saiz tubuh badan, posisi badan, makanan yang diambil serta suhu persekitaran.
Dan disebabkan itulah bacaan tekanan darah boleh berubah-ubah dalam selang masa yang singkat dan kebiasaannya bacaan tekanan darah lebih rendah pada waktu malam.
Antara penyebab tekanan darah rendah adalah berlakunya kekurangan volum darah (cecair mengalir dalam saluran darah seperti pendarahan yang tidak boleh terkawal), dehidrasi (yang mengurangkan kandungan cecair dalam badan seperti kes muntah yang teruk dan cirit-birit), dan masalah jantung (denyutan jantung yang agak cepat mahupun sebaliknya yang terlalu lambat dan keadaan otot yang lemah), kehamilan, dan sebagainya.
Dr. Ismail turut menjelaskan tekanan darah rendah adalah berpunca daripada pelbagai penyakit yang telah sedia ada seperti penyakit jantung koronari, lemah jantung, gangguan rentak jantung, masalah injap jantung, penyakit buah pinggang, kencing manis yang tidak terkawal, paras gula rendah, penyakit berkaitan sistem endokrin seperti penyakti adrenal dan tiroid, serta kesan sampingan daripada ubat-ubatan yang diambil selain faktor genetik.
Ia juga tidak terkecuali kepada mereka yang mengalami alahan yang teruk dan situasi ini boleh menyebabkan tekanan darah menjadi rendah.
Tekanan darah rendah boleh mengakibatkan setiap organ daripada badan tidak mendapat aliran darah yang mencukupi dalam masa yang singkat dan akibat daripada ini timbulnya gejala atau simptom hipotensi.
Dan sekiranya keadaan ini berlaku pada bahagian otak (tidak dapat bekalan darah yang diperlukan) pesakit boleh pitam atau pengsan.
Tetapi perlu dinyatakan di sini bahawa tekanan darah boleh berubah-ubah dalam tempoh masa yang sekejap sahaja di mana ianya boleh naik ataupun turun dan mengukur tekanan darah amat penting bagi menunjukkan tahap kesihatan seseorang itu," ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.
Ujian tekanan
Berbicara lanjut mengenainya, Dr. Ismail menyatakan, ujian tekanan darah dilakukan dengan mengambil dua ukuran dengan bacaan dan bagi tekanan darah normal dan optimal adalah sekitar 120/80 mmHg.
Nombor 120 menunjukkan tekanan ke atas arteri akibat denyutan jantung atau sistolik di mana jantung ketika ini mengecut dan nombor 80 pula menunjukkan tekanan semasa jantung berehat di antara pengepaman dipanggil diastolik dan ketika ini jantung mengembang dan apabila salah satu bacaan ini rendah, menandakan tekanan darah anda rendah.
Bagaimanapun Dr. Ismail memberitahu, masalah timbul apabila tekanan darah turun secara mendadak yang biasanya disebabkan oleh penyakit berkaitan dengan pendarahan akut, kurang darah (anemia), kandungan gula yang rendah atau jangkitan kuman.
Jika tekanan darah turun daripada 120/80 kepada 90/60 secara mendadak atau dikatakan sebagai perubahan akut, menunjukkan sesuatu yang tidak normal.
Keadaan ini amat berbahaya kerana akan menyebabkan kekurangan oksigen di tempat penting seperti jantung dan otak yang boleh menyebabkan pesakit pitam atau lebih teruk, pengsan.
Justeru, darah mungkin tidak mempunyai cukup masa untuk sampai ke otak dan situasi ini dipanggil hipotensi postural malah anda boleh juga terasa pening jika anda berbaring terlalu lama.
Katanya lagi, adalah dinasihatkan jika anda mengalami simptom tekanan darah rendah seperti rasa pening atau loya dan adalah sangat penting untuk anda berjumpa dengan doktor kerana ia bukan hanya untuk tahu kenapa tekanan rendah terjadi tetapi pesakit juga perlu tahu berapa cepat tekanan darah mereka menurun dalam satu-satu masa dan ini penting untuk mengelak perkara yang lebih serius terjadi.
Tekanan darah rendah juga boleh menyebabkan kematian dalam sesetengah keadaan, namun sebab-sebab lain mengapa anda mungkin berasa pening perlu diselidik.
Antara ujian yang doktor lakukan kepada pesakit yang mengalami tekanan darah rendah ialah ujian darah melihat kepada paras gula, kolesterol, hemoglobin, fungsi buah pinggang, ujian elektrokardiogram (ECG), echocardiogram iaitu ultrasound jantung, dan ujian tekanan (stress test).
Untuk kes-kes tertentu ujian yang lebih spesifik perlu dilakukan seperti ujian paras hormon, ujian tilt table, dan ujian menuver valsalva.
Masyarakat hari ini tidak peka atau kurang kesedaran mengenai tekanan darah rendah kerana mereka tidak nampak risiko yang bakal dihadapi pada masa akan datang.
Cuma sekiranya mereka mempunyai gejala atau tanda-tanda awal seperti cepat lelah, pening kepala ketika posisi badan berubah, sukar untuk berkonsentrasi, mata berkunang-kunang, mual, kulit berasa dingin, pucat dan lembap, pernafasan cepat dan pendek, berpeluh sejuk, dan cepat haus, segeralah berjumpa dengan doktor kerana ia pastinya ada sesuatu yang tidak kena dengan anda," tuturnya lagi.
Dr. Ismail juga menyatakan bahawa tekanan darah rendah ini sering terjadi kepada wanita-wanita hamil kerana hormon kehamilan iaitu progesteron merehatkan dinding salur darah dan menyebabkan tekanan darah menurun dan tekanan darah biasanya kembali normal selepas bersalin.
Jadi sekiranya anda mengalami simptom-simptom seperti yang dinyatakan, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.
No comments:
Post a Comment