Tuesday, July 15, 2014

KAFE CHEMISTRY & LAB- SEKSYEN 7, SHAH ALAM


ALATAN makmal seperti picagari, bikar dan kelalang kon digunakan untuk menghidang 
minuman kepada pelanggan.

KRU Jurnal bagaikan terkesima melihat konsep unik dekorasi yang diketengahkan di Kafe Chemistry & Lab yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor ini.
Kafe yang baru dibuka bulan lalu ini sememangnya mudah mencuri perhatian disebabkan konsepnya yang berbeza.
Kebiasaannya, restoran di Malaysia menggunakan konsep moden, klasik, ala Eropah atau moden kontemporari tetapi pemilik mahukan pelanggan berasa seperti berada di dalam sebuah makmal.
Menurut pemilik, Intan Syafina Abd. Rahman, 28, idea untuk menerapkan konsep itu diperoleh hasil perbincangan bersama rakan kongsinya, Zuhairy Zakaria, 33.
"Sebenarnya, kami ada dua cadangan konsep bagi melatari kafe ini.
"Konsep makmal merupakan cadangan kedua kami memandangkan barangan yang diperlukan mudah diperoleh berbanding cadangan pertama.
"Oleh sebab itu, kami memilih untuk merealisasikan konsep makmal ini terlebih dulu tetapi kami tetap akan melaksanakan rancangan pertama itu yang berbeza daripada dekorasi sekarang," ujarnya sambil memberitahu, restoran itu mengamalkan konsep layan diri.

LUKISAN mural berkaitan proses eksperimen di makmal menjadi hiasan di dinding utama
 Kafe Chemistry & Lab ini.

Jelasnya, pihaknya mahu mencuba hiasan dalaman yang berbeza serta bersesuaian dengan pelanggan.
"Majoriti pelanggan kafe ini golongan pelajar institusi pengajian tinggi, jadi kami memilih tema yang dapat dikaitkan dengan mereka.
"Malah, makna nama kafe ini juga boleh dipelbagaikan dan tidak bertumpu pada satu maksud sahaja.
"Apabila bercakap tentang chemistry, ia sebenarnya merangkumi semua perkara seperti keserasian pelanggan dengan menu makanan serta minuman selain faktor keserasian antara pelanggan dengan rakan mereka.

Kafe ini diusahakan Intan Syafina (depan) bersama rakan kongsinya, Zuhairy.


"Ia bukan bermaksud 'kimia' semata-mata," tambahnya sambil menambah, kafe itu menggunakan tagline Sains untuk Bersosial (Science of Socializing).
Katanya, kesemua barangan makmal seperti bikar, picagari, tabung uji dan kelalang kon diperoleh daripada pembekal peralatan makmal di Lembah Klang.
"Sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan. Sempena Ramadan ini, kami beroperasi dari pukul 5 petang hingga 4 pagi.
"Kami turut menyediakan menu masakan tempatan untuk pelanggan berbuka puasa dan bersahur," ujarnya.
Menurut Intan Syafina, harga makanan dan minuman di sini adalah antara RM6 hingga RM15.
Apa yang menarik, bukan sahaja kafe yang berkeluasan 157 meter persegi ini dihias dengan peralatan makmal bahkan pakaian kakitangan juga merupakan uniform makmal sebenar.

RUANG yang dikhaskan kepada pelanggan untuk menikmati minuman sambil bersantai.


Melangkah masuk ke pekarangan kafe yang dapat memuatkan seramai 100 pelanggan pada satu masa ini, kru Jurnal dihidangkan dengan pemandangan konsep industri pada ruang makan di bahagian luar kafe.
Batu bata merah yang tidak dilepa berjaya memberikan efeknya yang tersendiri.
Salah satu sudut di bahagian dalam pula dihias dengan peralatan makmal yang diletakkan di atas sebuah tong.
Pemilik turut mengabadikan gambar kenangan bersama pelanggan di dinding ruang santai kafe ini.
Kelihatan juga sebuah sinki yang dijadikan meja untuk pelanggan menikmati hidangan sambil bersantai.
Lukisan mural mengenai proses eksperimen pula menghiasi dinding utama kafe.
Penggunaan pinggan mangkuk antik seperti cawan dan pinggan pula diaplikasikan pada dinding yang tidak dilepa di ruang belakang kafe ini yang dikhaskan kepada pelanggan yang datang secara berkumpulan seramai lapan hingga 10 orang.
"Kami juga membuka tempahan katering untuk majlis berskala kecil seperti mesyuarat dan majlis sambutan hari jadi.
"Malah, ada juga pelanggan yang mahu mengadakan sesi praperkahwinan di kafe ini selepas melihat konsep yang kami ketengahkan," jelasnya yang mempunyai 17 orang kakitangan.

No comments:

Post a Comment